Rabu, 26 Mac 2008

Dalam kegembiraan itu terselit kesyahduan


Pagi tadi saya singgah di ‘warung sahabat’ di Kg Bharu. Sebenarnya hanya saya dan Pendi, rakan saya yang cacat penglihatan itu sahaja yang menggelarkan tuan punya warung itu sebagai ‘sahabat’ dan warungnya sebagai ‘warung sahabat’. Mungkin kerana abang empunya warung itu yang memanggil semua pelanggannya sebagai sahabat, maka kami pun turut panggilnya ‘sahabat’.

‘Warung sahabat’ ini menjual bahan-bahan seperti akhbar alternatif dan VCD ceramah dan kuliah. Oleh kerana saya masih belum lagi mempunyai ‘catatan kemenangan’ Barisan Rakyat khususnya PAS dalam PRU ke-12 baru-baru ini, maka saya ke ‘warung sahabat’ untuk mendapatkan satu dua keping VCD sebagai rekod saya.

Sampai di pejabat, saya mencuba dahulu VCD tersebut untuk mempastikan yang ianya tidak rosak. Sebab kalau rakamannya tidak baik, saya berkesempatan menukarnya semula waktu pulang dari pejabat petang nanti.

Walaupun saya melihat VCD-VCD itu secara sepintas lalu sahaja kerana perhatian sebenar akan saya berikan bila memasangnya di rumah nanti, saya sempat menghayati beberapa pemandangan dan mendengar beberapa luahan penceramah-penceramah dalam VCD tersebut. Dalam kegembiraan itu sebenarnya terselit sejuta keinsafan dan kesyahduan.

Saya tidak dapat menahan kesedihan bila dalam salah satu VCD, Sdr Yusuf Husin yang merupakan Setiausaha Perhubungan Pas Negeri Kedah menyingkap betapa ‘kemenangan’ yang dikecapi hari ini adalah hasil perjuangan tokoh-tokoh terdahulu seperti Allahyarham Ustaz Dato’ Hj Fadzil Mohd Nor, Mustaffa Long dan As-Syahid Ustaz Ibrahim Mahmud.

Memang pejuang-pejuang ini adalah antara perintis penting kemenangan Pas di Kedah hari ini.

Sempat juga saya mengikuti ucapan MB Kedah yang baru, YAB Ustaz Azizan Abd Razak. Ucapannya mantap dan berwawasan. Jauh lebih hebat daripada ucapan MB atau Ketua Menteri BN.

Tidak ketinggalan ucapan YB Gobalakrishnan yang cukup menggamatkan. Inilah pejuang-pejuang yang berjaya diangkat oleh rakyat bagi mewakili mereka di dewan rakyat melalu PRU ke-12 baru-baru ini.

Menelusuri pula kemenangan di Kelantan, ternyata ucapan YB Takiyuddin dan YB Husam dalam VCD bertajuk ‘Ceramah Sulung Pasca PRU ke-12’ cukup menggambarkan betapa kukuhnya dokongan terhadap kerajaan Tok
Guru itu. Keterampilan 2 tokoh muda di Kelantan ini benar-benar mendamaikan hati kita dan yakin bahawa Pas di Kelantan sudah pun siap dengan pimpinan pelapis yang mantap.

Kemudian saya sempat menyingkap catatan Tarmizi Mohd Jam mengenai kisah MB Perak yang baru. Antara lain kata Tarmizi dalam satu majlis forum "Apa Selepas Ini (What's Coming Next)" dianjurkan oleh empat media cetak Cina utama iaitu Guang Ming Daily, Sin Chew Daily, Eye Asia dan Sin Chew-i., MB itu telah bercakap menggunakan 4 bahasa dengan begitu fasih iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Cina dan Tamil! Lebih menakjubkan MB itu juga mampu menggunakan dialek Mandarin, Hokkien dan Kantonese.

Ternyata memang beliau adalah pilihan yang tepat untuk rakyat Negeri Perak. Beliau benar-benar menjadi simbol dan anugerah kepada perpaduan di negeri itu.

Tahniah Pas!

Isnin, 24 Mac 2008

BR stabil, BN berantakan!


DUA hari sebelum ‘hari pembuangan undi’ saya ada membuat ‘posting’ ke blog ini menceritakan suasana mutakhir yang dapat saya kesan dan rasai. Ternyata selepas keputusan pilihanraya ke-12 diumumkan, ‘bacaan’ saya itu rupanya menjadi kenyataan.

BN tersungkur di 5 negeri malah 6 negeri jika WP dikira sebagai sebuah negeri! Di peringkat pusat BN gagal memperolehi 2/3 majoriti.

Hari ini sudah masuk hari ke 16 keputusan pilihanraya ke-12 diumumkan. Sedang pimpinan kerajaan negeri yang baru di bentuk oleh Barisan Rakyat giat meneliti rekod dan fail yang ditinggalkan oleh kepimpinan BN sebelum ini, rakyat Terengganu masih tertanya-tanya siapakah bakal menjadi MB mereka. Krisis perlantikan MB Terengganu telah berlarutan begitu lama apabila MB lamanya Datuk Idris Jusoh tidak mahu juga menyerahkannya kepada ‘qada dan qadar’ bagi menghentikan terus isu ini.

Ya lah sebelum ini Datuk Idris berkata beliau akan terima apa sahaja keputusan istana sebagai qada dan qadar. Tetapi bila keputusan di buat lain pula cakapnya. Sekarang ini bukan sahaja cakap-cakap pasal qada dan qadar, tetapi cakap-cakap derhaka sudah galak dikumandangkan terhadap istana.

Waktu Kerajaan Negeri Perak berjaya dibentuk dengan penuh bergaya, Kerajaan BN di Perlis mengalami krisis perebutan jawatan MB yang serius. Kali ini ‘derhaka’ kepada raja yang di sorak terhadap DAP di Perak oleh Umno lebih parah dan serius melanda batang tubuh Umno di Terengganu. 22 Adun BN yang dipimpin Umno memboikot calon MB yang direstui istana di Terengganu.

Biarlah si Lunchai terjun bersama labu-labunya.

Apa pun syabas diucapkan kepada kepimpinan Barisan Rakyat yang dilihat semakin matang dan padu. Saya percaya dengan ‘kelayakan’ yang cukup, pimpinan Barisan Rakyat akan mampu menjadikan negeri yang mereka kuasai sebagai negeri yang berkebajikan. Rakyat akan mendapat faedah terus dari hasil kekayaan bumi ini.

Satu hal yang saya fikir perlu diberikan perhatian besar oleh pimpinan ialah sumber maklumat. Kita memang perlukan sebuah akhbar harian yang besar sebagai saluran maklumat kepada rakyat.

Minggu lepas saya ada terbaca bagaimana Datuk Seri Anwar Ibrahim ada memaklumkan kepada umum untuk menerbitkan akhbar seperti ini. Katanya dana tertentu daripada 5 negeri ini akan digunakan untuk tujuan penerbitan akhbar tersebut. Saya fikir ini merupakan satu usaha yang wajar sangat di segerakan kerana akhbar dan media BN sudah pun memulakan kempen mereka untuk memenangi semula hati rakyat.

Terlalu banyak penjelasan yang perlu disampaikan kepada rakyat. Jangan dilengahkan!

Rabu, 5 Mac 2008

Apakah ini petanda kejatuhan BN?


Dua hari lagi rakyat Malaysia akan menunaikan tanggungjawab mereka untuk memilih kepimpinan negara dalam Pilihanraya Umum ke-12.

Menjelang pembubaran parlimen lebih dua minggu yang lalu, saya tidak dapat rasakan apa-apa gelombang atau petunjuk bahawa pilihanraya kali ini ‘istimewa’ berbanding yang sudah-sudah.

Apa yang dirasakan pada waktu itu hanyalah ‘kelesuan’ rakyat dan ‘ketidakpedulian’ mereka terhadap apa jua isu berbangkit di sekeliling mereka.

Tetapi selepas hari Penamaaan Calon, suasana mula berubah. Rakyat yang ‘lesu’ tiba-tiba seperti pulih daripada demam. Masyarakat India terutamanya antara yang paling terkehadapan mengetuai kebangkitan rakyat dengan slogan ‘makhal sakhti’ atau kuasa rakyat.

Saya turut hadir di satu program ceramah Anwar Ibrahim di Selayang hujung minggu baru-baru ini. Tidak kurang 10,000 orang membanjiri padang tempat ceramah diadakan. Walaupun hujan turun dan padang dipenuhi air, rakyat tetap tidak berganjak menunggu kehadiran Anwar. Ternyata walaupun ucapan Anwar hanya lah 30 minit sahaja, namun ianya dilihat cukup berbaloi bagi rakyat. Yang menarik perhatian saya ialah masyarakat keturunan Cina juga sanggup berhujan mendengar ucapan Anwar!

Di pejabat, saya belum lagi terserempak atau mendengar ada suara-suara yang mendokong BN sekarang ini. Yang ada cuma bisik-bisik dan cakap-cakap kebencian terhadap eksploitasi BN terhadapa arus media perdana sejak kebelakangan ini. Sembang-sembang rakan sekerja jelas tidak lagi tertahan dengan kenaikan kos hidup.

Lebih menakjubkan, rakan-rakan yang terkenal tidak ambil pusing langsung tentang pergolakan politik selama ini begitu bersemangat bercerita mengenai ceramah Anwar yang mereka ikuti di sana-sini.

Di taman perumahan tempat saya tinggal pula, daripada 500 unit rumah, tidak ada sebuah rumah pun yang mengibarkan bendera BN. Suasana ini jauh berbeza dengan 4 tahun yang lalu.

Suasana ini semua menyebabkan saya tertanya-tanya apa yang sudah terjadi? Adakah ini yang dikatakan ‘silence majority’. Apa pun tempoh 70 jam terakhir ini, pelbagai tektik dan helah akan muncul dan mungkin lebih menggemparkan. Yang terbaru setakat ini ialah pengumuman SPR membatalkan penggunaan dakwat pencelup jari yang sebelum ini bertujuan untuk mengelakkan pengundian dilakukan lebih daripada sekali.

Apa lagi selepas ini?