Rabu, 9 April 2008

3 tahap perjuangan...

SEORANG teman bertanya kepada saya apa rasionalnya Pas berkawan dengan DAP. Kerana menurut jangkaan beliau kedua belah pihak suatu hari nanti sudah tentu tidak akan dapat berkompromi lagi terhadap dasar-dasar yang saling bertentangan.

Saya mendiamkan diri sebentar seperti mencari-cari bagaimanakah untuk memulakan hujah bagi menjelaskan pendirian saya terhadap perkara ini. Memang saya ada ‘bahan’ yang hendak dikongsi bersama teman tersebut mengenai bagaimana saya melihat persoalan tersebut. Tetapi untuk menyusun dan mengolahnya kepada bahasa yang mudah difahami oleh beliau memerlukan sedikit kepakaran.

‘Begini’ kata saya memulakan bicara. Saya meletakkan 3 batang pensil berderetan di atas meja seperti susunan anak tangga. Pensil yang menjadi mata tangga pertama saya namakan sebagai ‘tahap 1’, pensil yang menjadi mata tangga kedua saya namakan sebagai ‘tahap 2’, dan pensil ketiga sebagai ‘tahap 3’.

TAHAP 1 adalah dimana tempat kita bermula dan kita berada sebelum pilihanraya, TAHAP 2 adalah ‘tahap demokrasi’ dicapai, manakala TAHAP 3 pula adalah di mana Islam itu di daulatkan.

Kata saya kepada teman tersebut Pas ikut serta bersama dengan parti-parti lain termasuk DAP walaupun berlainan ideologi adalah kerana kesemua parti-parti ini bersetuju untuk bergerak dan berjuang mencapai tahap ke-2 iaitu pemulihan demokrasi.

Sebelum ini pintu demokrasi ditutup begitu rapat sehingga suara-suara Islam yang dilaungkan Pas terbantut dan terbengkalai dan tidak dapat disampaikan dengan selesa. Hari ini selepas sebuah kerjasama yang saya fikir bolehlah dianggap bagus antara parti-parti pembangkang, pintu demokrasi telah berjaya dibuka di 5 buah negeri. Kata Dato’ Husam Musa dalam ucapan sulungnya di Kelantan selepas pilihanraya ke-12 baru-baru ini, ...pintu-pintu masjid dan surau telah terbuka luas untuk Pas!

Kalau dulu Pas hanya boleh bercakap dan bersyarah selesa di Kelantan sahaja, kini suara Islam Pas sudah menjangkau selesa ke Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor! Pimpinan dan penceramah Pas boleh memilih mana-mana platform di negeri-negeri tersebut untuk berucap, berforum, berwacana dan sebegainya. Di mana sahaja, samada di surau, di masjid, di dewan bahkan di stadium.

Inilah yang saya maksudkan kerjasama tahap 2 iaitu bersama memulihkan demokrasi.

Sesungguhnya kata saya untuk mencapai tahap 3 kita masih terlalu jauh. Bagaimanapun saya percaya sekiranya petugas-petugas Pas gigih ‘mengisi kemenangan tahap 2’, usaha menggapai tahap 3 akan mudah tercapai.

Saya juga menambah adalah tidak mustahil, DAP yang dilihat agak kritikal terhadap perjuangan Islam Pas selama ini akan berubah dan bertambah lunak apabila ‘pemulihan demokrasi’ yang berlangsung itu berjaya menjadikannya mendapat maklumat yang betul dan tepat mengenai Islam.

Selasa, 8 April 2008

Majlis perkahwinan Pakdik meriah...

Saya ingin merakamkan detik majlis perkahwinan adik saya Shahril yang berlangsung pada 09hb Mac 2008 yang baru lalu di Ipoh. Walaupun sudah hampir sebulan berlalu namun saya fikir masih belum terlambat untuk saya membuat sedikit catatan mengenainya.

Kelewatan mencatat ini sebenarnya ialah kerana saya selalu tertangguh untuk ‘download’ gambar sempena majlis tersebut. Sebab ‘tak syok’ kalau menulis tanpa apa-apa bukti bergambar.

Shahril adalah adik saya yang ke-4 menurut susunan ini: SAYA, Suriya, Faisal (meninggal dunia waktu berusia 2 tahun), Shahrul, Shahril dan Sabarudin.

Sebenarnya saya, Suriya dan Faisal adalah daripada ibu yang sama manakala Shahrul, Shahril dan Sabarudin adalah melalui perkahwinan ke-2 ayah saya selepas mak meninggal dunia.

Majlis berlangsung dengan meriah. Ramai saudara mara yang turut hadir meraikan majlis tersebut. Saya dapat bayangkan kalau lah ayah masih ada tentu beliau antara yang paling gembira. Tapi ayah telah dijemput terlalu awal oleh Allah swt. Beliau bukan sahaja tidak sempat meraikan majlis Shahril bahkan majlis kahwin saya dan Suriya pun beliau terlepas.

Al Fatihah untuk ayah.