Khamis, 13 November 2008

UPSR 4A 1B : Tahniah Amir!

Keputusan UPSR yang diumumkan pagi ini (Khamis 13/11/2008) cukup menggetarkan saya. Sejak malam tadi sebenarnya saya sukar untuk tidur kerana pelbagai perkara berkisar keputusan UPSR ini.

Amir Saiful Islam, anak ke-3 saya menggalas harapan kali ini selepas 2 orang kakaknya hanya mencapai keputusan 3A dan 2A sahaja sebelum ini.

Kepada Amir, saya menaruh sedikit harapan kerana ketekunan dan dedikasinya itu. Dia bukan seperti anak yang lain. Kalau dalam sesebuah keluarga itu ada anak yang dikira istimewa atau lain dari yang lain, maka dalam keluarga saya Amir lah orangnya.

Dia ada disiplin dirinya sendiri yang tidak pernah pun saya atau umi nya mengajar. Tiap pagi beliau adalah yang paling awal bangun bila jam loceng yang dikuncinya berbunyi pada pukul 5.40 pagi.

Kita akan mendengar dia mandi, mengaji quran dan solat. Selepas itu beliau akan mengejutkan adik beradik lain yang masih tidur selepas beliau lengkap berpakaian sekolah. Kalau hari itu beliau ‘terlajak’ walaupun pukul 6.00 pagi, hari tersebut dikira cuti kepadanya. Dia tidak mahu kesekolah tak kira ‘terlajak’ itu adalah kesilapannya atau kesilapan abah dan umi tidak mengejutkannya awal.

Sementara adik beradik lain dan uminya bersiap, dia akan mengemas kereta dan memanaskan injin kereta.

Bila petang selepas selesai dia berriadhah bersama kawan-kawan dia akan bersedia untuk solat dan menyediakan persiapan ‘dialisis’ untuk saya. Hampir semua tugas penyediaan dibuat oleh Amir. Sebab itu nama-nama ubat dan masa makan ubat saya dihafalnya dengan baik.
Selepas membantu saya dia akan menyediakan pakaian sekolahnya termasuk menyediakan persiapan pakaian kerja untuk saya esok. Selepas selesai men'seterika' semuanya barulah dia mulakan ulangkaji atau kerja sekolahnya.

Amir tidak akan buat sesuatu tu cincai-cincai....dia akan buat sungguh-sungguh dan ambil serius atas tanggungjawab yang dipikulkan kepadanya. Kalau ada perlawanan bola, dialah yang paling sibuk, kawan-kawan yang lain tak serius pun tapi dia jangan.

Satu lagi kalau pernah dengar dia membaca surah al-fatihah sebijik macam Sheikh Rahman Sudais! Dia pandai mengejek bacaan. Saya selalu berseloroh dengan uminya, bila Amir dah masuk asrama nanti kita tentu rindu dengan bacaan nya itu.

Banyak yang saya boleh tulis mengenai Amir ni. Bukan nak masuk bakul angkat sendiri tetapi Amir adalah anak saya yang boleh di’cerita’ kan. Dia ada ‘cerita’ dia yang tak ada pada anak saya yang lain.

Tahniah Amir! Abah bangga.