Sabtu, 6 Mac 2010

Email persaraan saya kepada staff Bank Pembangunan

Assalamualaikum wbt….

Walaupun sudah dikira terlewat beberapa hari, saya tetap berusaha untuk membuat sedikit catatan penghargaan saya untuk semua rakan yang mengenali ataupun yang tidak mengenali saya. Kelewatan ini adalah disebabkan saya masih berada di wad menjalani rawatan walaupun pada tarikh akhir saya berkhidmat di Bank Pembangunan.

Tidak terduga oleh saya bahawa saya perlu membuat satu lagi pendirian yang cukup besar dalam hidup saya. Iaitulah bersara awal. Rakan-rakan yang mengenali saya tahu bahawa saya telah kehilangan ibubapa sejak usia yang begitu muda. Sejak itu saya telah membuat beberapa pendirian penting untuk halatuju hidup saya seterusnya. Ini adalah antara yang sukar bagi saya. Tetapi kehidupan perlu diteruskan. Doa dan sokongan rakan-rakan menjadi semangat kepada saya.

Kepada seluruh warga Bank Pembangunan saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terimakasih yang tidak terhingga, penghargaan tanpa batas sepanjang perkenalan kita selama ini. Kepada pihak pengurusan yang telah berusaha membantu, kepada rakan-rakan jabatan yang memberi dokongan, teman-teman yang mengenali mahupun tidak mengenali sangat saya bahkan saya memang mempunyai sebaris nama yang terus terpahat dalam hati dan sanubari saya disebabkan mereka tidak jemu-jemu memberikan sokongan dan bantuan.

Oleh kerana saya juga turut memberikan servis untuk SME Bank dan cawangannya sewaktu berkhidmat dulu maka saya berdoa semoga penghargaan dan ingatan saya ini dapat juga disampaikan kepada mereka.

Akhirnya saya ingin memohon kemaafan yang tidak terhingga kepada semua sekiranya sepanjang perkhidmatan dan perkenalan kita selama ini saya pernah mengguris atau mendatangkan ketidakpuasan hati. Adapun bagi pihak saya, kemaafan dan doa telah saya abadikan untuk anda semua.

Sekian, terimakasih atas kesempatan ini. Mudah-mudahan Allah menerima khidmat saya di Bank Pembangunan selama ini sebagai amal yang soleh.

Ikhlas daripada,
SAFUAN BIN IBRAHIM

Rabu, 3 Mac 2010

Beberapa wakil rakyat PKR berpaling tadah

Dalam minggu ini berita seorang demi seorang wakil rakyat PKR telah keluar parti dan mengisytiharkan diri mereka sebagai wakil rakyat Bebas selepas katanya hilang keyakinan terhadap pimpinan mereka.

Sebenarnya saya adalah salah seorang yang turut sedih dengan perkembangan ini. Saya hairan kenapa begitu mudah mereka boleh beralih angin. Mengapa orang yang sebegitu boleh duduk di peringkat wakil rakyat?

Kalaulah jiwa yang mudah goyah seperti itu bukankah hanya layak menjadi petugas biasa parti sahaja dulu? Ramai lagi petugas-petugas parti diperingkat bawah lebih kukuh pendirian dan daya juang patut berada di tempat mereka.

Tetapi biasalah orang yang ikhlas dalam perjuangan biasanya tidak menonjolkan diri. Mereka yang ada kepentingan selalu menonjolkan diri kononnya dialah pemimpin tetapi bila datang ujian dia hanyut bersama ujian itu.

Satu lagi saya juga hairan dengan seorang lagi wakil rakyat PKR yang sejak akhir-akhir ini selalu bercanggah dan berbeda pandangan dengan partinya. Walaupun dia belum lagi mengisytiharkan diri keluar dari parti, tetapi tindak tanduknya cukup mengguriskan petugas dan pimpinan parti.

Padahal semua orang tahu sangat bahawa dialah orang yang paling kagum dan menyanjung tinggi Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kalau dia berceramah, saya fikir tak ada lagi orang yang begitu memperlihatkan sanjungan begitu tinggi kepada DSAI.

Tapi sejak beberapa bulan kebelakangan ini nadanya sudah berlainan. Cukup menghairankan.

Hari ke-2 saya pencen

Ya...hari ini adalah hari ke-2 saya pencen. Muda lagi ke dah pencen. Sekarang saya berusia 43 tahun. Allah mentakdirkan saya mengidap sakit yang dikira kronik dan saya telah layak untuk di pencenkan awal (pencen ilat)

Sedih jugalah bila kena pencen awal ni tapi semuanya sudah suratan. Terpaksalah tempuhi juga. Inilah antara sebab saya dikira mempunyai ruang untuk menulis semula. Insyaallah.

Insyaallah nak menulis semula....

Selepas begitu lama saya membiarkan blog ini tidak di update, hari ini saya cuba memperbaharui azam untuk meneruskan catatan saya di sini. Selama ini pelbagai hambatan dan halangan yang menyebabkan saya sukar untuk update blog ini.

Tetapi sekarang saya fikir masa yang sesuai untuk saya kembali mencatat. Sebenarnya tidak ada apa yang menarik untuk saya catatkan cuma sebagai manusia biasa saya juga mempunyai pandangan dan aspirasi saya sendiri yang hendak saya kongsikan.

Mudah-mudahan semuanya akan memberikan manafaat.