Isnin, 23 Ogos 2010

Mengingati seorang rakan...

Tak semena-mena saya teringatkan seorang rakan yang saya kenali tak sampai 3 bulan. Selepas saya memulakan semula rawatan dialisis saya di hospital Selayang, saya menghadapi masalah untuk memandu ke sana. Ini adalah kerana masalah mengantuk yang amat bila saya memandu. Saya ada rekod terjatuh daripada motorsikal dalam perjalanan untuk ke tempat kerja kerana mengantuk.

Mungkin ubat yang saya makan terlalu banyak atau ada antaranya yang menyebabkan saya mudah mengantuk. Untuk selesaikan masalah ini isteri saya terpaksa menghantar saya ke hospital setiap kali rawatan dialisis. Ini sudah tentu menyukarkan beliau yang sudah begitu banyak komitmen lain di rumah.

Selepas beberapa minggu jalani rawatan saya mula berkenalan dengan beberapa pesakit. Antaranya abang Razif. Rupanya dia juga tinggal di Bukit Beruntung/Bukit Sentosa. Dia telah jalani rawatan lebih 10 tahun. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini beliau ke hospital dengan menaiki bas atau menumpang sesiapa yang kebetulan boleh di tumpanginya.

Jadi saya mempelawanya untuk menumpang sahaja saya. Jadi sejak hari itu isteri saya tidak perlu menghantar saya lagi ke hospital kerana saya sudah ada rakan yang boleh di ajak bersembang untuk mengelakkan mengantuk.

Tetapi abang Razif sebenarnya sudah tidak begitu stabil lagi kesihatannya. Lebih sebulan lalu dia memberitahu saya hasil pertemuannya dengan doktor. Katanya doktor sendiri memberitahu yang beliau sudah dikira habis ikhtiar untuk masalah kesihatannya.

Saya cukup terharu dengan ceritanya. Tetapi dia tetap bersemangat dan membawa cerita-cerita yang boleh memberikan motivasi kepada dirinya.

Sepanjang hampir 3 bulan saya bersamanya pergi dan balik rawatan dialisis, beliau rajin bersembang. Dia selalu minta saya bercerita pasal agama. Cerita nabi-nabi dan sejarah Islam. Kalau cerita tu tak habis sepanjang perjalanan pergi atau pulang, dia akan minta disambung lagi bila kami bertemu untuk ke hospital lagi.

Selain daripada itu dia rajin bercerita pasal kisah-kisah lampau beliau, anak-anak dan kegigihan isterinya.
Selepas beliau dipencenkan selepas sakit, beliau berniaga menjual nasi lemak dan kuih bersama isterinya di belakang Balai Polis Bukit Sentosa. Di situlah saya ambilnya setiap kali untuk ke hospital.

Beberapa minggu lalu dia dimasukkan ke ICU kerana masalah kesihatannya. Saya sempat melawatnya. Katanya dia dibenarkan pulang oleh doktor selepas seminggu terlantar. 2 atau 3 hari selepas itu isterinya memberitahu yang abang Razif di masukkan semula ke ICU. Kebetulan esoknya hari saya dialisis dan hari saya berjumpa doktor jadi saya bercadang untuk menjengahnya.

Sekitar pukul 10 pagi sewaktu saya masih menunggu giliran untuk bertemu doktor ditingkat 3 hospital, saya menerima panggilan daripada anak beliau yang memberitahu ayahnya sudah meninggal dunia. Tersentak saya. Saya terus ke tingkat 5 dimana wad ICU diletakkan. Ya, abang Razif telah tiada. Dia telah begitu lama menderita melawan penyakitnya. Hari itu Allah swt telah merehatkannya untuk selamanya.

Rakaman sembang-sembang saya dengannya sepanjang hampir 3 bulan lalu segera terpapar di skrin ingatan saya. Lawak dan tawanya masih segar dalam ingatan. Tetapi itulah dia yang dinamakan kematian. Suka mahupun tidak semua orang mesti laluinya. Abang Razif telah sampai gilirannya.

Semoga Allah swt menggantikan kesukaran beliau, kepayahan beliau, kesakitan beliau selama ini dengan pahala orang-orang yang beramal soleh. Al Fatihah.