Ahad, 29 Mei 2011

Ketakutan Umno/BN...

Walau berkecai tulang dan badan, bercerai nyawa sekalipun Putrajaya minta dipertahankan. Begitu rayuan Najib dalam himpunan belia di Putrajaya.

Banyak yang tersirat dari kenyataan Najib tersebut. Yang tidak sukar di kesan ialah kegusaran beliau yang tersangat-sangat terhadap pengaruh Pakatan Rakyat menjelang PRU-13 tidak lama lagi. Sebelum ini hampir tidak biasa kita dengar BN begitu bimbang kalau-kalau kepimpinan Kerajaan Pusat mampu diambil alih oleh mana-mana parti lain.

Tetapi bila Najib saya kira paling tidak sudah 2 kali mengeluarkan kenyataan seumpama itu sekaligus membayangkan bahawa risikan dipihak beliau sendiri sudah memberi signal yang agak keras betapa Pakatan Rakyat sudah bersiap-siap untuk mengambilalih Putrajaya.

Saya tidak fikir sekiranya kenyataan seumpama itu keluar daripada mana-mana pimpinan Pakatan Rakyat ianya boleh diterima oleh pihak keselamatan. Bayangkan kalau kenyataan itu berbunyi ‘Walau berkecai tulang dan badan, bercerai nyawa sekalipun Putrajaya mesti kita rampas!’ Anda sendiri boleh menjawabnya. Dengan segera pihak-pihak yang ada kaitan dengan keselamatan negara akan segera mengeluarkan komen dan amaran.

Hairan, apa perlunya sampai begitu untuk pertahankan kuasa. Atau adakah sesuatu yang lain yang hendak disembunyikan sehingga takut sangat partinya tewas. Bukankah negara ini katanya mengamalkan sistem demokrasi. Rakyat boleh menentukan mana-mana parti yang mereka percaya untuk memimpin negara ini melalui peti undi, tidak perlu sampai berkecai nyawa dan badan!

Himpunan yang dinamakan sebagai Himpunan Sejuta Belia itupun dibuat menggunakan platform Kementerian Belia, Tak ubah seperti Karnival Jom Heboh yang dianjurkan oleh TV3. Bahkan karnival tersebut juga mengambil tempat di situ pada perhimpunan tersebut. Tak kisahlah macamana belia-belia itu sampai ke Putrajaya, yang pasti mereka diangkut dan dibiayai ke sana. Selain seluruh jentera kerajaan digunakan untuk menjayakannya, pasukan seperti pengakap, bulan sabit merah juga berkhemah perdana di sana.

Sebab itu saya tidak merasakan belia-belia tersebut ambil pusing dengan ayat-ayat politik Najib. Mereka lebih bijak daripada yang disangkakan oleh pemimpin Umno/BN. Belia sudah tentu akan memilih parti yang menyebelahi rakyat, bukannya parti yang menyebelahi kroni dan suku sakat.

Memang himpunan belia tersebut jauh sekali untuk disamakan dengan Himpunan Pemuda Pas yang diadakan di beberapa buah negeri sebelum ini. Beribu-ribu pemuda Pas datang daripada segenap pelusuk negeri berhimpun dengan semangat perjuangan dan biaya sendiri. Semangat untuk bekerja kuat mempertahankan negeri-negeri Pakatan Rakyat dan keazaman untuk mengambil alih Putrajaya menjadikan ‘gegaran’ tersebut membuatkan Umno/BN tidak mampu melelapkan mata.

Apapun sekali lagi ucapan Najib di Perhimpunan Belia itu jelas sekali menggambarkan ketakutan Umno/BN terhadap sambutan yang diberikan terhadap Pakatan Rakyat. Cukup ketara pelbagai tohmah dan fitnah yang di susun oleh Umno/BN nampaknya gagal mempengaruhi rakyat walau sedikitpun.

Ahad, 22 Mei 2011

Allah telah gantikan kesedihan panjangnya...

Jam sudah menunjukkan pukul 2.25 pagi. Mata sukar untuk dilelapkan. Petang tadi adik saya Suriya dan keluarganya sampai daripada Cini, Pahang. Mereka sampai awal sedikit daripada saya yang baru pulang daripada dialysis di Hospital Selayang. Memang sejak 2 minggu ini tekanan darah saya agak tinggi, tak tahulah kenapa. Ubat makan macam biasa. Tu yang menyebabkan saya terpaksa memulakan dialysis lewat sikit untuk menunggu tekanan darah agak stabil. Masa balik pun macam tu, selepas dialysis terpaksa tunggu sekejap untuk stabilkan tekanan darah. Jadi lambatlah sikit sampai di rumah.

Suriya transit di rumah saya kerana pada esok adalah hari pendaftaran kemasukan anak sulungnya Shaqira ke UITM. Lagipun mereka tidak begitu arif untuk ke UITM tersebut. Saya pun sejak dimaklumkan oleh Suriya mengenai kemasukan anaknya ke sana telah bersedia mendapatkan maklumat awal mengenai jalan yang akan dilalui untuk ke sana nanti.

Esok sudah tentu merupakan hari yang begitu bersejarah bagi Suriya. Qira anak sulungnya memang seorang pelajar yang cemerlang akan melangkah ke menara gading. Bagi saya Qira antara pelajar yang luarbiasa cemerlangnya. Selepas pencapaian 5A dalam UPSR, Qira terus unggul bila berjaya meraih 9A dalam PMR. Pencapaian paling manisnya ialah 9A 1B dalam peperiksaan SPM yang baru lalu.

Saya turut tumpang gembira dan bangga dengan pencapaian Qira. Kalau mak dan ayah masih ada tentu kemeriahan hari ini sukar digambarkan. Memang kecemerlangan Qira adalah hadiah daripada Allah kepada Suriya. Liku-liku hidupnya yang kehilangan mak seusia 8 tahun adalah peristiwa cukup menyayat.

Selepas mak meninggal dunia, tak lama kemudian ayah yang menggantikan tempatnya bermanja berkahwin lagi dan berhijrah ke KL. Tinggallah Wan Jasin sebagai pengganti ayah dan mak.

Sukar untuk mencatatkan kisah dukanya. Setiap kali saya mencuri pandang wajahnya, pasti ada air mata yang bergenang mengingat ketabahan dan kerinduannya yang amat terhadap ayah dan mak. Itulah cara saya memandang Suriya.

Hari ini saya cukup yakin bagaimana Allah menghiburkannya dengan pencapaian anaknya itu. Allah telah gantikan kesedihan panjangnya. Sebenarnya bukan Qira sahaja yang cemerlang, tetapi kesemua anak-anaknya adalah pelajar pintar. Sofea anak keduanya juga berjaya menggapai 5A dalam UPSR, dan kini sedang bersiap untuk PMR pada tahun hadapan. Ana dan Syifa juga tidak kurang cemerlangnya di kelas masing-masing. Bagi saya memang menakjubkan.

Qira mengambil jurusan Asasi Sains sebagai langkah awal untuk bergerak dalam bidang perubatan. Mudah-mudahan Qira akan berjaya mencapai cita-citanya. Pak Long berharap Qira pandai membawa dan menyesuaikan diri. Pilihlah kawan-kawan yang baik.

Malam ini saya yakin Suriya juga tidak mampu melelapkan matanya kerana pagi esok Qira akan mula berada di luar jangkauan matanya. Selepas sejak dilahirkan, esok adalah hari dua beranak ini akan ‘berpisah’, tidak tinggal serumah lagi. Ibu mana yang tidak gundah. Saat ini akan terasa belum puasnya sang Ibu membesarkan anak, sukar untuk melepaskannya pergi.

Apapun saya ingin katakana kepada Suriya bahawa dia adalah seorang ibu yang hebat. Hanya ibu yang hebat sahaja dapat melahirkan anak-anak yang hebat!

Selasa, 17 Mei 2011

Sudah, sudahlah tu...

Petang tadi mahkamah telah memerintahkan DS Anwar Ibrahim supaya membela diri terhadap kes liwat II yang dihadapinya. Seperti juga DS Anwar, saya sedikit pun tidak terkejut dengan keputusan itu. Saya malas nak ulas sebab apa saya katakan yang saya tak terkejut pun.

Sejak tuduhan yang pertama dulu terhadap DS Anwar saya tak pernah percaya. Bukan saya taksub terhadap beliau malah saya pun bukan penyokongnya pun. Terus terang saya lebih dekat dengan Pas.

Tapi sebagai seorang muslim, saya langsung tak percaya tuduhan ke atas DS Anwar walaupun pada waktu itu beliau masih Timb. Presiden Umno.

Pada saya mana mungkin bahkan tak masuk akal manusia seperti DS Anwar boleh terlibat dengan jenayah sejijik itu. Beliau yang punya latarbelakang pejuang Islam walau atas platform apa pun bagi saya hampir mustahil boleh ‘involved’ dalam perbuatan keji seperti itu.

Rakan-rakan beliau yang ramai dikalangan para ulama’ tempatan dan antarabangsa menjadikan beliau berada dikalangan manusia berprinsip dan pengamal agama yang baik. Sejarah awalnya tercatat sebagai pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia ABIM sudah cukup menggambarkan tentang iltizamnya terhadap perjuangan agama dan keadilan sejagat. Mana mungkin bagi saya orang yang lidahnya saban waktu berceramah dan berpidato dengan imej islami boleh mampu berdiri dihadapan khalayak sekiranya dalam masa yang sama terlibat dengan aksi terlampau itu. Tak mungkin!

Ya betul saya ‘orang Pas’. Tapi itu bukan bermakna saya boleh menerima tuduhan jijik seperti itu walaupun ianya terkena kepada beliau yang ketika itu masih bersama Umno. Ustaz-ustaz bahkan Tok Guru pimpinan dalam Pas biasa membicarakan sudut-sudut hokum Islam yang menggariskan betapa ketatnya syarat untuk mensabitkan jenayah zina dan liwat. Bukan itu sahaja bahkan bahaya dan akibat kemurkaan Allah yang cukup mengerikan jika kita terlibat menuduh orang itu berzina atau meliwat. Ini menjadikan saya tidak dapat menerima langsung tuduhan yang dilemparkan ke atas DS Anwar sejak dulu lagi.

Sama juga dalam isu video seks. Datuk SK yang membuat pengakuan bahawa beliau adalah salah seorang yang ada dalam bilik kejadian perlakuan jijik itu. MasyaAllah. Ini satu lagi kenyataan yang sudah cukup bagi saya menolak mentah-mentah penglibatan DS Anwar. Hei…anda sendiri boleh fikir secara sihat dan rasional, adakah orang seperti DS Anwar mampu melakukan aksi tak senonoh itu di depan orang lain. Tak masuk akal!

Cukup jahat tuduhan ini. Menggambarkan betapa hodohnya DS Anwar yang bukan sahaja peliwat malah penzina jugak!

Sudahlah. Kalau orang Umno nak percaya terserah. Jawablah dengan Allah nanti. Saya memang langsung tak percaya. Cukuplah mengaibkan orang lain. Kepada mereka yang masih ada akal dan budi, ada iman dan agama berpatah baliklah. Jangan libatkan diri dalam hal mengaibkan ini. Kalau orang lain ada kepentingannya untuk menjatuhkan DS Anwar, tetapi kita yang tak ada apa-apa kepentingan ini jangan pikul dosa yang maha besar itu. Biar mereka meneruskan pembohongan demi menutup pembohongan terdahulu.

Saya tidak perlukan hujah mahkamah yang berbelit-belit, hujah saya di atas sudah cukup mengamankan hati saya.

Mereka merancang Allah juga merancang. Ketahuilah perancangan Allah lah yang terbaik.

Isnin, 16 Mei 2011

Tunggu apa lagi?

Fitnah semakin menjadi-jadi. Video lucah di edar dengan begitu bebas seolah-olah perbuatan mengedar bahan lucah bukan satu kesalahan. Akhbar arus perdana dan TV juga memilih mensensasikan cerita-cerita berskala 18SX. Cukup memalu dan mengaibkan. Dalam blog-blog pro Umno/BN lebih dahsyat lagi cerita-cerita tahap fitnah ini diangkat dan dimanupulasi semahunya. Apa nak jadi dengan masyarakat kita ni?

Semata-mata untuk mempertahankan pengaruh dan kuasa sanggup memfitnah dan mengaibkan saudara Islamnya sebegitu rupa. Lebih menyedihkan lagi saya belum mendengar nasihat yang ‘vokal’ dan lantang daripada ahli-ahli agama atau yang dikatakan ulama’ Umno dalam membetulkan sikap dan tuduhan melampau terhadap DS Anwar Ibrahim itu. Saya ada membaca satu berita dalam satu forum anjuran Umno baru-baru ini dimana seorang ulama’ muda Umno cuba memberikan nasihat berhubung isu video lucah tersebut, tetapi dengan selamba ianya di simpulkan sebaliknya oleh Ketua Penerangan Umno yang merupakan seorang lagi panel.

Ini sekaligus jelas menunjukkan bahawa suara ulama’ Umno walaupun dengan mengemukakan hujah agama, tetap boleh diketepikan dengan mudah jika ianya tidak menguntungkan Umno/BN.

Usaha ulama’ muda yang menyertai Umno itu memang patut dipuji dan saya harap dia dan rakan-rakan ulama’ nya mengumpul sedikit keberanian lagi untuk turut memantau dengan serius blog-blog proUmno ‘terlajak’ tersebut. Dalam masa yang sama suka juga saya pesankan berdasar kepada tindakbalas pimpinan Umno terhadap saranan ulama’muda mereka dalam isu sebesar fitnah seks ini bahawa Umno sebenarnya lebih suka peranan ulama’ muda ini lebih menjurus supaya menangani pengaruh Pas sahaja tak lebih daripada itu. Memang menyedihkan.

Kepada ulama’ muda Umno, kehadiran anda di sana memang tambah ‘mengeliru’kan umat. Saya tidak fikir anda gemar dan redha saudara Islam anda seperti DS Anwar Ibrahim diaibkan sedemikian rupa. Anda memang telah cuba melakukan apa yang patut tetapi impaknya hanya menambahkan keliru lagi umat.

Sikap terbaik anda adalah kembali semula kepada rakan-rakan seperguruan anda untuk berjuang di dalam saf yang satu. Tanpa berselindung saya ingin sarankan bahawa saf itu ialah Parti Islam SeMalaysia (PAS).

Anda tidak perlu membawa hujah panjang yang kononnya akademik tetapi berbelit-belit, kerana belitan itu biasanya hanya berpusing-pusing disekitar cuba menjaga kepentingan keselesaan pangkat, kedudukan dan pengaruh sahaja. Ianya cukup mudah, orang buta pun nampak kewarasannya. Oleh itu apa ditunggu lagi. Inilah masanya. Disaat budaya fitnah sudah membakar dengan lahap sehingga kian menghancurkan penghormatan terhadap bangsa dan agama kita.

Bangsa Melayu kita yang kaya dengan adab dan kelembutan sudah cukup terhina dengan budaya fitnah yang cukup songsang di dokongi pula oleh sang penguasa bangkrap idea dan nilai. Nasihat ilmuan dan ulama’ tidak dipakai demi memuaskan nafsu politik.

Saya yang kerdil ini setia menanti untuk meraikan ‘U-Turn’ saudara dengan kata-kata ‘Selamat kembali ke pangkuan sahabat-sahabat seperguruan’. Tunggu apa lagi?

Khamis, 12 Mei 2011

Kak Anis mulakan tingkatan 6...

Selepas sah mendapat jawaban daripada UPU bahawa Kak Anis gagal untuk mendapat tempat di mana-mana IPTA, maka kami pun mula melancarkan ‘plan B’. Hek..hek…macam nak perang pulak.

Rancangan kami bertumpu kepada samada Kak Anis akan menyambung ke mana-mana kolej swasta atau menerima tawaran ke tingkatan 6. Lama juga saya. isteri dan Kak Anis berbincang, melihat pro dan kontranya. Akhirnya kami sebulat suara bersetuju supaya Kak Anis menerima tawaran ke tingkatan 6.

Tawaran ke tingkatan 6 hanya datang sekali sahaja, manakala menyambung pelajaran ke kolej boleh dibuat pada bila-bila masa asalkan kita ada duit yang cukup, antara hujah saya dalam perbincangan itu. Memang sejak 2 bulan sebelum keputusan SPM keluar hampir saban hari Kak Anis menerima pelbagai surat, brochures malah SMS daripada pelbagai kolej swasta yang mempelawa untuk menyambung pelajaran di sana. Biasalah itu kan sebahagian strategi pemasaran mereka. Itu menunjukkan bahawa kolej swasta ini boleh dimasuki pada bila-bila masa tidak seperti tingkatan 6.

Adik saya Shahrul yang pernah belajar di tingkatan 6 kemudian melanjutkan pelajaran ke UUM juga menyokong keputusan kami. Lagi pun tingkatan 6 ni pun bukan lama, sekarang pun dah bulan 5, tahun depan bulan 11 dah mula periksa STPM. Jadi tempoh berada di tingkatan 6 hanya sekitar 1 ½ tahun sahaja, kata Shahrul memberikan semangat.

Lagipun daripada syarat-syarat kemasukan ke IPTA, pelajar-pelajar yang mempunyai STPM lebih mendapat peluang yang lebih besar berbanding lepasan SPM, itu yang saya lihat dan perhati dalam borang permohonan ke IPTA.

Tak apalah Kak Anis, yang penting tanamkan azam yang segar dan baru, pertingkatkan usaha, pertingkatkan juga hubungan dengan Allah dan insyaallah kejayaan yang penuh keberkatan akan berada di pihak kita, saya terus memberikan semangat dan motivasi.

Memang saya dan uminya menaruh harapan yang tinggi kepada Kak Anis, bukan sahaja kerana beliau anak yang sulung tetapi keyakinan terhadap kesungguhan dan minat belajarnya. Walaupun Kak Anis hanya memulakan sekolah menengah kebangsaan di tingkatan 4 kerana sebelum itu beliau belajar di sekolah agama rakyat selama 3 tahun tetapi kami bangga kerana dia cepat menyesuaikan diri dan begitu aktif dalam kegiatan sekolah sehingga berjaya mencapai 4A, 2B, 2C dalam SPM yang baru lalu.

Untuk melakarkan perjuangan Kak Anis menyesuaikan diri, bertarung sehingga mampu bersaing ke tahap itu selepas ‘agak ketinggalan’ daripada segi akademik selama lebih 3 tahun, saya dan uminya sekali lagi mengangkat tangan kesyukuran.

Bukanlah bermakna selama 3 tahun di SAR beliau tidak mendapat sesuatu, bahkan tempoh itu telah begitu banyak membungakan manafaat tidak terhingga sehingga kami cukup bersyukur apabila Kak Anis ‘selesai’ masalah-masalah yang dirisaukan oleh banyak ibu bapa seperti solat, aurat dan pergaulan bebas. Alhamdulillah.

Sebenarnya saya dan uminya tidak pernah sesal kerana memilih SAR untuk Kak Anis di peringkat menengah rendah beliau. Walaupun dia terpaksa menamatkan sessi SARnya selepas saya sendiri memerlukan bantuan dan perhatian lebih disebabkan masalah kesihatan dan tidak ada SAR yang sesuai untuk dia menyambung di sekitar kediaman kami maka Kak Anis terpaksa menyambung ke SMK.

Apa yang saya kagumi dan bersyukur ialah kemampuan Kak Anis menyesuaikan diri dan mampu meletakkan dirinya ditengah-tengah perhatian dan harapan guru-guru dengan penampilan islamiknya. Tahniah sekali lagi Kak Anis.


Semoga Kak Anis akan terus mencipta kejayaan di tingkatan 6 ini atau PPU (Program Pra-Universiti) menurut istilah guru penyelaras tingkatan 6 dalam taklimatnya itu. Bahkan bukan kejayaan semata-mata tetapi kejayaan bersama keberkatanNya. InsyaAllah.

Selasa, 10 Mei 2011

Template untuk Amir...

Amir Saiful Islam anak saya yang ke-3 pulang bercuti setiap 2 minggu. Beliau belajar di Tingkatan 3 di STARP, Sabak Bernam. Dalam usrah keluarga kami baru-baru ini beliau membangkitkan mengenai sikap beberapa orang kawan sekolahnya yang membuat tuduhan melulu terhadap perjuangan Islam Pas.

P.A.S , Parti Ajaran Sesat! Kata seorang kawan dengan nada mengejek di sambut dengan gelak beberapa kawan yang lain. Tuduhan yang muncul secara tiba-tiba itu jadikan kita susah nak ‘counter’ balik, kata Amir. Bukan tak boleh jawab tapi geram sangat dengan cara mereka ‘menyerbu’ gila macam tu, bantahnya keras.

Saya cuba membantu untuk melepaskan sakit hati dan geram terhadap tindak tanduk beberapa orang kawannya itu. Sebenarnya itulah reality sebenar masyarakat, saya menenangkan degupan jantungnya. Kita mungkin telah membaca pelbagai tulisan atau mendengar ceramah-ceramah yang telah pun menjawab persoalan yang di ejekkan oleh kawan kita seperti di atas. Atau kita sendiri memang pun punyai hujah balas untuk itu. Tetapi suasana dan ‘serangan’ mendadak tanpa diduga itu menyebabkan kita gelabah dan hilang punca.

Jadi abah suka kalau Amir sedar mengenai reality seperti itu. Kita perlu mengambil ini sebagai sejenis ‘exercise’ minda yang sihat. Sebab perjalanan yang bakal dilalui oleh pejuang Islam akan menempuh banyak lagi ‘sergahan’ yang lebih hebat terhadap minda kita. Tidak perlu tertekan atau panas hati membuta tuli untuk menjawab. Tetapi tunjukkan kematangan dan ajarkan juga kematangan itu kepada mereka. Amir nampak berminat dan cuba memahami apa yang saya maksudkan. Agak tinggi kot lontaran saya kali ini.

Sebenarnya banyak lagi lontaran-lontaran negatif yang dibuat oleh kawan-kawan mengenai perjuangan Islam Pas, Amir mencelah cakap saya. Tapi mereka ni bukannya serius sangat, buat main-main je. Tapi kalau tak jawab pun tak boleh, nampak dia marah sangat dengan sikap kawan-kawannya itu.

Memanglah. Sikap Amir tu betul. Betul sebab kita kena marah dan benci bila sesuatu itu di tuduh atau di nilai dengan cara yang salah dan tidak adil, saya cuba masuk gear satu tapi tak tahu nak jawab dulu ke persoalan di atas atau memberikan Amir asas dalam menjawab.

Macam nilah, saya mula memutuskan untuk menjawab dulu. P.A.S. Parti Ajaran Sesat, seperti kata merekalah. Carilah peluang untuk mengajak mereka berfikir sedikit, kata saya. Mereka tentu kenal Dato’ Dr Haron Din, dia ialah Timbalan Mursyidul Am Pas! Kalau kamu kata Pas sesat bermakna kamu juga kata Dr Haron Din sesat.

Kamu tentu kenal Ustaz Datuk Hj Ismail Kamus, dia ialah ahli Pas dan bekas JK Pas Pusat, kalau kamu kata Pas sesat bermakna kamu juga tuduh beliau sesat.

Kamu tentu juga kenal Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, dia ialah Naib Presiden Pas, kalau kamu kata Pas sesat bermakna kamu juga tuduh ulamak ini sesat.

Cukup bawa 3 nama ulama tersohor ini. Tak perlu kita kemukakan Tok Guru Nik Aziz atau Tok Guru Hj Hadi, kata saya. Tak payah jawaban yang ilmiah untuk persoalan macam tu untuk tahap kawan-kawan yang macam tu, tambah saya lagi. Amir mengangguk-angguk.

Sama juga dengan persoalan lain yang dilontarkan atau yang akan dilontarkan, saya mula naik syeh. Pasal Amir hanya balik 2 minggu sekali jadi sudah tentulah tak dapat nak ikuti perkembangan semasa dengan baik melainkan yang terhidang di sekolah melalui akhbar arus perdana dan saluran TV, tambah saya.

Jadi Amir sekali lagi perlu mengajar kawan-kawan bagaimana menjadi muslim yang baik. Muslim yang baik atau bakal pemimpin yang baik sudah tentulah mempunyai sifat adil apabila menilai sesuatu. Kalau isu yang dibangkitkan oleh TV3, RTM atau Utusan Malaysia menuduh Pas, adalah adil sebagai muslim yang baik dan bakal pemimpin yang berwibawa satu hari nanti belajar untuk mendapatkan maklumat sebenar daripada sumber Pas sendiri seperti akhbar Harakah atau ceramah pimpinan Pas sebelum kita membuat sesuatu kesimpulan. Lega rasanya dah sampai ke tahap ini bisik hati saya.

Bolehkah kita berlaku adil kalau kita hanya mendengar isu yang dibangkitkan oleh sekutu Umno/BN itu tanpa kita menyemak sumber sebenar daripada pihak yang dituduh seperti Pas? Saya menguatkan lagi hujah.

Kalau kita boleh lakukan seperti itu, menilai dengan adil katakan kepada kawan-kawan kita itu bahawa tidak menjadi hal kalau mereka hendak cenderong menyokong mana-mana pihak dalam sesuatu isu. Kerana anda telah mendengar dari kedua belah pihak. Terserah kepada anda.

Inilah ‘template’ jawaban kepada semua persoalan yang melibatkan isu semasa yang abah sediakan untuk Amir. Kita hendak usahakan supaya rakan-rakan kita diangkat keatas landasan yang betul. Iaitu landasan tahap pertama, landasan berfikir dan menilai secara adil dan bijak. Bukan membuat lontaran-lontaran bodoh yang tidak melambangkan jiwa sebagai pemimpin masa depan.

Satu lagi yang Amir perlu ingatkan kepada kawan-kawan ialah supaya lebih berhati-hati untuk membuat tuduhan kepada ulamak. Kalau tidak tahu hujung pangkal lebih baik diam. Itu lebih selamat.

Rabu, 27 April 2011

Sedikit sorotan kegigihan ahli Pas

Saya teringat sembang-sembang dengan Ustaz Zakaria dan isterinya Umi Sham beberapa hari lalu. Banyak juga yang kami bualkan tapi yang menarik perhatian saya ialah cerita-cerita mengenai kegigihan ahli-ahli biasa Pas mengumpul dana untuk membangunkan jamaah.

Saya menyorot cerita yang pernah di sampaikan oleh allahyarham Ustaz Bunyamin Yaacob satu ketika dulu sewaktu berkuliah di Balai Islam Taman Melawati. Katanya dia pernah berceramah di sebuah kampung pendalaman di Negeri Pahang. Tuan rumah tempat dia berceramah itu adalah sebuah keluarga penoreh getah yang hidup cukup sederhana. Maklumlah orang kampung, pendalaman pulak tu.

Selepas ceramah semasa di jamu sedikit jamuan dia ternampak 8 keping getah di sidai (istilah orang Melaka) di atas para rumah tersebut. Yang agak ganjilnya 5 keping getah di sebelah sana manakala 3 keping disebelah sini. Sengaja saya bertanya, kata ustaz Bunyamin kepada tuan rumah apa bezanya getah di sana dan di sini. Kata tuan rumah, 5 keping itu untuk kami sekeluarga, manakala 3 keping itu adalah untuk Parti Pas!

Umi Sham pula menceritakan sewaktu dia tinggal di Kedah dulu, semua ahli-ahli Pas di situ diingatkan supaya mengasingkan segenggam beras setiap kali memasak nasi. Beras yang diasingkan itu adalah untuk jamaah Pas. Setiap bulan ahli-ahli akan membawa beras yang mereka asingkan itu ke markaz untuk dikumpul dan dijual untuk kegunaan tabung perjuangan Islam Pas.

Memang itulah secebis kisah kegigihan dan keikhlasan pejuang Pas membangunkan perjuangan. Isteri saya juga berkongsi cerita bagaimana kami juga menyediakan sebuah tabung Pas untuk diisi oleh kami sekeluarga.

Saya masih ingat cerita kegigihan ahli-ahli Pas seperti ini sering di bawa oleh alllahyarham Ustaz Hj Hassan Shukri dimasa hayatnya kalau beliau mengisi program-program Pas di mana-mana sahaja.

Mungkin ini sebahagian daripada maksud seorang penyajak yang mendeklamasikan sebuah sajak berjudul ‘Wira Tak Di Dendang’

Jumaat, 22 April 2011

Sahabatku, selamat berangkat ke alam abadi...

Pagi tadi sekitar jam 8.30 pagi saya menerima panggilan yang agak pelik. Anak saya yang tolong mengambilkan talipon bimbit saya berkata…Cikgu Hisyam. Saya katakan pelik kerana sudah sekian lama Hisyam tidak gatal tangan untuk bercakap dengan saya. Mungkin dia sibuk, cikgulah mana tak sibuknya. Biasanya Hisyam akan hanya ber SMS dengan saya sahaja. Tapi pagi ini tidak, saya mula berteka teki.

Wan, apa khabar, Hisyam memulakan bicara dengan sedikit ketawa buat-buatnya. Dia memang macam tu dari dulu pun. Ketawa tak menjadi. Bila dengar nada suaranya saya rasa sedap hati sedikit, mungkin dia rindu kat saya maka dia talipon pagi-pagi ni, fikir saya. Kami memang bersahabat baik masa di kampung dulu. Selain Hisyam, sahabat lain yang sama-sama mengimarahkan masjid lama di kampung kami tu ialah Mat Seman, Pian, Camat, Karim, Jazlan, Copit, Nangguai, Zaki, Jazreen, Jai dan beberapa orang lagi. Semua ni gelaran di kampung. Masjid lama tu ialah port kami semua.

Ada dapat berita tak, sambung Hisyam tiba-tiba. Saya tersentak. Berita apa? Sahabat kita Mat Seman meninggal dunia pagi tadi. Apa! Innalillahi wainna ilaihi rojiuun. Terkejut bercampur sedih, lemah seluruh badan. Saya tidak memanjangkan cakap ditambah Hisyam sendiri pun tidak punya banyak maklumat lain.

Selepas bertenang beberapa ketika saya minta jasa baik isteri untuk menalipon isteri Mat Seman menggunakan nombor talipon bimbit Mat Seman sendiri. Alhamdulillah beliau menjawabnya dan memaklumkan ringkas bahawa suaminya terjatuh di bilik air sekitar pukul 2 pagi tadi. Tambahnya lagi Mat Seman memang sejak 2 bulan kebelakangan ini sakit agak berat. Memahami keadaannya pada waktu itu, isteri saya meringkaskan percakapan.

Saya cuba mendapatkan maklumat lain daripada beberapa rakan sekolah lain antaranya Codet. Masih belum cukup. Saya membuka facebook dan sudah ada rakan yang membuat makluman mengenai kematian Mat Seman.

Jam sudah hampir 10 pagi. Saya terpaksa bersiap untuk ke Hospital Selayang untuk dialysis. Selepas solat sunat Dhuha saya membacakan surah Yaasin untuk arwah. Saya sungguh sedih hari ini. Sepanjang jalan tidak ada yang bermain di fikiran saya melainkan ingatan sewaktu zaman kami bersahabat dulu. Lepas satu scene, satu lagi scene yang muncul di layar memori saya.

Di kampung dulu saya sebenarnya bukan dalam kumpulan kawan-kawan Mat Seman. Saya dikira bersama kumpulan terbesar atau kumpulan arus perdanalah dalam istilah orang sekarang ni. Tapi selepas memulakan sessi tingkatan 4, saya mula mengenali Karim yang dulunya bersekolah di tempat lain yang tinggal di kampung sebelah.

Karim ni agak alim dan orang surau. Saya selesa berkawan dengannya. Karimlah yang memperkenalkan saya dengan kaset-kaset ceramah. Saya yang tidak pernah mendengar ceramah melalui kaset di pinjamkan oleh Karim kaset ceramah Ustaz Ghazali Hasbullah dan Pak Yazed. Di sini lah bermulanya hati saya mula jinak dengan masjid.

Bila saya mengambil keputusan untuk jadi ‘orang masjid’, di sana saya berjumpa Mat Seman dan Hisyam yang telah lebih awal menjadi orang masjid. Di situlah bermulanya persahabatan kami.

Banyak peristiwa dan kisah yang telah kami tempa sepanjang persahabatan tersebut. Saya masih Mat Seman telah mencadangkan supaya kami pergi berguru dengan Ustaz Sulaiman di Taman Maju. Selepas beliau mengusahakan temujanji dengan pihak ustaz, maka kami pun beramai-ramai mengayuh basikal ke surau berhampiran rumah ustaz untuk belajar solat yang betul. Saya tidak ingat berapa sessi yang kami berguru dengan ustaz, tetapi memang lama.

Mat Seman memang seorang yang cukup ceria. Sebab itu tidak ada sesiapa pun yang menyangka beliau mengidap apa-apa penyakit. Kalau pun ada pernah beliau kiaskan, tetapi keceriaannya menyebabkan sahabat dan rakan tidak melihatnya sebagai serius. Semenjak saya sakit dan pencen awal, beliau beberapa kali singgah bertanya khabar.

Kali terakhir beliau singgah di rumah saya ialah seminggu selepas ramai rakan-rakan sekolah datang menziarahi saya. Beliau lewat seminggu sebab tak sempat nak datang minggu lepas katanya.

Saya ada beberapa kali menghantar sms kepadanya tetapi agak jarang dia menjawab sejak awal tahun ini. Mungkin dia sibuk dengan tugasan sangka saya. Hanya satu sms saya yang di jawabnya apabila saya bertanya mengenai samada dia tahu atau tidak sesiapa yang boleh menebas semak samun di tanah saya di Jasin. Dia minta saya berjumpa ayahnya, sebab Mat Indon yang ayahnya kenal mungkin boleh buat kerja itu. Itu sahaja.

Langsung dia tidak menceritakan kalau-kalau dia sedang sakit ke. Dia datang ke sini pun dulu memang tak nampak langsung tanda-tanda yang dia sakit serius. Sehinggalah bila tadi isterinya memberitahu bahawa dia sebenarnya sakit kuat sejak 2 bulan kebelakangan ini.

Saya yakin kepergiannya cukup mengejutkan dan menyedihkan sahabat dan rakan. Telah pergi seorang watak ceria di kalangan kita. Pertemuan sahabat dan rakan selepas ini sudah tentu hilang serinya bila Mat Seman tiada lagi.

Sahabatku, selamat berangkat ke alam abadi. Al fatihah.

Rabu, 13 April 2011

Ya Allah kurniakanlah kemenangan!

Pilihanraya DUN Sarawak kali ini memang luar biasa sambutannya. Angin perubahan dapat dirasakan dimana-mana. Melalui laporan blog-blog pro Pakatan, saya melihat mereka begitu yakin terhadap azam rakyat Sarawak untuk menolak BN kali ini. Manakala paparan media BN terutama TV3 jelas memperlihatkan ketakutan dan kegelabahan yang begitu ketara terhadap kebangkitan rakyat.

Memang, semua pihak tidak menyangka rakyat Sarawak bangkit pada hari ini untuk melakukan perubahan. Sambutan masyarakat Sarawak yang terdiri daripada pelbagai etnik seperti Iban, Kadazan, Bidayuh, Melayu, Cina dan lain-lain terhadap Pakatan mengingatkan saya terhadap protes besar-besaran kaum India di Semenanjung dalam PRU-12 yang lalu. Gelombang kali ini sudah menjadi Tsunami! begitu rumusan rakan-rakan blog.

Yang mengujakan saya lagi bila calon-calon Pas turut mendapat sambutan begitu hebat. Kehadiran Tuan Guru Mursyidul Am Pas ke Sarawak telah benar-benar menggegarkan BN. Ceramah pada 10hb yang baru lalu adalah antara yang mencemaskan BN, bila ianya membariskan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Tok Guru Nik Aziz. Kehadirannya sudah melangkaui 10 ribu orang! Ini sudah merupakan sesuatu yang pelik bila ianya berlaku di Bumi Kenyalang.

Melalui gambar-gambar yang di post ke blog-blog jelas sekali bahawa sambutan rakyat Sarawak kali ini cukup menakjubkan. Saya sempat melihat satu klip video bagaimana rombongan PM disambut dengan kibaran bendera Parti Keadilan oleh rakyat setempat sambil melaungkan reformasi.

Memang kerajaan BN Taib Mahmud sudah begitu tua. Kepimpinannya sudah tidak diperlukan lagi oleh rakyat. Masanya sudah tiba untuk BN Sarawak duduk di kerusi pembangkang dan melihat bagaimana Pakatan Rakyat melakukan urus tadbir yang baik sebagaimana yang dilakukannya dengan begitu cemerlang di negeri-negeri yang dikuasainya di Semenanjung. Rakyat sudah begitu lama menderita manakala pemimpin BN pula hidup begitu mewah.

Apapun tugas kita di sini selain menghulurkan sumbangan tabung pilihanraya Sarawak, kita juga wajib untuk berdoa dan bermunajat supaya Allah swt menjatuhkan sebuah kerajaan yang rakus dan terbentuk sebuah kerajaan baru yang menyebelahi rakyat.

Ya Allah kurniakanlah kemenangan kepada 5 orang calon Pas di Sarawak khususnya. Dengan kemenangan itu akan menjadikan kerajaan baru Pakatan Rakyat di Sarawak lebih diberkati. InsyaAllah.

Ahad, 3 April 2011

Teringatkan Pak Yazed

Jam sudah pukul 2 pagi, saya masih sukar untuk melelapkan mata. Sekitar pukul 12 tengah malam tadi saya menyiapkan beberapa perkara asas Blog seorang rakan. Hinggalah pukul 1.30 pagi. Letih juga dan saya memadamkan laptop terus baring. Tetapi mata tak boleh nak tidur. Dalam mengelamun itu saya teringatkan Pak Yazed, penceramah dan pejuang veteran. Pelbagai scene berputar mengingatkan saya kepada beliau.

Saya mula mengenali beliau melalui kaset ceramah yang dipinjamkan oleh rakan sekelas sewaktu saya di tingkatan 4. Apabila saya berhijrah dari kampung ke Kuala Lumpur 4 tahun selepas itu, perkara pertama yang saya usahakan ialah mencari di mana letaknya rumah Pak Yazed yang katanya ada dianjurkan kelas pengajian setiap pagi Ahad.

Alhamdulillah, dapat juga saya menemui lokasinya iaitu berhampiran dengan Masjid Jamek Kg Bharu, KL. Sejak itu setiap pagi Ahad saya akan turut serta menghadiri kuliah di rumah Pak Yazed walaupun beberapa bulan pertama saya di KL saya tinggal di Kepong.

Selepas saya sudah pandai ‘bertatih’ di KL, saya mendapat rakan dan mula menyewa bilik di Kg Bharu. Sejak itu saya makin mudah untuk ke kuliah di tambah pula sudah mula mempunyai sahabat-sahabat usrah. Bila pihak tempat saya bekerja menyediakan surau yang agak selesa, saya dan beberapa orang rakan memulakan kuliah tengahari di surau. Antara penceramah yang saya masukkan untuk slot ceramah ialah Pak Yazed.

Ceramah Pak Yazed mudah sahaja dan kadang-kadang berulang-ulang. Bagaimanapun disebabkan usia beliau, ceramah-ceramahnya sentiasa mendapat sambutan malah teguran-tegurannya pun boleh di terima sebagai nasihat seorang ayah atau datuk. Di situlah bermulanya Pak Yazed mengenali saya. Bagaimanapun beliau memanggil saya sebagai ‘Asri’ walaupun beberapa kali saya membetulkan nama saya. Tak apalah.

Saya masih ingat antara isi kuliah yang digemarinya ialah menyebut mengenai tali leher. Katanya dalam kitab lama ada disebutkan ‘harammm orang lelaki memakai tali leherrrrr’, bacanya pun gaya ustaz pondok. Tapi anak-anak, tali leher tu bukan ‘neck tie’ yang kamu pakai tu. Neck Tie tu kalau besar sampai boleh buat sejadah pun tak pa. Tapi tali leher yang dimaksudkan dalam kitab ialah rantai leher! Tu yang kena mengaji tu…, katanya sambil disambut oleh ketawa hadirin.

Pernah Pak Yazed uzur disebabkan beliau dilanggar oleh Mat Rempit masa buka pintu kereta untuk ke kuliah. Kejadian yang berlaku berhadapan rumahnya menyebabkan beliau terpaksa mendapat rawatan di hospital dan lama terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda. Bila sampai gilirannya berkuliah di pejabat saya, dia tetap mahu datang menunaikan tanggungjawab berkuliah walaupun uzur. Waktu saya menyambutnya di lobby pejabat, saya ada menunjukkan simpati kepada beliau kerana bersusah-susah datang juga walaupun uzur. Kata Pak Yazed, alahhh S.M. Salim pun boleh menyanyi atas kerusi roda, takkan lah ustaz tak boleh ceramah atas kerusi roda?

Pak Yazed juga gigih mengumpul dana bagi menyiapkan sebuah bangunan yang akan menempatkan kediaman orang-orang tua, anak yatim dan pusat kuliah. Bangunan tersebut telah pun siap dan saya bersama beberapa sahabat surau pejabat sempat di bawa melawat tingkat demi tingkat oleh Pak Yazed sewaktu kami menghantar sumbangan barangan dapur ke situ.

Dalam diam rupanya sudah lebih setahun saya tidak berjumpa Pak Yazed kerana telah menamatkan perkhidmatan. Kata sahabat di pejabat saya dulu, kuliah di surau sudah tidak ada lagi. Ada banyak kekangan. Sedih saya mendengar berita itu.

Apapun antara yang masih saya ingat ialah Pak Yazed tidak akan pernah lupa sebelum menamatkan kuliahnya akan menyebut nama saya sebagai ‘Asri’ yang membawa begitu banyak sumbangan kakitangan Bank Industri untuk di sampaikan kepada Al Ikhwan, pusat tarbiyyah yang dibangunkan oleh Pak Yazed di Datuk Keramat. Walaupun saya hanya terlibat mengumpul dan menyerahkannya kepada Al Ikhwan, tetapi ingatan dan sebutan Pak Yazed tersebut begitu mengharukan.

Ya…Isnin ini saya akan minta bantuan Pendi untuk mendapatkan khabar Pak Yazed.

Rabu, 23 Mac 2011

Alangkah jahatnya fitnah!

Alangkah jahatnya tuduhan terbaru terhadap Anwar. Saya tidak fikir ada manusia yang waras boleh menerima bulat-bulat fitnah seperti itu. Anwar yang sebelum ini cuba digambarkan sebagai ‘kaki’ liwat kini dikaitkan pula sebagai ‘kaki’ betina.

Apa ‘standard’ dan jenis pemikiran musuh politik seperti ini hingga tergamak secara paling ‘bodoh’ membuat tuduhan semacam itu. Kalau benci sangat kepada Anwar carilah cara lain yang lebih beradab. Berdepan betul-betul atas pentas politik dan demokrasi. Bawa hujah kamu dan berdebat secara sihat. Rakyat yang akan menghakimi. Dulu masa PRK Merlimau Ali Rustam ada membuat cabaran untuk berdebat tetapi disebabkan kurang berani Ali telah membuat ‘helah’ sehingga debat itu tidak menjadi.

Sejak lebih sedekad tuduhan-tuduhan bersifat dalam kelambu terus di dendangkan untuk membunuh musuh politik. Saya sendiri cukup malu untuk membaca tuduhan yang dilemparkan atau mendengar ianya dibacakan oleh pemberita TV. Kata seorang rakan, bukan kita yang mendengar pertuduhan itu sahaja yang malu, si pembaca berita itu pun berubah aura mukanya kerana malu untuk membacakan fitnah seperti itu!

Dalam fitnah yang baru ini, tayangan clip video lucah tersebut katanya dibuat di Carcosa. Sebenarnya bukan senang nak buat majlis atau program di situ kecuali mendapat laluan dan lampu hijau daripada mana-mana pemimpin. Itukan tempat elit. Sebab itu saya yakin bahawa semua ini adalah konspirasi bertujuan untuk membunuh karektor Anwar.

Siang tadi dalam sidang media, Anwar memberitahu bahawa wartawan yang melihat video itu memaklumkan rakaman itu dibuat pada 21hb Februari. Sedangkan menurut Anwar pada waktu itu beliau berada bersama keluarga termasuk cucunya. Bahkan pada waktu itu beliau sedang melayari twitter. Menurutnya twitter tersebut masih beliau ‘save’ sebagai bukti.

Jadi semakin jelas bagaimana ianya adalah sebuah konspirasi kotor dan jijik. Mereka merancang untuk menghancurkan PR khususnya dalam pilihanraya DUN Sarawak tetapi bak kata Anwar petang tadi mungkin dalam 2 minggu pertama mereka nampak berjaya tetapi selepas itu rakyat akan mendapat maklumat yang sebenar.

Alangkah jahatnya fitnah!

Khamis, 10 Mac 2011

Sedikit sorotan kerana kerinduan...

Semalam saya keluar bersama 2 anak lelaki saya dan seorang anak saudara yang juga telah tinggal bersama kami sejak awal penggal persekolahan baru-baru ini. Ini adalah kerana pada malam tersebut rumah kami mendapat giliran untuk program usrah zon muslimat. Jadi saya mengambil keputusan untuk pusing-pusing bersama anak-anak lelaki sementara usrah tersebut berlangsung.

Memang menjadi kebiasaan, bila di dalam kereta saya mengambil peluang memberikan nasihat atau bercerita mengenai pelbagai topik bersama anak-anak. Malam itu saya mengimbas kembali zaman remaja saya. ‘Abah dulu memang seorang yang pemalu’, saya memulakan cerita.

Memang betul. Selepas Wan (nenek) saya meninggal tinggallah saya berseorangan di rumah pusaka tersebut. Adik saya, Suriya diambil oleh keluarga sebelah emak di Negeri Sembilan dan bersekolah di sana. Manakala emak tiri dan anak-anaknya (adik saya juga) telah lebih awal dijemput oleh keluarganya dari Taiping.

Memang tiada siapa yang memahami sikap saya tidak ikut ‘pulang’ ke Negeri Sembilan untuk tinggal bersama keluarga ibu saudara di sana. Ungkapan arwah Wan menyerlahkan apa yang bermain di benak saya. Katanya, ‘Safuan, kalau Wan mati engkau jangan ke mana-mana, duduklah di rumah ni, nanti engkau tu nak mintak air pun malu!’

Bila abah balik dari sekolah, memang ada yang bertanya ‘dah makan ke belum’, saya menyambung cerita. ‘Abah memang tak pandai untuk menjawab ‘belum’ untuk soalan seperti itu. Sudah, jawab abah dengan nada sederhana. Walhal abah belum makan lagi.’

Begitulah selalunya. Kadang-kadang bila pulang dari sekolah, ada yang meletakkan makanan di pintu rumah. Alhamdulillah, rezeki. Memang, disebabkan susuk tubuh saya yang agak besar sejak kecil lagi, tidak ada sesiapa yang pernah menyangka bahawa saya biasa tidak jumpa nasi sampai 4,5 hari!

Saya selalu menangis mengenangkan betapa sukarnya hidup tanpa punya ayah, mak dan Wan pada waktu itu. Tiga insan yang cukup dekat dengan saya. Tempat bermanja dan mengadu hal. Memang selepas Wan meninggal dunia, apa sahaja yang terbuku dihati, kehendak dan kemahuan terpaksa dipendam sendiri. Tiada siapa yang dipercayai untuk dikongsikan. Dulu Wanlah yang selalu berjaya menterjemahkan bisik hajat dan kemahuan. Tak perlu cakap, Wan dah tahu!

Pengalaman abah bersama mak terlalu singkat, cerita saya lagi sambil meluncurkan kereta ke arah Rawang. Ya lah, mak saya meninggal ketika saya belajar di darjah 3. ‘Mujurlah gambarnya masih ada dalam simpanan abah’, sambung saya. Tetapi suara mak sudah benar-benar luput dari ingatan. Puas saya cuba mengingat tapi tak secebis perkataan mak yang berjaya saya jangkau kembali.

Ayah, pernah sekali meluahkan isi hatinya kepada saya waktu bercuti di rumahnya selepas beliau berhijrah ke Pahang bersama keluarga barunya. Selepas ayah meninggal barulah saya dapat ‘memerangkap’ nilai hati budi ayah yang cukup menyayangi saya dan Suriya. Saya cukup tahu betapa ayah sayangkan kami tetapi keadaan ‘ekonomi’ ayah menyebabkan beliau tidak berjaya membawa kami tinggal bersama. Tak apalah ayah. Apapun kami tetap rindu dan sayangkan ayah. Ayah memang telah melakukan yang terbaik.

Sebenarnya saya ingin katakan kepada anak-anak bahawa latar demikianlah yang telah mempengaruhi gerak laku, emosi dan stail abah. Sorotan masa lampau sebenarnya adalah terjemahan kerinduan abah pada saat dan masa tersebut.

Rabu, 9 Mac 2011

Apapun tahniah kepada yang telah mengundi Pas...

Selepas 3 hari baru nak sembang pasal keputusan 2 PRK. Walaupun saya dan seluruh pendokong gerakan Islam mengharapkan pengundi di 2 DUN berkenaan membuat kejutan tetapi ternyata harapan itu masih tinggal sebagai harapan sahaja.

Memanglah petunjuk atas kertas masih berpihak kepada Umno/BN dalam PRK tersebut, tetapi tidak menjadi kesalahan bahkan memang kita dituntut supaya selalu membayangkan kejayaan dalam seluruh tugasan kita.

Saya masih lagi tertarik dengan angka sokongan kepada Pas dalam 2 PRK tersebut. Yang mana kedua-duanya membayangkan bahawa jumlah sokongan kepada Pas masih dianggap tidak berganjak berbanding dengan keputusan PRU 2008. Dalam keadaan seluruh kekuatan jentera kerajaan digunakan oleh Umno/BN termasuk media cetak dan elektronik, penyokong Pas tetap kental mempertahankan maruah undi mereka. Inilah sudut pemerhatian yang cukup menakjubkan!

Seperti sidang akhbar Tuan Hj Yuhaizad, calon Pas Merlimau katanya antara lain walaupun kalah beliau bersyukur kerana dibelakangnya masih ada lebih 2000 orang yang tetap setia dengan perjuangan Pas.

Saya yakin sekiranya Pas berjaya me mobilisasi tenaga penyokongnya yang hebat itu di mana-mana tempat di negara ini, bukan sesuatu yang pelik Pas akan menggantikan Umno/BN dalam PRU yang akan datang ini.

Kata seorang teman saya, 2000 pengundi Pas di DUN Merlimau hanya perlu mencari setiap seorang satu sahaja pengundi baru Pas di situ sebelum PRU akan datang. Menjelang PRU ke-13, DUN Merlimau sudah ada 4000 pengundi Pas! Itu teori kawan saya. Mustahilkah?

Sesiapa yang menjengok akhbar-akhbar perdana dan menjeling paparan TV3 khususnya akan menyangka bahawa pertandingan di 2 PRK tersebut adalah pertandingan 1 penjuru. Mana tidaknya hanya berita calon Umno/BN sahaja yang dilapor secara positif. Temuramah dan bual bicara pun hanya untuk mereka sahaja. Bukankah itu namanya pertandingan 1 penjuru?

Memang itulah resam dalam demokrasi ala Umno/BN. Media ini semakin menggila bila musim pilihanraya. Tolak tepi segala etika yang penting ‘tuan-tuan’ kita dimenangkan. Malang sungguh demokrasi negara kita.

Saya pun dah lama tak tengok. Kat rumah pun saya tak letak TV kat ruang tamu, saya letak di dapur sana. Saya tak tergamak nak letak ‘tong’ propaganda tu kat sudut paling mahal dalam rumah saya. Tempat tu saya lebih suka letakkan Al-Quran dan buku-buku yang lebih berfaedah.

Sama juga dalam hal penggunaan tempat-tempat awam seperti dewan orangramai, stadium atau lapangan awam. Selepas Pakatan Rakyat menang beberapa negeri semua pihak dibenarkan menggunakan tempat-tempat awam ini jika mereka mengikuti prosedur dan membayar yuran penggunaannya. Sebelum ini (masa mereka memerintah) Umno/BN tidak membenarkan dengan pelbagai alasan sehingga tempat awam seperti ini hanya dieksploitasi oleh mereka sahaja.

Sebab itu rakyat wajib mengembalikan demokrasi negera ini mengikut piawaiannya yang sebenar. Caranya ialah dengan memberi mandat kepada Pakatan Rakyat yang terasnya Pas untuk memimpin negara.

Saya yakin rakyat akan menemukan sebuah kehidupan yang jauh lebih sejahtera dan sebuah negara yang mengutamakan hak rakyat.

Apapun seperti biasa, saya tetap memberikan 5 bintang kepada seluruh pimpinan Pas, pendokong dan penyokong mereka.

Jumaat, 4 Mac 2011

2 PRK : Tak mampu debat....kacau dan ugut!

PRK Merlimau di Melaka dan PRK Kerdau di Pahang telah sampai ke kemuncaknya bila 2 hari lagi pengundi di 2 DUN tersebut akan keluar untuk membuang undi bagi memilih wakil mereka.

Sekali lagi saya seperti pada PRK Tenang di Johor baru-baru ini menyeru supaya pengundi memberikan undi mereka kepada calon Pas jika mereka mahu kawasan mereka mendapat perhatian istimewa daripada semua pihak. Selain daripada pelbagai projek yang akan membanjiri kawasan mereka (kerana BN akan berusaha melambakkan projek mereka di kawasan yang mereka kalah bagi tujuan merampasnya kembali) pengundi di kawasan itu akan di catat oleh sejarah sebagai pahlawan dan wira. Tak percaya cubalah menangkan Pas di 2 DUN berkenaan!

Yang mengejutkan perhatian saya pada 2 PRK ini ialah laporan mengenai sikap agresif dan samseng yang dikira melampau di pamerkan oleh petugas BN sehingga ada pentas ceramah yang cuba dibakar, kereta yang dipecahkan cermin, paku-paku ditaburkan bagi tujuan merosakkan kenderaan yang hadir ke ceramah PR, ugutan yang meluas termasuk kejadian kereta Dato' Seri Anwar ibrahim dikepung dan dibaling batu.

Saya termenung seketika. Bagaimana zaman canggih ICT ini boleh ada manusia yang masih berfahaman begitu 'rimba'. Bukankah pilihanraya dalam sistem demokrasi menyediakan pentas yang betul untuk menegakkan dan melobi dasar perjuangan masing-masing. Lebih-lebih lagi antara peristiwa di atas berlaku di 'Negeri Maju' seperti Melaka? Apakah ini yang sering di katakan orang sebagai negeri maju tetapi pemikiran rakyatnya jauh di tengah hutan belantara!

Memang saya hairan. Pada peringkat awal semboyan PRK Merlimau contohnya di tiupkan. Saya masih ingat bagaimana KM Melaka, Ali bersedia untuk berdebat dengan Pas. Apabila cabarannya di sahut, Ali mengubah sedikit format debatnya, dengan katanya dia bercakap di pentas sini manakalah Pas pulak bercakap di pentas seberang. Ini debat fesyen apa pulak ni? Jauh-jauh.

Memanglah kalau kita membaca serah dan sejarah lampau, bila pemerintah yang korup tidak mampu untuk berhujah dan berdebat secara sihat, mereka akan lawan dengan cara menakut-nakutkan, ugut dan tangkap.

Apapun saya turut berdoa semoga petugas Pas khususnya dan PR umumnya akan tetap bertahan dan teruskan serangan. Semoga Allah memberikan kemenangan. Takbir!

Ahad, 27 Februari 2011

Tunai tanggungjawab...

Baru balik daripada Mesyuarat Agong Pas Cawangan. Alhamdulillah kerana dapat hadir sekaligus menunaikan tugas penting kepada jamaah. Kami hadir bertiga, saya isteri dan anak yang sulung.

Ucapan Ketua Cawangan, Sdr Zakaria Awang cukup mengesankan. Padat, penuh dengan misi dan visi, cukup mendasar, mudah difahami, di garap dengan pengalamannya yang panjang dalam perjuangan, ternampak keikhlasannya, kefahamannya yang mendalam terhadap modul tarbiyyah sudah cukup untuk saya katakan bahawa beliau memang layak dikekalkan sebagai ketua untuk sessi 2011-2013.

Setiap kali Sdr Zakaria bercakap dalam majlis seumpama, saya pasti memerhati isinya dengan penuh minat. Berterus terang, sekali sekala dengan sindiran yang cukup tajam tetapi penuh hati-hati dan boleh diterima. Itulah kelebihannya. Dalam hati kecil berkata, ucapannya memang patut di hafal. Point-point yang di kemukakan memang merupakan inti yang mesti ada dalam jiwa ahli-ahli Pas.

Sebagai orang lama yang dulunya bergiat aktif di Ampang dan banyak menerima tarbiyyah langsung daripada pimpinan Pas yang berkaliber di sana sudah tentu keterampilan hujahnya cukup praktik dan jelas sekali.

Bila beliau mengupas mengenai dengan sejarah perjuangan Pas sebagai parti politik dan dakwah, walak dan siqah kepada pimpinan, memahami al-awwaliyat, bertindak pro-aktif dalam perjuangan, meningkatkan ukhwah dan kasih sayang, ujian dan mehnah dalam perjuangan, tahaluf siyasi, seruan supaya ahli-ahli berani ke depan kerana kita adalah organisasi yang sah di sisi undang-undang menjadikannya suatu silibus yang cukup lengkap untuk menjadi pegangan paling asas kepada pendokong Pas Cawangan.

Mesyuarat tadi telah dirasmikan oleh Bendahari Pas Kawasan Hulu Selangor. Ucapannya juga baik, penuh dengan pengalaman yang wajar menjadi contoh.

Kehadiran kami bertiga ke mesyuarat atas niat untuk menunaikan tanggungjawab terhadap perjuangan akhirnya dengan berat hati menerima amanah baru. Saya sebagai Pengerusi Tetap, isteri dipilih sebagai Ketua Urusan Muslimat manakala Anis anak sulung saya dipilih jugak sebagai AJK Pas Cawangan.

Mudah-mudahan Allah memberkati dan sentiasa memberikan pertolonganNya.

Sabtu, 26 Februari 2011

Konon hebatlah tu....

Setiap petang saya akan menjemput anak dan beberapa anak jiran pulang sekolah. Saya menguruskan sekolah menengah manakala isteri mengambil anak dan anak jiran di sekolah rendah. Kira itulah rutin saya sekarang. Sessi tengahari pulak diuruskan sepenuhnya oleh isteri saya kecuali pada hari-hari yang saya tidak menjalani dialisis di hospital.

Seperti sekolah menengah yang lain, sekolah anak saya itu juga dilanda gejala sosial yang menyakitkan mata. Sambil menghantar atau menunggu mereka pulang, bukan sesuatu pemandangan yang asing bila terdapat pelajar yang masih memakai pakaian seragam sekolah merokok. Bukan menyorok atau dibalik-balik pokok ke. Tapi di khalayak umum. Berhampiran pintu utama masuk ke kawasan sekolah!

Lagak mereka kononnya hebatlah tu. Sudah dewasa sangatlah tu. Banyak bijik mata ibu dan bapa yang memandang, melihat gelagat hodoh dengan pandangan menyampah dan meluat. Tetapi mereka tetap dengan gaya dan lagak kebodohan membinasakan diri sendiri.

Macamana saya tak katakan mereka ini bodoh dan dungu. Dulu zaman arwah bapa saya merokok ini dianggap sebagai lambang kehebatan, macho lah gamaknya. Mereka yang merokok seperti seorang lelaki sejati. Tetapi zaman telah berubah jauh. Merokok pada hari ini adalah tabiat paling hodoh, kotor dan menjijikkan. Masyarakat sudah cukup tidak selesa dan benci akan tabiat tersebut. Tempat-tempat himpunan awam termasuk hospital pun sudah menjadi zon larangan merokok. Jadi apa perlu lagi hendak berbangga dengan tabiat tersebut?

Di sudut yang lain pulak saya sering melihat beberapa pelajar perempuan bertepuk tampar dengan pelajar lelaki. Bergurau senda, berpakwe dan bermakwe lah kononnya tu. Ini satu lagi pemandangan yang cukup menghiris. Apa nak jadi dengan generasi ini. Dia berbangga nak tunjuk yang dia ada makwe atau pakwe. Paling menyakitkan hati bila bas mereka sampai, cara mereka hendak berpisah ialah dengan si betina tadi mencium tangan si jantan! Ya Allah betapa rosaknya mereka.

Mata ibu dan ayah mana yang sanggup melihat kehancuran nilai seperti itu. Saya sengaja menjegel mata tanda marah dan benci dengan aksi mereka. Ada juga yang mungkin takut dan mula beredar tapi ada yang buat tak paham bahkan lebih berlagak lagi.

Kata anak saya pihak sekolah memang ada memohon bantuan surau-surau berhampiran untuk turut memantau situasi ini. Memang saya jugak ada melihat pada waktu-waktu tertentu ada beberapa 'orang surau' yang mengambil giliran memantau pelajar-pelajar ini diluar kawasan sekolah. Syabas dan tahniah saya ucapkan bagi pihak semua ibubapa.

Dalam diam saya berdoa jadikanlah aku seperti sahabat aku Ibrahim atau munculkan lebih banyak Ibrahim di sini. Anda tak kenal Ibrahim kan. Tak apalah, tak perlu saya panjangkan. Perenggan akhir ini memang hanya untuk yang kenal Ibrahim sahaja. Maaf ye.

Ahad, 20 Februari 2011

Tolonglah kasihankan mereka...

Sedang saya menunggu isteri untuk membuat bayaran mengisi petrol di Esso Bandar Bukit Sentosa, saya melihat lagi kelibat seorang remaja perempuan sedang menghulurkan resit derma kepada sesiapa sahaja yang singgah untuk mengisi petrol di situ.

Ini bukan kali pertama saya melihat remaja perempuan atau kadang-kadang kanak-kanak lelaki juga turut mengambil giliran untuk menjual CD atau kalendar untuk derma sekolah 'tahfiz' mereka. Bila ditanya mereka memberitahu datang daripada Kedah.

Dengan pakaian yang begitu sederhana, wajah yang keletihan menyebabkan saya memang tidak sampai hati untuk memberikan sesuatu kepada mereka. Biasanya saya tidak akan membeli CD atau apa-apa yang mereka 'jual' tetapi saya katakan , ini Pakcik sedekah untuk anak sahaja. Saya memang tak sampai hati.

Mereka semua sebaya dengan anak-anak saya. Bagi saya memang tidak patut mereka di minta melakukan 'tugasan' tersebut, di saat rakan sebaya mereka ketika itu sedang berehat dihujung minggu, mengulangkaji pelajaran atau mungkin sedang bersantai dengan keluarga.

Walau apa niat sekalipun di pihak sekolah, saya fikir sangat tidak patut mereka di beri tugas 'berat' seperti itu. Saya biasa melihat bagaimana anak-anak kecil ini di jeling marah, di 'interview' panjang, di layan dengan begitu menyakitkan hati dan di 'herdik' kerana hanya memohon sumbangan bagi pihak sekolah mereka.

Kadang-kadang saya ingin sekali mencadangkan kepada pihak sekolah 'tahfiz' tersebut supaya 'upgrade' sedikit cara mereka meminta derma kalau pun hendak menggunakan khidmat anak-anak tadi. Contohnya sediakanlah untuk mereka 'uniform' yang sesuai. Cuba lihat bagaimana pasukan ber'uniform' seperti Saint John Ambulance, Pengakap atau Bulan Sabit Merah melakukan tugasan yang sama.

Mereka pergi dengan 'uniform' tertentu. Dan ini sekaligus menjadikan penampilan mereka bukan dengan muka 'meraih' simpati tetapi dilihat sebagai untuk membantu menambah tabungan persatuan mereka. Manakala kita sebagai penderma lebih dapat menerima kehadiran mereka dengan lebih terbuka.

Sekali lagi saya ingin katakan bahawa hati kecil saya memang tidak menyetujui anak-anak tadi diberikan tugas seperti itu, tetapi jika pihak sekolah tersebut mempunyai alasan mereka sendiri saya berharap sangat tolonglah 'upgrade' pendekatan mereka sekurang-kurangnya seperti apa yang saya cadangkan tadi. Saya yakin kalau ini boleh di buat, anak-anak tadi akan tampil dengan lebih ceria dan jati diri yang tinggi. Bukan lagi dengan penampilan lama yang penuh dengan kelesuan, tidak bersemangat dan sekadar meraih simpati.

Saya adalah antara ibubapa yang cukup 'tertekan' dengan pemandangan tersebut kerana kami juga punyai anak yang seusia mereka. Tolonglah kasihankan mereka.

Ahad, 13 Februari 2011

Oh...Harakah

Sebentar tadi ada berita baru yang diupload dalam http://www.harakahdaily.net/ bertajuk 'Pas Wilayah Perkukuhkan Skuad Media'. Bila membaca tajuk tersebut saya sedikit teruja kerana sebagai mereka yang berada di 'grass root' saya cukup terasa perkara ini perlu diberikan perhatian yang lebih baik oleh Pas. Kegagalan mengendalikan media menyebabkan perjuangan yang suci untuk menegakkan kebenaran dan keadilan menjadi begitu terganggu.

Hari ini perkembangan media baru begitu hebat sehingga media arus lama semakin menyusut sambutan dan jualannya. Sudah tentu cabaran utama wartawan kita selepas ini ialah meningkatkan mutu pemberitaan dan berada dekat dengan komuniti setempat.

Walaupun berita baru itu tadi adalah mengenai Seminar Kewartawanan yang membincangkan mengenai cara penulisan berita yang baik, cara mengendalikan kamera atau melahirkan lebih ramai pemberita amatur dikalangan ahli-ahli Pas Wilayah, tetapi satu lagi bab yang perlu di seminar dan di wacana semula ialah mengenai edaran akhbar Harakah.

Perbincangan mengenai pengedaran akhbar Harakah ini sebenarnya bukan baru. Ianya selalu dibangkitkan oleh pimpinan Pas dipelbagai peringkat. Bermacam formula juga telah turut dikemukakan. Cuma saya tidak pasti setakat mana tindakan yang telah berjaya diambil dan 'progress' projek ini.

Dengan edaran Harakah yang dikatakan sekitar 40 ribu naskhah setiap keluaran adalah dikira tidak patut jika dibandingkan dengan jumlah keahlian Pas sahaja yang berada di sekitar 1 juta orang. Saya katakan 'tidak patut' itu lebih ditujukan kepada ahli-ahli Pas.

Sebab itu saya sekali lagi ingin bersama-sama mengangkat semula seruan pimpinan kita supaya gerakan besar-besaran terhadap kesedaran membeli akhbar Harakah oleh ahli-ahli mesti digerakkan segera.

Saya masih ingat sewaktu akhbar ini diedarkan sendiri oleh pihak ahli melalui cawangan-cawangan. Semangat, keazaman untuk mempastikan setiap keluaran sampai di pintu ahli-ahli, tak kurang juga pengedar-pengedar yang 'cengei' memaksa ahli-ahli membeli setiap keluarannya. Edaran akhbar Harakah juga menjadi salah satu agenda dalam usrah. Dibincang bagaimana perjalanan edaran di cawangan, berapa banyak yang berjaya di edarkan, ada tak pelanggan yang baru minggu ini. Kehadiran setiap keluaran Harakah sentiasa dinanti-nantikan oleh ahli. Kalau mereka tak baca pun mereka beli 'untuk derma kepada jamaah'.

Tetapi hari ini semua itu sudah menjadi semacam kenangan sahaja. Terlepas beberapa isu keluaran Harakah sudah menjadi kebiasaan. Saya pernah bertemu ada ahli Pas yang ada jawatan agak tinggi diperingkat Kawasan langsung tidak membeli Harakah. Sangat menyedihkan. Bagaimana dia boleh memahami arahan-arahan baru pimpinan atau mampu menjadikannya seorang pemimpin yang matang, yang bergerak sama alunannya dengan pimpinan di peringkat pusat kalau dia tidak membaca Harakah? Bagaimana pula hendak menjayakan satu cadangan lain supaya selepas baca Harakah jangan simpan di rumah sebaliknya sedekahkan di tempat awam seperti di kedai kopi atau hadiahkan kepada jiran sebelah kalau dia sendiri culas membeli Harakah.

Pernah juga saya terserempak ada cawangan yang keluarkan risalahnya sendiri untuk edaran komuniti mereka. Usaha ini memang bagus, tetapi bagi saya mengedarkan akhbar Harakah itu sendiri di komuniti lebih bagus dan mudah berbanding setiap kali kita terpaksa berfikir mencari isu dan bahan untuk di cetak dan diedarkan. Akhirnya risalah hanya sempat beredar sekitar beberapa keluaran sebab dah tak larat nak buat.

Seorang teman memberitahu saya, katanya beliau dah lama tak beli Harakah sebab dah cukup membacanya melalui harakahdaily. Saya katakan kepadanya saya pun baca harakahdaily tetapi tak tergamak kalau tak beli jugak edisi Harakah bercetak.

Apa yang hendak saya sarankan dihujung ini ialah kita lakukanlah sesuatu untuk menambah jualan/edaran akhbar ini. Buat lah apa yang patut, para simpati, penyokong, pendokong, cawangan, kawasan, negeri dan pusat lakukanlah mengikut skala mereka masing-masing.

Tulisan ini hanya untuk satu tujuan. Merayu semua ahli Pas membeli dan membaca akhbar Harakah.

Sabtu, 12 Februari 2011

Back to the basic...

Selepas sekeluarga menghabiskan bacaan Al-Mathurat yang merupakan agenda mingguan kami, anak-anak terus mengambil 'posisi' mereka sendiri. Ada yang menyemak kalau-kalau ada kerja sekolah yang perlu dibereskan, membantu membasuh pinggan mangkuk di dapur, menseterika pakaian dan si bongsu pulak sekejap di dapur sekejap ke depan entah apa yang dicarinya. Itu lah yang dikatakan oleh isteri saya 5 orang anak, 5 perangai.

Saya dan isteri masih belum berganjak di tempat solat, bersembang sambil memerhati dan mendengar cerita anak-anak.

Kak Iman anak ke-2 saya yang sedang menseterika pakaian cuba mendapatkan pandangan mengenai masalah rakan sekolah yang diadukan kepadanya siang tadi. Pelajar tersebut mengadu tentang sikap bapanya yang sudah berubah sikap menjadi seorang pemarah dan pembengis. Semuanya sudah tidak kena di rumah. Ada sahaja yang tak betul. Dulu bapanya tidak begitu tetapi sejak beberapa bulan kebelakangan ini sikapnya sudah begitu berubah. Solat pun sudah tergamak ditinggalkan.

Dia cukup sedih dengan apa yang berlaku dalam keluarganya. Semua adik beradik termasuk ibunya tidak berani untuk menegur. Silap haribulan tangan naik ke muka. Takut!

Kata pelajar itu lagi punca bapanya berubah sikap ialah ada kaitan dengan jirannya yang merupakan seorang isteri yang ditinggalkan suaminya. Mungkin dicerakan agaknya. Tak pasti.

Di blok dan taman tempat beliau tinggal sebenarnya mengamalkan amalan kejiranan yang boleh dikatakan bagus. Mereka selalu mengadakan perkelahan dan riadah bersama. Jadi mungkin agak kurang 'pengawasan' dan tidak mengambil berat tentang 'batasan syarak' menyebabkan suasana seperti itu berjaya membibitkan sesuatu perasaan bapanya terhadap 'janda' tersebut. Ataupun si 'janda' berjaya menarik perhatian si 'bapa'. Salah satulah. Itu tanggapan pelajar tersebut.

Memang sukar juga untuk memberikan jalan keluar kepada pelajar yang cukup tertekan dengan apa yang sedang menimpa keluarganya. Oleh kerana Kak Iman merupakan pengerusi PRS (Pembimbing Rakan Sebaya) di sekolahnya maka ini adalah antara masalah yang perlu dibantunya dan menawarkan nasihat supaya rakan pelajar tadi bertindak dengan cara yang betul.

Walaupun agak susah Kak Iman untuk berkongsi cerita rakan pelajar yang mengadu kepadanya kerana untuk menjaga etika dan privasi tetapi selepas saya katakan kepadanya bahawa tidak ada salahnya jika untuk mendapatkan pandangan demi kebaikan lalu cerita-cerita seperti ini sampai juga kepada saya.

Memang menyedihkan, belum lagi kisah keruntuhan akhlak dan moral pelajar yang telah menjadi rahsia umum. Dulu kisah-kisah seumpama ini hanya dilakonkan diTV atau dibaca dalam cerpen dan novel sahaja, tetapi rupanya kini telah benar-benar terangkat ke alam 'real'.

Apa yang saya sarankan kepada Kak Iman supaya memberitahu kepada rakan pelajar tersebut bahawa 'tidak perlu lakukan apa-apa kepada bapanya' atau bak kata orang jawa 'nothing to do with her father'. Sebab bak kata P. Ramlee pulak 'Ini boleh mendatangkan marah!'.

Yang perlu dilakukan ialah 2 perkara ini dahulu. Dan ini tidak langsung ada kena mengena dengan bapanya.

1) Pujuk diri, ibu dan ahli keluarga lain patah balik kepada agama. Solat, baca Quran dan pelihara aurat. Kalau memang sudah solat tingkatkan dengan solat berjamaah bersama ibu. Kalau memang sudah pandai baca Quran cubalah bacanya di tengah malam kerana mukjizat bacaan quran pernah melembutkan seorang insan berdarah panas seperti Umar Al Khattab! Peliharalah aurat kerana kalau kita pelihara apa yang Allah minta dipelihara, Allah akan pelihara kita dan keluarga kita. InsyaAllah. Seterusnya beristiqomahlah.

2) Cuba tinjau-tinjau rumah kita semula. Mungkin rumah kita tidak bersih, bersepah atau kurang terurus. Ruang tamunya, dapurnya, bilik airnya, tandasnya, bilik-bilik tidurnya dan halaman rumah. Semua sudut-sudut ini tolonglah dibersihkan, diatur semula dan diberi perhatian lebih. Kalau boleh wangikan rumah. Makan minum pun perlu diaturkan semula. Menghidang makanan dan persembahan meja makan yang lebih menarik. Cuba jengah rumah jiran lain mungkin banyak yang boleh kita tiru dan belajar mengenai sebuah kediaman yang selesa, bersih dan mendamaikan. Pelik ya, apa kena mengena rumah bersih dengan masalah tadi. Saya tak mahu jawab soalan ini, cubalah buat. Dan jangan lupa seperti biasa beristiqomahlah.

Apa akan jadi dengan si bapa tadi nanti. Saya pun tak tahu. Tetapi selepas kita dapat usahakan 2 perkara di atas, saya fikir bapa mana yang tidak tersentuh hati. Mudah-mudahan dia akan berfikir untuk berpatah balik.

Kalaupun (kalau) penghujungnya si bapa mengambil langkah berundur dari keluarganya dan memilih untuk mencuba hidup baru dengan si 'janda' tadi, katakan kepada rakan pelajar tadi bahawa beliau, ibu dan keluarganya terimalah ketentuan itu dan bersyukur kerana mereka sekeluarga telah mempunyai hidup baru, hidup beragama. Tak apalah, Allah tetap bersama.

Dengan 2 penanda aras yang saya kongsikan kepada Kak Iman di atas, saya yakin ianya sesuatu yang praktikal dan boleh dilakukan. Bagaimanapun seperti biasa saya selalu berpesan kalau kita memberi nasihat dan pandangan, ianya adalah sebenarnya untuk diri kita sendiri. Kita sebenarnya ingin 'berkongsi' sahaja.

Apapun ini adalah nasihat saya buat rakan pelajar Kak Iman supaya dia bertindak ke 'dalam', kembali kepada asas semula atau kata sorang jawa lagi sebagai 'back to the basic'. Adapun sikap-sikap dan tindakan lain patut dimainkan oleh jiran-jiran, pihak surau, rakan taulan, kaum kerabat untuk menyelamatkan keluarga ini. InsyaAllah.

Rabu, 9 Februari 2011

Suatu waktu dahulu...

Kadang-kadang saya suka mengajak isteri dan anak-anak mengimbas kembali zaman dulu-dulu saya. Zaman yang saya fikir jauh lebih 'meriah' daripada apa yang sedang dilalui oleh anak-anak saya kini. Betulkah? Mungkin juga saya sebenarnya yang tidak faham makna kemeriahan budak-budak zaman sekarang. Dulukan lain, sekarang dah lain....

Apapun saya tetap ingin katakan bahawa zaman dulu-dulu saya banyak juga laluan yang mendamaikan. Kehidupan saya sebenarnya berjalur-jalur. Jalur sedih, kecewa, berduka, patah hati. Biasalah kan. Tetapi kali ini saya ingin bicarakan jalur kemeriahan, gumbira dan riang ria....hooray! Sihat ke aku ni?

Antaranya permainan di masa lapang. Permainan ini bukan 'permainan tradisi', tidak menggunakan battery atau 'remote control'. Permainan yang diasaskan? oleh seorang abang di kampung itu....Lotik. Ini adalah nama glamour sahaja, nama sebenarnya saya pun tak tahu. Lotik seorang yang berfizikal sihat, kacak jugak tetapi 'kurang cerdik'. Dia baik, rajin cuma tidak disekolahkan.

Permainan ini berkisar kepada kisah dua kumpulan. Satu kumpulan jahat yang merosakkan, manakala satu kumpulan lagi ialah kumpulan baik, hero yang mesti dimenangkan. Yang diperlukan ialah seikat kayu-kayu sebesar ibu jari mewakili kumpulan 'jahat' tadi, dan seikat kayu lagi biasanya yang lebih keras memegang watak-watak penyelamat dan hero.

Lotik sebagai 'Tok Dalang' dalam cereka ini. Kadang-kadang ianya mengkisahkan pertembungan seperti dalam kisah-kisah pahlawan Melayu lama, dan yang paling syok bila ianya berlatarbelakangkan kisah pertarungan pahlawan shoulin di negeri China.

Permainan ini dimainkan di belakang rumah saya kerana di situ redup. Tak kurang 6 batang pokok ciku yang besar dan rendang di situ menjadikan ianya pentas yang paling sesuai dengan menjadikan akar-akar ciku yang meliar sebagai set paling dramatis lah.

Selepas watak-watak tadi (ranting-ranting kayu) di letakkan mengikut kedudukan yang sesuai berdasarkan cereka yang hendak disampaikan, maka kemuncaknya ialah 'pertarungan' pun bermulalah dengan cukup dramatik sekali ditambah dengan muzik latar yang keluar daripada mulut 'Tok Dalang'.

Permainan tamat bila semua watak-watak jahat patah atau tercampak jauh entah ke mana. Tersangkut atas pokok ciku pun ada....kah..kah...kah..

Watak hero yang diwakili oleh kayu yang lebih keras akan di simpan untuk episode berikutnya pada hari yang lain pulak.

Penonton jangan cakaplah, berderet.

Bila Lotik tak datang, MC kot, kita orang lah pulak akan bukak panggung sendiri. Tapi tetap tak sehebat panggung Lotik, yang padat dengan aksi, daya imaginasinya yang begitu menakjubkan dan kemenangan akan tetap diberikannya kepada pejuang kebaikan dan keadilan. Lotik tak cerdik tetapi dia tidak sekali-kali membiarkan watak jahat menang.

'Scene' bulan puasa juga menarik untuk dikongsikan. Setiap tahun dalam bulan Ramadhan ada harinya, anak-anak Wan Jasin akan pulang berkumpul di rumah untuk sama-sama berbuka dan bersahor beramai-ramai.

Makanan jangan ceritalah banyak sungguh. Masa tu tak dak lagi Bazar Ramadhan. Semuanya di masak secara gotong royong. Cukup meriah. Yang paling best tu suasana makan sahor ramai-ramai.

Pelita minyak tanah berpuluh-puluh dipasang di sekeliling rumah. Selain daripada pelita yang dibeli siap, ayah juga buatnya dengan buluh. Masa tu pulak belum ada larangan bermain bunga api dan mercun. Apalagi, berdentam dentumlah.

Budaya buat kuih raya pada waktu itu benar-benar menjadi medium ukhwah dan silaturrahim sesama ahli keluarga dan jiran tetangga.

Saya tidak pasti samada patutkah kemeriahan seperti itu dinilai semula supaya ianya boleh diamalkan kembali dengan beberapa 'pembetulan' di sana sini. Sebab saya lihat Ramadhan hari ini disambut sedikit kaku dan 'hilang' suasananya.

Khamis, 3 Februari 2011

Terimakasih Allah

Malam tadi kami sekeluarga meraikan Hari Jadi saya di sebuah restoran di Rawang. Turut sama Pak Lang (abang isteri saya) dan anaknya juga Pak Su (adik saya) dan keluarganya. 'Meraikan?' Malu pulak nak gunakan perkataan itu. Sebenarnya bagi saya majlis yang diatur oleh isteri dan anak-anak itu lebih kepada tanda kesyukuran. Manakala buat saya ianya merupakan majlis 'awas!' berpesan dan mengingati betapa usia saya sudah begitu banyak meningkat....44 tahun!

Dalam kedewasaan seperti ini sudah tentu ianya sentiasa membawa saya bermuhasabah, mengira dan menghitung pencapaian diri. Adakah diri ini telah mencapai tahap atau 'benchmark' sebagai seorang umat Muhammad saw yang dikira berjaya. Rasanya masih terlalu banyak yang perlu dilakukan untuk menggapai kedudukan itu.

Kedamaian lewat pagi ini juga mengingatkan saya kepada mak dan ayah. Mak rupanya telah 35 tahun meninggalkan saya manakala ayah telah 27 tahun. Cukup lama. Saya masih ingat bagaimana luluhnya hati bila mak berangkat pergi di saat saya terlalu memerlukan. Ayah pula mengundur diri pada usia saya belum pandai mengarah tujuan dan arah sebuah kehidupan. Semuanya dalam serba ketergantungan.

Kehidupan terpaksa diteruskan. Saya melangkah perlahan mengikut sahaja arus. Tidak tahu apa yang ada dihadapan, bahaya atau sebaliknya. Tetapi Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang tidak meninggalkan saya begitu sahaja. DIA telah membuka jalan untuk saya supaya sukakan kebaikan lalu saya memilih jalan itu. Jalan agama bukan jalan sesat dan 'lagho'.

Hari ini saya telah memiliki sebuah keluarga yang sehingga kini cukup bahagia dan menggembirakan. Saya punyai seorang isteri dan anak-anak yang hebat dan selalu menyejukkan mata.

Lebih mendamaikan bila kami sekeluarga berusaha menjadi keluarga yang soleh. Melalui setiap kesempatan samada dalam usrah kami atau semasa di dalam kereta saya akan sentiasa mengingatkan anak-anak mengenai asas-asas agama yang mesti di genggam kemas. Solat, aurat, pergaulan, akhlak dan macam-macam lagi. Saya juga selalu membawakan kisah-kisah Rasulullah saw, para sahabat dan para pejuang Islam dulu dan kini supaya mereka dekat dengan mereka.

Apapun keseluruhannya saya cukup gembira punyai keluarga ini. Saya berharap kami akan terus istiqomah dalam memilih jalan yang soleh. Kepada keluarga saya, marilah kita bergerak untuk mencapai yang terbaik di dunia dan juga di akhirat. Terima Kasih Allah, Amin.

Isnin, 31 Januari 2011

Kamulah pemenangnya!

Ya, itulah yang hendak saya katakan. Petugas Pas yang dibina oleh pimpinannya dengan ilmu dan tarbiyyah tetap menjadi pemenang dalam PRK Dun Tenang siang tadi walaupun keputusan bertulis SPR mengumumkan Umno/BN yang mendakap majoriti.

Ahhh biarkan Umno/BN itu tenggelam dengan labu-labunya. Bagi saya kemenangan mereka itu tidak ada maknanya berbanding dengan 'korban' yang telah mereka lakukan bagi mempastikan kemenangan. Belum lagi dikira eksploitasi media elektronik, media arus perdana dan jentera kerajaan.

Dalam suasana sebegitu banyak 'tongkat-tongkat' yang dieksploitasi oleh Umno/BN dalam PRK ini, memang tidak ada apa yang patut di senyum lebarkan oleh mereka dengan penambahan sekitar 300 undi sahaja berbanding yang mereka telah capai dalam pilihanraya umum lalu.
Sekaligus ini telah membuktikan bahawa Umno/BN memang bukan lagi sebuah parti yang kuat di Johor (Bahkan di DUN Johor sekarang pun sudah ada 2 ADUN Pas).

Melihat hempas pulas jentera Umno/BN yang turut dibantu TV, Radio dan akhbar utama dan akhbar 'nyamuk' termasuk melibatkan artis-artis dalam PRK tersebut membuktikan Johor bukan lagi tempat yang selesa lagi buat parti itu.

Saya sekali lagi ingin menyatakan rasa teruja dengan kesungguhan petugas-petugas Pas khususnya dan dokongan yang turut ditunjukkan oleh rakan-rakan mereka dari Pakatan Rakyat umumnya. Bekerja dan berkempen dengan penuh semangat dan ikhlas dalam suasana hujan lebat dan banjir di tambah lagi dengan 'perlawanan di padang yang tidak sama rata'.

Mereka yang berkhidmat tanpa diupah, yang hanya datang dari dekat dan jauh semata-mata mengharapkan redha Allah bagi memenangkan calon Pas yang nanti akan membawa suara rakyat Tenang dan gema kalimah Allah di DUN Johor.

Cikgu Normala yang telah mewakafkan dirinya untuk perjuangan Islam Pas. Meletakkan jawatan sebagai seorang guru cemerlang lalu berkhidmat sepenuh masa dengan Pas bukanlah suatu keputusan yang mudah untuk dilakukan kalau ianya bukan daripada jiwa yang ikhlas dan penuh dengan semangat perjuangan.

Tetapi yang dikatakan sebuah perjuangan itu sebenarnya bukanlah semudah yang disangkakan. Bagi pejuang seperti Cikgu Mala sudah tentu 'kekalahan' siang tadi merupakan 'kemanisan' yang hanya dapat dikecapi oleh sang pejuang.

Saya teringat dalam satu kuliah oleh Tuan Guru Hj Abdul Hadi yang menceritakan mengenai bab keikhlasan, dimana beliau membawakan satu kisah seorang Arab Badwi yang hendak diserahkan bahagian ghanimah (harta rampasan perang) selepas tamat menyertai suatu peperangan bersama Rasulullah saw. Bila gilirannya sampai untuk menerima bahagian ghanimah tersebut, beliau berkata kepada Nabi saw, 'Bukan ini yang saya mahu wahai Rasulullah saw, saya mahu supaya ini (menunjukkan anak panah) menembusi leher saya sehingga saya mati syahid'. Lalu Nabi saw mendoakan untuknya. Dalam satu peperangan yang lain Arab Badwi itu ditemui mati syahid dengan anak panah menembusi lehernya!

Sebab itu saya ingin katakan di sini bahawa Cikgu Mala dan petugas Pas, '...kamulah pemenangnya!'

Isnin, 17 Januari 2011

Mengocak TENANG


Dua hari lalu saya menghantar SMS kepada seorang sahabat lama. Beliau yang merupakan rakan sekelas saya sewaktu di sekolah menengah dulu kini merupakan seorang guru di Johor. Walaupun kami dulu dikira rakan baik tetapi selepas memulakan kerjaya masing-masing kami semakin renggang. Mungkin kerana kesibukan masing-masing di tambah lagi dengan beliau di selatan dan saya pula di hujung Selangor....Hulu Selangor. Bagaimanapun beliau dan keluarga pernah dua kali datang bertandang ke rumah saya di sini.

Dalam SMS saya tu saya bertanyakan khabar kerana agak lama sangat tidak mendengar berita daripadanya. Jadi sempena musim pilihanraya kecil Tenang, Johor saya ambil kesempatan berSMS dengannya. Dia menjawab SMS saya dan menjemput saya untuk ke tempatnya. Marilah datang ke Johor....pilihanraya Tenang, katanya dalam SMS tersebut. Saya menjawabnya semula sambil mengingatkan beliau tentang perangai Ketua Pengarah Pelajaran Johor dalam klip video Youtube yang tersebar luas sekarang ini.

Selepas itu langsung dia tidak menjawab lagi. Adakah dia tidak menjawab kerana kehabisan kredit atau memang guru-guru seperti beliau cukup bimbang untuk memanjangkan sembang-sembang politik terutama di negeri seperti Johor. Lebih-lebih lagi kenyataan oleh KP Pelajaran yang di sebar melalui Youtube itu memberi amaran tertentu kepada mana-mana guru yang memberikan sokongan atau dokongan kepada selain parti BN.

Di celah-celah gambaran yang saya sebagai orang luar Johor untuk cuba menyelami sendiri sentimen rakyat di sana terhadap pilihanraya melalui rakan tadi tiba-tiba saya cukup teruja apabila seorang muslimat PAS hari ini muncul diisytiharkan sebagai calon PAS dalam PRK Dun Tenang.

Bukan sahaja beliau seorang muslimat, tetapi beliau juga adalah seorang guru muda yang baru meletakkan jawatan kerana hendak berkhidmat sepenuh masa dengan PAS. Suaminya juga seorang guru.

Jadi ini sekaligus merungkai sebahagian tanggapan awal saya bahawa rakyat di Johor memang dibelit dengan ketakutan tertentu yang menjadi momokan oleh Umno/BN untuk mereka berubah angin bersama Pakatan Rakyat khususnya PAS.

Memang zaman telah begitu berubah. Zaman Umno/BN telah kian sampai ke penghujungnya. Dulu Johor yang merupakan negeri Umno paling kuat di dunia! (Istilah Hj Mohamad Sabu), kini telah ada 2 wakil ADUN Pas di dalam Dewan Undangan Negeri nya. Jadi bukan sesuatu yang mustahil rakyat akan menghantar seorang lagi ADUN Pas ke sana. InsyaAllah.

Apapun saya fikir tidak ada ruginya kalau rakyat di DUN Tenang memilih PR kali ini untuk mewakili mereka. Kalau hujah pembangunan yang diberikan, saya yakin rakyat DUN Tenang akan mendapat faedah paling banyak kalau ADUN daripada PR menang. Ini terbukti bilamana Umno/BN akan menaburkan pelbagai kemudahan dan bantuan di mana-mana DUN yang mereka kalah dengan niat untuk merampasnya kembali. Mana-mana DUN yang Umno/BN menang selesa, rakyat akan hanya menikmati bantuan 'ala kadar' sahaja sebab pemimpin-pemimpin Umno/BN tahu sokongan rakyat di situ tidak akan berubah. Sebab itu atas apa sahaja niat Umno/BN yang pastinya rakyat DUN Tenang akan mendapat manafaat terbanyak jika mereka memilih PR.

Yang demikian itu saya menyeru rakyat di DUN Tenang 'mengocak Tenang' dengan memilih calon Pakatan Rakyat yang diwakili oleh PAS. Hanya dengan kocakan kemenangan calon Pakatan Rakyat sahaja DUN Tenang yang berada nun jauh dan hampir tidak diambil tahu kewujudannya selama ini bukan sahaja akan terus dikenali bahkan perhatian khusus seluruh pemimpin akan bertumpu ke sana. Akhirnya rakyat Tenang juga yang mendapat manafaatnya.