Selasa, 8 Januari 2008

Musim persekolahan 2008 pun bermula...



MUSIM persekolahan 2008 telah pun bermula. Rumah kami terasa sunyi bila Anis dan Iman pulang semula ke asrama. Sejak mereka bercuti panjang tempohari rumah kami kembali meriah dengan gelagat dan senda gurau mereka. Banyak kerja-kerja rumah yang dibantu mereka.

Rupa-rupanya tanpa disedari Kak Anis dan Kak Iman telah pun besar panjang dan tingkahlaku mereka pun nampak semakin bertanggungjawab. Cepat sungguh masa bergerak.

Waktu Kak Anis mula di terima untuk tinggal di asrama, terasa sungguh ‘kehilangan’ beliau. Ya lah, kami sekeluarga ni memang rapat. Kemana sahaja kami akan bergerak bersama. Ke kedai, ke pasar malam dan selalu ronda-ronda bersama keluarga di sekitar taman perumahan kami di Bukit Beruntung. Kalau ada ceramah pun kami akan pergi sekeluarga. Kami kalau ikuti ceramah sampailah ke Taman Melewar yang jaraknya lebih 50 km daripada rumah kami. Kami cukup gembira bersama. Sebab itu perjalanan kami kemana-mana pun begitu relaks dan santai.

Tapi bila Kak Anis mula tinggal di asrama kemudiannya Kak Iman menyusul setahun selepas itu, kami begitu terasa kekurangan dalam keluarga. Sebab itu bila mereka sudah pulang semula ke asrama biasanya saya pula yang akan berehat dan selalunya tertidur sejam dua di bilik mereka. Itu cara saya melepaskan kerinduan terhadap anak-anak.

Kalau ikutkan hati mahu sahaja pindahkan persekolahan mereka di sini sahaja. Tetapi demi kebaikan dan masa depan mereka, terpaksalah kita korbankan perasaan dan kemahuan itu. Bagaimanapun dalam kerinduan itu kami bersyukur kerana Kak Anis dan Kak Iman begitu selesa dan gembira belajar di sekolah tersebut.

Di Bukit Beruntung pula 3 anak lelaki kami juga telah mulakan sessi persekolahan. Amir dan Amar di sekolah rendah manakalah Amri memulakan sessi di Pasti. Tahun ini Amri menjadi tumpuan kami sekeluarga selepas Kak Iman pada tahun yang lalu bila beliau memulakan sessi pertamanya di asrama.

Amri walaupun beberapa bulan sebelum musim persekolahan bermula begitu bersemangat untuk memulakan sessi di Pasti, tetapi pada hari pertama Pasti dibuka beliau ‘buat perangai’ tak mahu ke sekolah. Mujurlah Umi nya bijak mencatur. Sesampai di pintu pagar Pasti, Amri tak mahu turun daripada kereta. Puas dipujuk. Bagaimana ya. Akhirnya Umi nya terus masuk ke Pasti dan dapatkan sepasang pakaian seragam Pasti. Melihatkan pakaian tersebut Amri jadi lembut hati. Dia bersemangat semula. Selepas menyalin pakaian di kereta, mudah sahaja dia meluru mengambil tempat di bilik darjah.

Sedang ibubapa lain dan pelajar sibut dengan pendaftaran, Amri sudah mula bersembang dengan beberapa kawan barunya. Nampak begitu cepat dia berkawan. Sesuatu yang kami hampir tak percaya. Sejak hari itu dia begitu bersemangat sekali untuk ke sekolahnya. Pelbagai cerita dan sembangnya menceritakan pengalamannya di sekolah setiap hari.

Apapun musim persekolahan tahun ini begitu perit dirasakan. Banyak sungguh yuran dan bayaran yang tidak mampu dibuat lagi. Bak kata isteri saya, masuk je dulu. Duit cari kemudian!

Tiada ulasan: