Selasa, 19 Februari 2008

"Ini bukan masalah menang atau kalah, tetapi peraturan yang mesti dihormati!"

KALAU tidak salah ingatan saya kali pertama saya bertugas sebagai ‘polling & counting agent’ ialah pada pilihanraya umum ke-8. Antaralain ketika itu saya dan rakan-rakan yang di amanahkan untuk tugasan tersebut diminta untuk berpakaian pejabat. Ternyata strategi tersebut dikira berkesan kerana pada waktu itu petugas-petugas Pas dikira agak kurang menampilkan diri sebagai seorang yang professional walaupun ramai di kalangan mereka terdiri daripada kalangan terpelajar dan professional.

Penampilan demikian menyebabkan kakitangan SPR dan petugas BN sendiri pada waktu itu ‘malu-malu alah’ dan menghormati kami. Ini memudahkan kami berurusan dengan pihak SPR dan Polis dengan lebih berkesan.

Dalam taklimat yang diberikan kepada kami ada juga disebutkan supaya petugas-petugas ‘polling & counting’ mesti melapor diri kepada pegawai SPR di bilik-bilik pengundian selewat-lewatnya pukul 8.00 pagi. Sekiranya gagal berbuat demikian petugas tersebut boleh ditolak atau dibantah untuk bertugas di mana-mana bilik mengundi berkenaan.

Untuk mengelakkan kelewatan di kalangan kami, maka semua petugas ‘polling agent’ Pas di arah untuk bermalam di markaz cawangan. Jadi kami akan pergi bersama-sama ke pusat pengundian pada awal pagi selepas solat subuh dan sarapan pagi.

Alhamdulillah, semua kami selesa sampai dan mendaftar di bilik-bilik pengundian tempat kami ditugaskan disekitar pukul 7.30 pagi lagi. Bila jam mula menunjukkan hampir pukul 8.00, saya agak gelisah kerana kelibat petugas BN di bilik saya masih belum kelihatan. Saya mula dapat menjangkakan ada yang tidak kena akan berlaku sekiranya petugas BN ini lewat masuk.

Ternyata selepas pengundian dibuka dan bermula beberapa ketika, barulah petugas BN yang akan bertugas di bilik saya tergesa-gesa sampai untuk mendaftar kepada pihak SPR di situ. Saya terus bingkas dan berkata kepada pegawai SPR tersebut, “Saya bantah, penyertaan petugas ini!”, kata saya agak kuat.

Terkedu pegawai SPR tersebut. Katanya kenapa. Saya kata, adalah menjadi kesalahan kepada mana-mana petugas yang mendaftar selepas waktu yang ditetapkan. Pegawai tersebut tambah nampak serabut, dia seperti tahu apa yang bakal dihadapinya kalau ada petugas BN gagal untuk masuk.

“Saya bantah!”, kata saya mengulangi penegasan saya. Berani pulak saya pagi tu. Bukan apa saya rasa begitu terbeban dengan tanggungjawab jamaah saya. Kalau saya tidak bertegas bermakna saya telah mengabaikan amanah jamaah terhadap saya. Itu yang saya fikirkan.

Saya nampak petugas BN itu agak pucat bila saya bertegas dan menolak rayuan pegawai SPR tersebut supaya saya ‘lebih kurang’ je. Agak lama juga tawar menawar pegawai tersebut kepada saya, namun saya tetap tegas mengatakan tidak!.

Akhirnya petugas BN tersebut terpaksa beredar sahaja daripada situ. Dan hanya saya sahaja yang bertugas mewakili parti yang bertanding di bilik itu disamping beberapa orang petugas SPR.

Manakala pegawai SPR yang bertugas di situ entah berapa kali berdiri diluar bilik pengundian menghisap rokok seperti cuba menghilangkan perasaan gementar beliau. Saya tahu yang beliau dapat meneka sesuatu yang buruk bakal dihadapinya sebentar lagi bila tidak ada petugas BN yang lepas masuk ke bilik itu.

Lebih kurang sejam selepas itu, calon BN bersama pengiring-pengiringnya bersama petugas BN tadi datang ke bilik tersebut semula. YB Datuk itu terus menuju kepada pegawai SPR tersebut. Memang jelas gementar pegawai tersebut bila di soal kenapa boleh jadi macam ni.

Saya bangun dan merapati perbincangan mereka tanpa diundang. Sebab pada perkiraan saya mereka tidak ada hak untuk berbisik-bisik di sini. Bila melihat saya turut sertai perbualan mereka, pegawai SPR tersebut sekali lagi memohon supaya saya membenarkan petugas BN tersebut masuk bertugas di situ.

Saya dengan tegas mengulangi pendirian saya, tidak!. YB Datuk bersama pengiringnya tidak terkata apa-apa cuma memandang penuh ‘geram’ terhadap saya. Mereka kemudiannya segera beredar dan saya meneruskan tugas di situ.

Selepas ‘shift’ saya selesai ada 2 atau 3 lagi ‘shift’ selepas itu. Bila sampai giliran pengiraan undi, saya masuk semula untuk tugasan tersebut. Apabila peti-peti undi mula di ‘seal’ kan, muncul semula petugas BN pagi tadi mohon untuk masuk bertugas. Pegawai SPR itu memandang saya dan berkata boleh ke beliau dibenarkan masuk. Saya katakan tidak.

Akhirnya pengiraan dibuat dihadapan saya seorang bersama beberapa petugas SPR. Apabila kertas undi diasingkan memanglah ¾ undian adalah berpihak kepada BN. Pegawai SPR tersebut sempat menyindir saya dengan katanya, “Itulah saya kata awak kalah”. Dia cuba merujuk kepada kedegilan saya untuk tidak membenarkan petugas BN masuk sejak pagi tadi.

Saya memandangnya dan berkata, “Ini bukan masalah menang atau kalah, tetapi peraturan yang mesti dihormati!”. Dia terdiam.

Saya bersyukur kerana berjaya bertahan menunaikan amanah parti dan jamaah pada hari tersebut.

Tiada ulasan: