Khamis, 10 Mac 2011

Sedikit sorotan kerana kerinduan...

Semalam saya keluar bersama 2 anak lelaki saya dan seorang anak saudara yang juga telah tinggal bersama kami sejak awal penggal persekolahan baru-baru ini. Ini adalah kerana pada malam tersebut rumah kami mendapat giliran untuk program usrah zon muslimat. Jadi saya mengambil keputusan untuk pusing-pusing bersama anak-anak lelaki sementara usrah tersebut berlangsung.

Memang menjadi kebiasaan, bila di dalam kereta saya mengambil peluang memberikan nasihat atau bercerita mengenai pelbagai topik bersama anak-anak. Malam itu saya mengimbas kembali zaman remaja saya. ‘Abah dulu memang seorang yang pemalu’, saya memulakan cerita.

Memang betul. Selepas Wan (nenek) saya meninggal tinggallah saya berseorangan di rumah pusaka tersebut. Adik saya, Suriya diambil oleh keluarga sebelah emak di Negeri Sembilan dan bersekolah di sana. Manakala emak tiri dan anak-anaknya (adik saya juga) telah lebih awal dijemput oleh keluarganya dari Taiping.

Memang tiada siapa yang memahami sikap saya tidak ikut ‘pulang’ ke Negeri Sembilan untuk tinggal bersama keluarga ibu saudara di sana. Ungkapan arwah Wan menyerlahkan apa yang bermain di benak saya. Katanya, ‘Safuan, kalau Wan mati engkau jangan ke mana-mana, duduklah di rumah ni, nanti engkau tu nak mintak air pun malu!’

Bila abah balik dari sekolah, memang ada yang bertanya ‘dah makan ke belum’, saya menyambung cerita. ‘Abah memang tak pandai untuk menjawab ‘belum’ untuk soalan seperti itu. Sudah, jawab abah dengan nada sederhana. Walhal abah belum makan lagi.’

Begitulah selalunya. Kadang-kadang bila pulang dari sekolah, ada yang meletakkan makanan di pintu rumah. Alhamdulillah, rezeki. Memang, disebabkan susuk tubuh saya yang agak besar sejak kecil lagi, tidak ada sesiapa yang pernah menyangka bahawa saya biasa tidak jumpa nasi sampai 4,5 hari!

Saya selalu menangis mengenangkan betapa sukarnya hidup tanpa punya ayah, mak dan Wan pada waktu itu. Tiga insan yang cukup dekat dengan saya. Tempat bermanja dan mengadu hal. Memang selepas Wan meninggal dunia, apa sahaja yang terbuku dihati, kehendak dan kemahuan terpaksa dipendam sendiri. Tiada siapa yang dipercayai untuk dikongsikan. Dulu Wanlah yang selalu berjaya menterjemahkan bisik hajat dan kemahuan. Tak perlu cakap, Wan dah tahu!

Pengalaman abah bersama mak terlalu singkat, cerita saya lagi sambil meluncurkan kereta ke arah Rawang. Ya lah, mak saya meninggal ketika saya belajar di darjah 3. ‘Mujurlah gambarnya masih ada dalam simpanan abah’, sambung saya. Tetapi suara mak sudah benar-benar luput dari ingatan. Puas saya cuba mengingat tapi tak secebis perkataan mak yang berjaya saya jangkau kembali.

Ayah, pernah sekali meluahkan isi hatinya kepada saya waktu bercuti di rumahnya selepas beliau berhijrah ke Pahang bersama keluarga barunya. Selepas ayah meninggal barulah saya dapat ‘memerangkap’ nilai hati budi ayah yang cukup menyayangi saya dan Suriya. Saya cukup tahu betapa ayah sayangkan kami tetapi keadaan ‘ekonomi’ ayah menyebabkan beliau tidak berjaya membawa kami tinggal bersama. Tak apalah ayah. Apapun kami tetap rindu dan sayangkan ayah. Ayah memang telah melakukan yang terbaik.

Sebenarnya saya ingin katakan kepada anak-anak bahawa latar demikianlah yang telah mempengaruhi gerak laku, emosi dan stail abah. Sorotan masa lampau sebenarnya adalah terjemahan kerinduan abah pada saat dan masa tersebut.

Tiada ulasan: