Jumaat, 3 Oktober 2008

Aidilfitri ingatkan saya makna kasih sayang....

Ingatan bermula waktu saya di sekolah rendah lagi. Malam raya, kami sekeluarga akan pergi ke Kedai Dak Tan di Pekan Jasin untuk bergambar. Itu agenda yang terpahat indah dalam ingatan saya. Selepas mak meninggal dunia, waktu tu saya belajar di tahun 3 manakala adik saya Suriya di tahun 2, ayah tidak lagi meneruskan agenda bergambar di malam raya.

Bila mak dah tiada dan ayah pula sudah berhijrah ke KL selepas berkahwin lain, tinggallah saya dan Suriya di kampung dengan Wan Jasin (nenek saya). Hari raya tidak lagi dinantikan sangat. Yang dinantikan ialah kepulangan ayah ke kampung. Tiap kali pulang dari sekolah kami ter 'cangak-cangak' kot-kot ayah ada singgah atau pulang ke kampung. Masa tu talipon pun susah, handphone pulak belum terfikir akan wujudnya.

Kadang-kadang ada sekali dua ayah mengutus surat. Lebih menyedihkan lagi bila dapat berita ayah tidak lagi bekerja di KL tapi telah berhijrah pula ke Pahang bersama keluarga barunya.

Yang pasti Aidilfitri tidak lagi pernah menjanjikan keceriaan lagi selepas mak tiada. Mujurlah Wan Jasin ada. Beliaulah pengubat rindu dan tempat kami bermanja. Cerita kebaikan Wan Jasin ini selalu saya lontarkan dalam doa dan munajat. Bila saya rindukan dia, saya sisipkan kisahnya dalam doa dan munajat saya. Dialah ibu dan ayah.

Saya masih ingat pakaian yang ditempahkan untuk saya setiap kali datangnya Aidilfitri ialah 2 pasang pakaian baju Melayu. Selain songkok hitam dan capal. Memang Wan Jasin sangat mengutamakan kami dua beradik.

Ayah walaupun waktu itu jauh, namun saya hingga hari ini tetap yakin betapa beliau sangat kasih dan cintakan kami. Kerana sebahagian besar jiwa ayah ada dalam jiwa saya. Dari wajah ayah saya tahu yang beliau sangat sayangkan kami. Tetapi suasana dan keadaan memaksa beliau tidak punyai ruang bersama dengan kami.

Apapun Aidilfitri mengingatkan saya makna kasih sayang sebenar...

Tiada ulasan: