Isnin, 11 Februari 2008

Gendang Pilihanraya Umum ke-12 makin kuat di palu...

Pilihanraya Umum ke-12 mungkin tidak berapa hari sahaja lagi. Parti-parti yang akan menyertai pilihanraya ini semuanya telah betul-betul ‘siap’ bagi menghadapi pertembungan tersebut.

Di pihak parti yang memerintah BN, saya fikir mereka begitu yakin bukan sahaja dapat mengekalkan majoriti 2/3 malah akan mencapai lebih daripada itu lagi. Itulah kata-kata Datuk Seri Radzi, Setiausaha Agong Umno semalam.

Saya tidak hairan dengan kenyataan tersebut kerana mereka selalu menyandarkan ‘kekuatan’ mereka dengan ‘angka’ dan ‘keupayaan’ mereka memanupulasikan seluruh jentera kerajaan. Walaupun apa yang mereka lakukan itu ‘salah’ menurut etika demokrasi yang mereka sendiri junjung.

Di pihak parti-parti alternatif, persediaan mereka bukan sahaja menyediakan keupayaan ‘kebendaan’ sahaja tetapi yang lebih utama ialah menyediakan rakyat dengan persiapan mental dan spiritual. Saya kata kan begitu kerana ‘serangan’ yang dilancarkan oleh BN memerlukan persiapan tersebut untuk menangkisnya.

Tidak cukup dengan paparan di dada-dada akhbar dan media cetak lainnya, semua media elektronik sedang giat berkempen untuk Umno dan BN. Kalau buka Berita TV, ianya telah menjadi berita Umno!

Dari segi logiknya sahaja, kita sudah nampak betapa tempangnya demokrasi di negara ini. Pilihanraya bukannya perlawanan antara parti dengan parti, tetapi adalah perlawanan antara parti dengan sebuah parti lain yang menggunakan seluruh kemudahan milik kerajaan.

Inilah yang dikatakan perlawanan di padang yang tidak sama rata!

Apapun saya bangga dengan parti-parti alternatif yang terus berusaha memperbaiki dan merawat demokrasi di negara ini. Saya berharap kita akan dapat melihat sebuah kerajaan yang lebih baik dan berkebajikan selepas pilihanraya umum ke-12 nanti.

Melalui pemerhatian peribadi saya, walaupun seperti tiada ‘gelombang’ yang dapat dilihat secara zahirnya untuk perubahan menjelang pilihanraya umum ke-12 ini, tetapi kalau kita bersembang dan bercakap-cakap dengan rakan dan taulan, kita akan dapat mengesan yang mereka telah bersedia dan bertekad untuk ‘bertukar angin’ kali ini.

Timbalan PM sendiri baru-baru ini sewaktu berucap di Perhimpunan Khas MIC berkata bahawa kalau dulu kita boleh menang dengan hanya letakkan ‘songkok’ calon Umno, tetapi hari ini perkara demikian tidak lagi boleh berlaku kerana rakyat telah bijak!

Dalam pada itu saya turut berfikir-fikir apakah bentuk sumbangan yang boleh saya berikan untuk membantu menegakkan sebuah negara berkebajikan tersebut?

Tiada ulasan: