Isnin, 11 Oktober 2010

Nak rekodkan jugak...

Apa yang nak direkodkan. Jamuan Kesyukuran Aidilfitri hari tu. Walaupun hari ni dah habis Syawal pun dan dah masuk Zulkaedah. Tapi saya nak rekodkan jugak pasal jamuan tu.

Jamuan tu di buat pada Sabtu 16hb Syawal 1431H atau 25hb September 2010M. Hari tersebut sebenarnya adalah hari saya jalani dialisis. Tapi hari itu dikira paling sesuai maka kami putuskan untuk buat jugak pada hari itu. Lagi pun kami nak mulakan pada pukul 3.00 petang. Saya pulak habis dialisis dan sampai ke rumah sekitar pukul 5.00 petang. Jadi tak banyak sangat selisihnya.

Tiba-tiba selepas semua persiapan dibuat ada seorang tetamu yang dikira VIP lah bagi kami iaitu Tuan Hj Mohamad Sabu dan keluarga menyatakan dapat untuk hadir tetapi agak awal iaitu sekitar pukul 12 tengahari kerana sebelah petang beliau akan ke terbang ke Johor kerana ada program di sana.

Inilah yang menyebabkan susunan kami agak 'kelam kabut' sikit terutamanya saya yang sudah tentu 'terlepas' kerana dialisis hanya tamat sekitar pukul 4 petang. Sahabat-sahabat yang sepatutnya mula datang pukul 3.00 petang , ramai yang nak mengambil kesempatan makan bersama Tn Hj Mohamad Sabu dengan datang lebih awal.

Sebenarnya Tn Hj Mohamad Sabu ini adalah saudara di sebelah ayah isteri saya. Mereka panggilnya Pak Ndak manakala anak-anak saya panggilnya Tok Ndak.

Mungkin disebabkan pada hari tersebut ramai yang adakan rumah terbuka, jadi jalan begitu sesak sehingga saya yang sepatutnya tiba di rumah sekitar pukul 5.00 petang hanya sampai pada pukul 6 petang. Jadi saya pun dikira turut terlepas jamuan Aidilfitri di rumah saya sendiri! Saya hanya sempat meraikan beberapa keluarga sahaja kerana kebanyakan mereka telah datang lebih awal.

Apapun tahniah untuk isteri saya. Beliau memang mempunyai seni memasak. Cepat, pantas dan sedap masakannya. Itu yang menyebabkan saya berani mengadakan jamuan hari raya setiap tahun. Bahkan rumah saya memang sentiasa bersedia menerima tetamu pada bila-bila masa sahaja.

Mencatat Hj Ibrahim...

Lama saya tidak menulis, malam ini entah kenapa terasa pulak nak mencatat sedikit mengenai seorang lagi sahabat saya yang di kira istimewa. Saya juga percaya sahabat saya yang seorang ini bukan sahaja istimewa kepada saya tetapi kepada ramai lagi sahabat-sahabatnya. Tengahari tadi saya sampai juga ke majlis walimatul urus Ustaz Hj Salehudin Nasir. Beliau adalah naqib usrah saya sewaktu aktif dengan Persatuan Kebajikan Kakitangan Islam Bank-Bank Kuala Lumpur (PERKIB). Walaupun pada awal pagi saya tidak pasti samada boleh atau tidak untuk menyempurnakan hajat hadir ke majlis perkahwinan anak ustaz tersebut kerana sakit di bahagian pinggang menyebabkan agak sukar untuk bergerak. Tetapi menjelang tengahari selepas menelan panadol sakit urat, kesakitan agak berkurangan jadi saya gagahi untuk hadir juga. Alhamdulillah.

Dalam perjalanan pulang saya dihubungi oleh Tuan Hj Ibrahim Idris, sahabat istimewa yang saya katakana tadi. Katanya dia baru sampai di rumah Ustaz Salehudin dan rasa agak kecewa kerana tak sempat untuk berjumpa saya di sana tadi. Saya menjemputnya ke rumah walaupun katanya tidak pasti samada sempat atau tidak untuk singgah. Bagaimanapun saya tahu sangat, yang dia pasti akan dating juga singgah ke rumah saya. Itulah antara keistimewaannya. Memang pun petang tadi dia dan keluarganya sampai juga ke rumah kami. Betul tak saya kata!

Hj Ibrahim seorang sahabat yang mampu membuat teguran jika ada kesalahan atau kesilapan yang kita atau sesiapa sahaja lakukan. Walaupun kadang-kadang tegurannya itu dilihat keras tetapi keikhlasan teguran itu tetap dapat dikesan di wajahnya. Saya bersyukur punyai sahabat sepertinya. Terlalu banyak yang saya belajar daripadanya. Waktu dia tinggal di Selayang kami selalu bersama ke mana-mana program samada usrah, ceramah, kursus, seminar dan macam-macam lagi. Tetapi bila dia mendapat peluang lebih baik di Melaka dan berhijrah ke sana, saya begitu terasa akan kehilangannya. Bahkan saya yakin sahabat-sahabat lain di Selayang pada waktu itu turut merasakannya.

Adalah sesuatu yang biasa kalau sedang kita bersamanya, tiba-tiba ada ‘couple’ yang sedang ‘pegang-pegang’ ke, ‘pandang-pandang’ ke, ‘gurau-gurau’ ke….dia akan terus ke situ dan tanya kamu ni dah kahwin ke? Kalau belum kahwin eloklah jangan buat macam ni, malu mak ayah, malu bangsa kita, malu agama kita. Pergi balik! Jadi mamat dan minah tu pun terdiam, tersengih-sengih takut, mintak maaf dan terus beredar. Hj Ibrahim lakukan itu bukan sebab menunjuk-nunjuk, tapi dia lakukan demi tanggungjawab. Seperti saya katakana tadi memang itu cara dia, kita nampak keikhlasan dia pasal dia terus istiqomah lakukan perkara itu walaupun sekarang sudah berpindah di Melaka. Dia pernah berhenti di satu simpang menasihatkan satu lagi ‘couple’ waktu saya tumpang keretanya masa kami datang kerana ziarah ke rumahnya di Melaka.

Pernah saya pulang daripada satu program ceramah. Sudah tengah malam, tiba-tiba ada sekatan jalanraya, polis tahanlah untuk semak lessen dan sebagainya. Sambil dia keluarkan lessen dia tanya polis tu, ni semua dah solat isyak ke belum? Tersipu-sipu jugaklah polis-polis tu. Sambil keluar lessen tu pulak dia kata, kami insyaallah pejuang-pejuang Islam ni semua ikut peraturan encik, mesti ada lessen punya!

Dulu masa dia bekerja di Maybank, dia uruskan ceramah ustaz-ustaz di surau Maybank. Menurut seorang sahabat di sana, kalau ada ustaz yang datang lambat ke, ceramah lari tajuk ke….lepas tu memang kena ‘sound direct’ dengan Hj Ibrahim ni lah jawabnya. Dia tak kira ustaz ke tak ustaz. Pernah dalam satu program qiamullail dia tegur sorang ustaz yang kira ‘besar’ jugak (tak payah sebut namalah). Kisahnya masa sembang-sembang di satu sudut ustaz tu tak perasan yang dia berlunjur kaki arah qiblat. Hj Ibrahim nampak, dia kata kat ustaz tu, ‘syeikh’ kaki enta tu hadap qiblat’. Ustaz tu terus betulkan kakinya. Selang beberapa tahun, dalam satu program yang lain ustaz tu ada jumpa dia semula dan dia kata ‘enta pernah tegur ana dulu pasal kaki hadap qiblat kan’. Dia ingat lagi tu!

Sebenarnya banyak sangat pengalaman-pengalaman hebat yang boleh dicatatkan mengenai Hj Ibrahim ini. Sekarang ni walaupun dia dikira telah begitu berjaya dalam hidupnya tetapi dia tetap masih seperti dulu, terus menjadi sahabat yang cukup istimewa.