Jumaat, 18 Januari 2008

Combat!


MALAM tadi saya terjaga lewat malam bila anak ke-4 saya Amar Syahid mengeluh dan resah kerana demamnya yang agak kuat. Lepas solat maghrib petang tadi saya telah bawanya ke klinik.

Tapi Amar memang begitu, kalau demam dia seperti meracau. Ya Allah...Ya Allahhhhhh....itulah kalimat yang biasanya keluar bila dia seperti meracau. Walaupun dia macam separuh sedar, perkataan yang keluar dari mulutnya ialah Allah.

Saya pulak kalau anak-anak tak sihat memang sukar nak tidur. Saya akan tidur berhampiran mereka dan menjaramkan air di badan mereka untuk mengawal suhu. Kadang-kadang tu saya tertidur dalam duduk.

Bila saya lihat Amar seperti ‘tidur-tidur ayam’ sahaja kerana mungkin kurang selesa dengan demamnya, saya membuka TV untuk mengurangkan rasa mengantuk. Waktu itu saya kira jam sudah menghampiri pukul 1.00 pagi!

Di kaca TV pada waktu itu sedang diputarkan sebuah filem lama....COMBAT! Filem ini mengisahkan siri-siri peperangan antara pihak Amerika dan Jerman. Sambil memicit-micit dahi Amar saya bukan sahaja memerhati perjalanan ceritanya tetapi pelakon-pelakon yang pernah menjadi pujaan saya pada waktu itu . Filem Combat ini benar-benar mengembalikan nostalgia lama saya di zaman kanak-kanak. Ya....waktu itu saya sekitar seusia Amar, 10 tahun.

Watak Sgt. Saunders, Lt. Hanley, Caje, Kirby, Little John merupakan icon hebat kami pada zaman itu. Mungkin setanding dengan watak Power Rangers bagi kanak-kanak sekarang.

Walaupun yang diputarkan itu adalah filem lama Combat, tetapi pemikiran saya turut melayang mengingat kembali zaman di saat filem itu begitu diminati. Dalam masa yang sama saya seperti melihat ‘screen’ saya sendiri.

Pada waktu itu TV hanyalah ‘hitam putih’ sahaja. Belum ada lagi TV Color. Bila hari filem Combat dimainkan, kami akan pergi lebih awal mengaji quran di rumah Pok Long Tahir. Tujuannya supaya boleh balik awal dan sempat menonton Combat!

Pok Long Tahir adalah bilal di Masjid Jamek Jasin. Saya fikir lebih 30 orang yang mengaji quran di serambi rumahnya setiap hari pada waktu maghrib. Jadi tidak hairanlah kalau kami akan berlumba-lumba ke rumahnya setiap petang untuk dapatkan giliran yang awal terutama bila hari tersebut ada cerita Combat.

Rasanya zaman itu baru sahaja berlalu. Tak terfikir langsung yang zaman itu telah berlalu lebih 30 tahun yang lalu. Waktu itu saya seusia Amar!

Tiada ulasan: