Isnin, 31 Disember 2007

Akhirnya Aur berjaya juga mendapat pekerjaan yang dikira sesuai dan setara dengan kelayakan yang beliau ada

Hari ini saya rasa tidak begitu sihat. Badan terasa agak lemah. Bagaimanapun tengahari tadi Pendi, rakan saya di pejabat minta pertolongan untuk bawanya ke Bank Simpanan Nasisonal berdekatan untuk beberapa urusan. Kalau ikut kan ‘kederat’ memang saya tak larat nak tolong, tapi mengenangkan beliau ni cacat penglihatan dan lebih memerlukan bantuan, maka saya gagahkan juga untuk bawanya ke sebuah cawangan BSN berhampiran Chow Kit.

Agaknya kerana ‘terhutang budi’, Pendi telah belanja saya makan tengahari di sebuah gerai di Kg Bharu. Rezeki jangan di tolak.

Balik ke pejabat saya berehat sebentar sambil cuba menyelesaikan beberapa tugasan. Kemudian saya ke surau untuk solat. Sebaik selesai solat dan bersalaman dengan lain-lain jamaah saya duduk semula untuk berehat. Saya rupanya tertidur dan terjaga setengah jam kemudiannya. Cepat-cepat saya bersiap untuk masuk semula ke pejabat.

Elok-elok saya duduk sahaja, Sahrul adik saya buat panggilan dan minta saya untuk menalipon semula. Saya tidaklah terkejut kerana Sahrul memang begitu. Adalah perkara yang hendak dimaklumkan tu, detik hati saya.

“Bang Puan, Aur dah dapat ‘offer’ kerja kat Maybank tu”, beritahu Sahrul separuh menjerit kegembiraan. “2 hb ni En Ali yang ‘call’ tu minta ambil ‘letter offer’ di Menara Maybank”, tambah Sahrul lagi.

“Alhamdulillah”, sambut saya pula. “Akhirnya Aur berjaya jugak”, saya mengucapkan tahniah.

Selepas berpuluh-puluh permohonan pekerjaan dibuat oleh adik saya itu ke pelbagai syarikat dan entah berapa kali pulak ‘interview’ yang telah beliau hadiri, akhirnya berjaya juga dia mendapat pekerjaan yang di kira sesuai atau setara dengan kelulusan dan kelayakan yang beliau ada. ‘Aur’ panggilan kami sekeluarga kepadanya merupakan seorang pemegang Ijazah Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa daripada Universiti Utara Malaysia.

Saya bukanlah ‘bias’, tetapi saya selalu berkata pada diri saya kenapalah syarikat yang menemuduga adik saya itu tidak mengambilnya bekerja. Mungkin Sahrul ‘gagal’ mempersembahkan yang terbaik kepada para penemuduga sebelum ini, pujuk hati saya. Sebab bagi saya, adik saya ini seorang yang komited dengan kerja dan amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Dia jujur dengan kerjanya dan selalu lakukan yang terbaik. ‘Team work’ dalam dirinya melimpah ruah sehingga dapat dirasai oleh kami sekeluarga. Beliau suka membantu dan seorang yang sangat mengambil berat.

Apapun saya berharap Sahrul akan terus cemerlang dengan amanah barunya ini. Dan yang sangat saya harapkan ialah beliau akan bertemu dan berkenalan dengan sahabat-sahabat baru yang baik seterusnya menjadi salah seorang penggerak kerja-kerja islah di tempat yang baru.

Jumaat, 28 Disember 2007

Berhari raya di pondok...


SAMBUTAN Aidil Adha di ‘kampung’ isteri saya agak berbeza daripada kampung saya di Melaka. Madrasah Misbah Al-Falah tempat keluarga isteri saya bermastautin, merupakan sebuah perkampungan ‘pondok’ di daerah Baling. Madrasah ini lebih dikenali sebagai Pondok Lanai.

Pada malam raya suara takbir tidak putus-putus daripada madrasah sambil diselang selikan dengan bunyi paluan gendang persis seperti perarakan perang dalam filem-filem melayu lama.

Lebih menarik lagi ‘tugasan’ ini seperti di serahkan kepada kanak-kanak. Golongan ini dikira mendapat ‘lesen’ besar bila sahaja menjelang 2 perayaan (aidil fitri & aidil adha) bagi melaungkan takbir dan memukul gendang di madrasah. Cukup meriah. Adakalanya laungan takbir kanak-kanak ini dan pukulan gendang mereka sehinggalah lewat tengah malam dan menjelang awal pagi.

Esoknya selepas solat sunat hari raya, semua kanak-kanak akan berbaris panjang di luar madrasah untuk menerima ‘duit raya’ yang dibahagi-bahagikan kepada mereka melalui sebahagian kutipan derma madrasah semasa sessi solat dan khutbah hari raya tadi.

Selepas itu, jamaah akan bergerak untuk beraya ke rumah Tok Guru. Walaupun Tuan Guru Hj Omar Zuhdi yang merupakan pengasas pondok telah lama meninggal dunia, tetapi tradisi beraya di rumah Tok Guru diteruskan hingga hari ini.

Jamaah kemudiannya beraya pula di rumah isteri kedua Tok Guru.

Selepas 2 rumah ini, barulah jamaah ‘berpecah’ meneruskan ziarah ke mana-mana rumah lain atau meneruskan urusan masing-masing.

Berhampiran Madrasah pula sebahagian masyarakat pondok terus memulakan kerja-kerja ibadah korban. Semua mereka seperti telah tahu peranan masing-masing. Ada yang memasak air, membasuh beras untuk di masak, menyediakan rempah dan bawang untuk masak lauk kawah dan merebus daging. Manakala sebahagian yang lain pula membantu urusan penyembelihan dan melapah daging.

Sekitar tengahari, semuanya dikira beres dan masyarakat pondok sedia menjamu selera beramai-ramai selepas pembahagian daging-daging korban dilakukan. Esok, lusa dan tulat ada lagi lembu-lembu yang akan dikorbankan lagi disini.

Kata isteri saya, kehidupan di pondok dahulu cukup sukar. Kami hanya makan daging bila musim hari raya korban. Tapi kini ibadah korban tidak lagi dinanti-nantikan oleh masyarakat pondok kerana nak makan daging semata-mata tetapi kemeriahan silaturrahimnya yang masih dan tetap kekal.

Ternyata sambutan hari raya di pondok memang berbeza dan lebih hidup jika dibandingkan dengan di kampung saya.

Selamat 'bertamu' ke blog saya yang baru...

Assalamualaikum wbt...

Saya sedih kerana terpaksa berpindah ke sini. Ini adalah kerana http://www.safuan.blogspot.com/ mengalami gangguan spam sehingga saya gagal untuk melakukan 'update' sejak hampir seminggu yang lalu.

Saya telah cuba berurusan dengan pihak berkenaan di 'Blogger' untuk mengembalikan laman saya tersebut. Tetapi usaha tersebut tidak berjaya.

Sehubungan itu saya mengambil keputusan untuk memulakan tapak yang baru di sini. Oleh itu saya mengucapkan selamat 'bertamu' di blog saya yang baru ini kepada sesiapa yang terjumpanya di sini.

Bagaimanapun blog ini adalah catatan peribadi saya. Mungkin ada yang boleh di kongsi bersama di sini.