Jumaat, 28 Disember 2007

Berhari raya di pondok...


SAMBUTAN Aidil Adha di ‘kampung’ isteri saya agak berbeza daripada kampung saya di Melaka. Madrasah Misbah Al-Falah tempat keluarga isteri saya bermastautin, merupakan sebuah perkampungan ‘pondok’ di daerah Baling. Madrasah ini lebih dikenali sebagai Pondok Lanai.

Pada malam raya suara takbir tidak putus-putus daripada madrasah sambil diselang selikan dengan bunyi paluan gendang persis seperti perarakan perang dalam filem-filem melayu lama.

Lebih menarik lagi ‘tugasan’ ini seperti di serahkan kepada kanak-kanak. Golongan ini dikira mendapat ‘lesen’ besar bila sahaja menjelang 2 perayaan (aidil fitri & aidil adha) bagi melaungkan takbir dan memukul gendang di madrasah. Cukup meriah. Adakalanya laungan takbir kanak-kanak ini dan pukulan gendang mereka sehinggalah lewat tengah malam dan menjelang awal pagi.

Esoknya selepas solat sunat hari raya, semua kanak-kanak akan berbaris panjang di luar madrasah untuk menerima ‘duit raya’ yang dibahagi-bahagikan kepada mereka melalui sebahagian kutipan derma madrasah semasa sessi solat dan khutbah hari raya tadi.

Selepas itu, jamaah akan bergerak untuk beraya ke rumah Tok Guru. Walaupun Tuan Guru Hj Omar Zuhdi yang merupakan pengasas pondok telah lama meninggal dunia, tetapi tradisi beraya di rumah Tok Guru diteruskan hingga hari ini.

Jamaah kemudiannya beraya pula di rumah isteri kedua Tok Guru.

Selepas 2 rumah ini, barulah jamaah ‘berpecah’ meneruskan ziarah ke mana-mana rumah lain atau meneruskan urusan masing-masing.

Berhampiran Madrasah pula sebahagian masyarakat pondok terus memulakan kerja-kerja ibadah korban. Semua mereka seperti telah tahu peranan masing-masing. Ada yang memasak air, membasuh beras untuk di masak, menyediakan rempah dan bawang untuk masak lauk kawah dan merebus daging. Manakala sebahagian yang lain pula membantu urusan penyembelihan dan melapah daging.

Sekitar tengahari, semuanya dikira beres dan masyarakat pondok sedia menjamu selera beramai-ramai selepas pembahagian daging-daging korban dilakukan. Esok, lusa dan tulat ada lagi lembu-lembu yang akan dikorbankan lagi disini.

Kata isteri saya, kehidupan di pondok dahulu cukup sukar. Kami hanya makan daging bila musim hari raya korban. Tapi kini ibadah korban tidak lagi dinanti-nantikan oleh masyarakat pondok kerana nak makan daging semata-mata tetapi kemeriahan silaturrahimnya yang masih dan tetap kekal.

Ternyata sambutan hari raya di pondok memang berbeza dan lebih hidup jika dibandingkan dengan di kampung saya.

Tiada ulasan: