Isnin, 19 Julai 2010

Harga barang naik: Itulah nasib bila pimpinan berjiwa bangsawan


Saya antara sebahagian besar umat yang cukup kesal dan kecewa dengan kenaikan harga minyak, gula dan beberapa barangan lain. Bahkan saya yakin harga banyak lagi perkhidmatan dan barangan yang akan menerima tempias kenaikan ini akibat 'kesan berantai'.

Oleh kerana saya selalu ke hospital kerana menjalani rawatan, saya mempunyai ramai kenalan dikalangan pesakit di hospital. Mereka hampir semuanya adalah yang berpendapatan rendah. Bukan sahaja berpendapatan rendah malah datang pula daripada tempat yang jauh.

Sembang-sembang mengenai belanja pengangkutan dan kadang-kadang bayaran ubatan tambahan yang perlu dibeli sendiri sering menjadi bahan cerita yang tergantung begitu sahaja. Tidak ada titik akhirnya. Bagaimana untuk bertemu noktah akhir cerita itu kerana noktahnya ialah duit.

Seorang abang yang kelihatan lemah kerana jalani rawatan CAPD, mengadu berbelanja tidak kurang RM60 untuk tambang teksi pergi balik untuk datang membuat rawatan. Kadang-kadang dalam sebulan beberapa kali terpaksa berulang alik ke hospital. Duit pencen yang di terima hanya sekitar RM1000. Anak-anak sekolah lagi belum dikira. Itu yang tinggal di sekitar KL.

Seorang lagi pakcik yang datang daripada Slim River. Menemani 2 anak yang jalani rawatan. Bukan sehari, sudah hampir seminggu. Dan bulan hadapan ada lagi temujanji.

Seorang lagi yang ingin saya rakam di sini ialah suami isteri orang asli daripada Kuang. Yang datang ke Hospital untuk rawatan dialisi isterinya 3 kali seminggu. Dari Kuang katanya naik komuter, kemudian mendapatkan teksi untuk sampai ke hospital. Pulang pun begitulah. Bayangkan berapa kos yang terpaksa di tanggung mereka.

Itulah yang saya katakan, bila kita sering berurusan dan mendampingi kumpulan ini barulah kita akan dapat rasakan keperitan hidup. Kumpulan yang berjiwa bangsawan, kepimpinan bangsawan tidak akan dapat merasai keperitan ini. Mereka mungkin boleh bertandang ke tempat-tempat orang susah di hospital atau di pendalaman sana, tetapi mereka juga membawa sekian ramai pegawai dan disambut dengan penghormatan dan pesta. Bagaimana mereka dapat merasai dengan sebenar-benarnya kesusahan umat.

Sebab itu tidak sukar bagi kumpulan ini untuk menaikkan harga barangan. Pendapatan mereka melebihi RM10,000 sebulan bahkan lebih. Apa yang dapat mereka rasai dengan kenaikan harga barangan itu.

Memang kita perlukan pimpinan baru yang benar-benar menyebelahi rakyat.

Lain padang lain belalang....


Saya tidak pasti adakah bidalan yang saya gunakan di atas tepat untuk cerita dan sembang saya kali ini. Dunia Facebook kian berkembang melanda generasi kini. Anak-anak saya semuanya termasuk yang masih di darjah 2 juga sudah ada FB.

Saya juga tidak ketinggalan. Ramai rakan-rakan lama yang dulunya dikira hampir mustahil untuk dikesan semula kini boleh bertegur sapa di alam siber melalui dunia FB. Bayangkan rakan-rakan lama waktu saya masih di darjah 1, kira-kira 36 tahun yang lalu ramai yang mula bertemu dan bersembang di FB. Memang hebat zaman yang kita hidup kini.

Selepas bersembang, bertegur sapa dan membaca perbualan mereka di FB ternyata dunia dan persepsi antara kita menjalani kehidupan ini memang cukup berbeda. Itulah rencah kehidupan mungkin.

Rakan-rakan yang pernah menjadi rakan paling rapat dahulu kini agak sukar untuk mendapatkan topik perbualan yang sejalan. Semuanya sudah ada jalan dan arah pandangan sendiri yang kadang-kadangnya agak jauh tersasar.

Bagaimanapun Allah swt sentiasa menganugerahkan ke atas umat ini supaya mereka segera kembali kepada titik dan noktah yang satu. Nampaknya titik pertemuan itu ialah isu Palestine. Itulah noktah pertemuan disebalik rencah dan perbedaan tadi.

Saya masih belum terjumpa lagi melainkan semuanya adalah pembela perjuangan pembebasan bumi yang penuh berkat itu. Memang isu Palestine selamanya menjadi titik dan noktah pertemuan kita semua. Pimpinan ummah perlu bergerak dari titik ini jika benar-benar mahukan sebuah kesatuan dan penyatuan.

Walaupun 'lain padang lain belalang' , lain orang lain pandangannya, tetapi Palestine menyatukan kita.