Isnin, 31 Disember 2007

Akhirnya Aur berjaya juga mendapat pekerjaan yang dikira sesuai dan setara dengan kelayakan yang beliau ada

Hari ini saya rasa tidak begitu sihat. Badan terasa agak lemah. Bagaimanapun tengahari tadi Pendi, rakan saya di pejabat minta pertolongan untuk bawanya ke Bank Simpanan Nasisonal berdekatan untuk beberapa urusan. Kalau ikut kan ‘kederat’ memang saya tak larat nak tolong, tapi mengenangkan beliau ni cacat penglihatan dan lebih memerlukan bantuan, maka saya gagahkan juga untuk bawanya ke sebuah cawangan BSN berhampiran Chow Kit.

Agaknya kerana ‘terhutang budi’, Pendi telah belanja saya makan tengahari di sebuah gerai di Kg Bharu. Rezeki jangan di tolak.

Balik ke pejabat saya berehat sebentar sambil cuba menyelesaikan beberapa tugasan. Kemudian saya ke surau untuk solat. Sebaik selesai solat dan bersalaman dengan lain-lain jamaah saya duduk semula untuk berehat. Saya rupanya tertidur dan terjaga setengah jam kemudiannya. Cepat-cepat saya bersiap untuk masuk semula ke pejabat.

Elok-elok saya duduk sahaja, Sahrul adik saya buat panggilan dan minta saya untuk menalipon semula. Saya tidaklah terkejut kerana Sahrul memang begitu. Adalah perkara yang hendak dimaklumkan tu, detik hati saya.

“Bang Puan, Aur dah dapat ‘offer’ kerja kat Maybank tu”, beritahu Sahrul separuh menjerit kegembiraan. “2 hb ni En Ali yang ‘call’ tu minta ambil ‘letter offer’ di Menara Maybank”, tambah Sahrul lagi.

“Alhamdulillah”, sambut saya pula. “Akhirnya Aur berjaya jugak”, saya mengucapkan tahniah.

Selepas berpuluh-puluh permohonan pekerjaan dibuat oleh adik saya itu ke pelbagai syarikat dan entah berapa kali pulak ‘interview’ yang telah beliau hadiri, akhirnya berjaya juga dia mendapat pekerjaan yang di kira sesuai atau setara dengan kelulusan dan kelayakan yang beliau ada. ‘Aur’ panggilan kami sekeluarga kepadanya merupakan seorang pemegang Ijazah Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa daripada Universiti Utara Malaysia.

Saya bukanlah ‘bias’, tetapi saya selalu berkata pada diri saya kenapalah syarikat yang menemuduga adik saya itu tidak mengambilnya bekerja. Mungkin Sahrul ‘gagal’ mempersembahkan yang terbaik kepada para penemuduga sebelum ini, pujuk hati saya. Sebab bagi saya, adik saya ini seorang yang komited dengan kerja dan amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Dia jujur dengan kerjanya dan selalu lakukan yang terbaik. ‘Team work’ dalam dirinya melimpah ruah sehingga dapat dirasai oleh kami sekeluarga. Beliau suka membantu dan seorang yang sangat mengambil berat.

Apapun saya berharap Sahrul akan terus cemerlang dengan amanah barunya ini. Dan yang sangat saya harapkan ialah beliau akan bertemu dan berkenalan dengan sahabat-sahabat baru yang baik seterusnya menjadi salah seorang penggerak kerja-kerja islah di tempat yang baru.

Tiada ulasan: