Isnin, 18 Februari 2008

Bila kaum India dah panjat pokok sawit dan ikat bendera Pas di situ...

KEMPEN pilihanraya ke-12 telah mula membahang. BN seperti pilihanraya yang lepas-lepas tanpa segan silu memperkudakan seluruh jentera kerajaan bagi tujuan kempen pilihanraya mereka. Tidak perlu disenaraikan, kita semua terlebih maklum akan perkara ini. Setiap setengah jam akan ada sahaja kempen-kempen yang diselitkan di mana-mana slot TV.

Saya tidak pasti adakah rakyat terbanyak ‘termakan’ atau ‘gembira’ dengan slot-slot kempen tersebut yang pada pemerhatian saya begitu keterlaluan. Kadang-kadang saya cuba ‘melapangkan’ minda saya dan meletakkan diri saya sebagai rakyat biasa yang tidak terikat dengan mana-mana kecenderungan politik demi ‘menghayati’ slot-slot kempen BN tersebut. Ternyata penayangan yang berulang-ulang dan bertalu-talu dengan gaya dan pendekatan yang berlainan itu menjadikan saya semakin jijik dengan sikap BN memperkudakan media elektronik tersebut. Sebab yang saya ‘nampak’ pada waktu itu hanyalah eksploitasi media yang begitu keterlaluan dan dahsyatnya padang permainan yang disediakan oleh ‘demokrasi’ ala BN terhadap parti-parti alternatif.

Saya juga tidak dapat bayangkan ‘penghormatan’ jenis apa yang patut diberikan kepada rakyat Kelantan khususnya jika Pas terus dipilih oleh mereka untuk menerajui Kerajaan Negeri selepas ‘serangan’ cukup agresif daripada pelbagai dimensi yang dihalakan ke atas mereka sejak akhir-akhir ini.

Kata seorang teman, jangan kita gusar kerana kita punya Allah tempat mengadu. Dua malam lepas beribu-ribu rakyat Kelantan berhimpun di perkarangan Stadium Sultan Muhammad bermunajat bersama Tok Guru bermula jam 3.30 pagi.

Isteri saya pula memberitahu sewaktu beliau bersama teman-teman lain merayu undi di sebuah daerah mengundi di DUN Batang Kali, ternampak sekumpulan kaum India sedang menaikkan bendera Pas di pokok-pokok kelapa sawit.

Sedang saya berpusing-pusing dengan kereta mencari-cari akhbar Harakah terbaru, saya berhenti di hadapan sebuah restoran India kerana ternampak ada akhbar tersebut di gantung di situ. Belum pun sempat saya berteriak dari dalam kereta minta untuk membeli akhbar tersebut, tuan kedai itu segera mengangkat Harakah memberi isyarat adakah itu yang saya minta. Saya mengangguk dan beliau terus berteriak “Harakah bagus!, Harakah bagus!”, sambil dia menunjukkan Harakah dan memperkatakan sesuatu kepada pelanggan-pelanggan restorannya.

Saya membalas sambil mengangkat ibu jari tanda bagus kepadanya. Berlari anak dia menghantarkan Harakah itu kepada saya. “Bagus, bagus, bagus”, katanya lagi.

Tiada ulasan: