Khamis, 23 Oktober 2008

Menganjur majlis kahwin adik...

“Berilah peluang Bang Puan engkau buatkan majlis kahwin adik-adik dia pulak”, kata Makcik (ibu tiri) saya kepada kami sekeluarga. “Dulu Aur, Shahril & Din lama tinggal dengan Bang Puan, jadi eloklah Bang Puan dapat peluang buatkan majlis kahwin adiknya kali ni”, tambah Makcik lagi.

Saya terharu dengan penghormatan yang diberikan itu, walaupun saya tahu bukan mudah untuk menganjur majlis ‘sebesar’ itu. Majlis itu sebenarnya ialah untuk ‘menyambut’ pengantin. Din adik bongsu saya telah melangsungkan perkahwinan di sebelah keluarga perempuan sekitar bulan 5 yang lalu, manakala Aur, anak paling tua Makcik melangsungkannya pada hari raya ke-3 yang baru lalu.

Jadi majlis ini adalah untuk ‘menyambut’ mereka berdua. Shahril pulak telah lebih awal berkahwin. Majlis menyambutnya dulu di buat serentak di rumah Makcik di Ipoh sana.

Pada awalnya kami bersetuju untuk buat majlis doa selamat sahaja, tetapi bila jemputan dan pemakluman begitu cepat beredar majlis itu terpaksa di ‘besar’ kan sedikit. Majlis diangkat lagi menjadi majlis kenduri kahwin sebenar.

Saya sebetulnya cukup gembira dan tidak sabar menanti hari tersebut kerana itulah pertama kalinya saya menjadi tuanrumah kepada kehadiran saudara mara dan rakan taulan. Saya saban tahun menganjurkan ‘rumah terbuka Aidilfitri’, tetapi kali ini ‘rumah terbuka’ ini dijangka lebih bermakna. Ramai saudara mara dan rakan taulan yang berjanji untuk turut hadir ke majlis tersebut.

Kelompok yang hadir itu saya pecahkan kepada berikut:-
- Keluarga saya sebelah Melaka
- Keluarga saya sebelah Negeri Sembilan
- Keluarga isteri sebelah Kedah
- Keluarga Makcik sebelah Perak
- Kawan-kawan masa sekolah dulu
- Sahabat-sahabat Perkib
- Sahabat-sahabat Pas & Nisa Bukit Beruntung
- Penduduk Taman Kesumba
- Rakan pejabat saya
- Kawan-kawan adik-adik saya
- Sahabat-sahabat lama saya sewaktu saya tinggal di Selayang

Untuk membuat jemputan, saya telah menggunakan beberapa strategi. Iaitu:-
- Jemputan melalui kad-kad Hari Raya yang saya hantar
- Saya juga ‘print’ sendiri kad jemputan, mulanya hanya 20 keping tetapi tanpa disangka terpaksa buat salinan tambahan sehingga lebih 100 keping.
- Melalui SMS
- Jemputan melalui ziarah terus
- Melalui email
- Melalui blog saya ini.

Isteri saya pula adalah dikira paling sibuk. Dialah yang paling banyak berperanan kerana saya ni bukanlah sihat sangat. Isteri saya ini pun sebenarnya bukanlah sihat sangat juga, tetapi semangat dan komitmennya itu cukup mengkagumkan.

Apapun ‘jadualkerja’ majlis tersebut dijangka padat tetapi meriah kerana ianya dijayakan secara gotong royong antara masyarakat setempat, rakan taulan dan saudara mara.

Sesiapa yang singgah di sini, saya jemput juga untuk hadir ke majlis tersebut. Ahlan wa sahlan.....

Jumaat, 3 Oktober 2008

Aidilfitri ingatkan saya makna kasih sayang....

Ingatan bermula waktu saya di sekolah rendah lagi. Malam raya, kami sekeluarga akan pergi ke Kedai Dak Tan di Pekan Jasin untuk bergambar. Itu agenda yang terpahat indah dalam ingatan saya. Selepas mak meninggal dunia, waktu tu saya belajar di tahun 3 manakala adik saya Suriya di tahun 2, ayah tidak lagi meneruskan agenda bergambar di malam raya.

Bila mak dah tiada dan ayah pula sudah berhijrah ke KL selepas berkahwin lain, tinggallah saya dan Suriya di kampung dengan Wan Jasin (nenek saya). Hari raya tidak lagi dinantikan sangat. Yang dinantikan ialah kepulangan ayah ke kampung. Tiap kali pulang dari sekolah kami ter 'cangak-cangak' kot-kot ayah ada singgah atau pulang ke kampung. Masa tu talipon pun susah, handphone pulak belum terfikir akan wujudnya.

Kadang-kadang ada sekali dua ayah mengutus surat. Lebih menyedihkan lagi bila dapat berita ayah tidak lagi bekerja di KL tapi telah berhijrah pula ke Pahang bersama keluarga barunya.

Yang pasti Aidilfitri tidak lagi pernah menjanjikan keceriaan lagi selepas mak tiada. Mujurlah Wan Jasin ada. Beliaulah pengubat rindu dan tempat kami bermanja. Cerita kebaikan Wan Jasin ini selalu saya lontarkan dalam doa dan munajat. Bila saya rindukan dia, saya sisipkan kisahnya dalam doa dan munajat saya. Dialah ibu dan ayah.

Saya masih ingat pakaian yang ditempahkan untuk saya setiap kali datangnya Aidilfitri ialah 2 pasang pakaian baju Melayu. Selain songkok hitam dan capal. Memang Wan Jasin sangat mengutamakan kami dua beradik.

Ayah walaupun waktu itu jauh, namun saya hingga hari ini tetap yakin betapa beliau sangat kasih dan cintakan kami. Kerana sebahagian besar jiwa ayah ada dalam jiwa saya. Dari wajah ayah saya tahu yang beliau sangat sayangkan kami. Tetapi suasana dan keadaan memaksa beliau tidak punyai ruang bersama dengan kami.

Apapun Aidilfitri mengingatkan saya makna kasih sayang sebenar...