Ahad, 22 Mei 2011

Allah telah gantikan kesedihan panjangnya...

Jam sudah menunjukkan pukul 2.25 pagi. Mata sukar untuk dilelapkan. Petang tadi adik saya Suriya dan keluarganya sampai daripada Cini, Pahang. Mereka sampai awal sedikit daripada saya yang baru pulang daripada dialysis di Hospital Selayang. Memang sejak 2 minggu ini tekanan darah saya agak tinggi, tak tahulah kenapa. Ubat makan macam biasa. Tu yang menyebabkan saya terpaksa memulakan dialysis lewat sikit untuk menunggu tekanan darah agak stabil. Masa balik pun macam tu, selepas dialysis terpaksa tunggu sekejap untuk stabilkan tekanan darah. Jadi lambatlah sikit sampai di rumah.

Suriya transit di rumah saya kerana pada esok adalah hari pendaftaran kemasukan anak sulungnya Shaqira ke UITM. Lagipun mereka tidak begitu arif untuk ke UITM tersebut. Saya pun sejak dimaklumkan oleh Suriya mengenai kemasukan anaknya ke sana telah bersedia mendapatkan maklumat awal mengenai jalan yang akan dilalui untuk ke sana nanti.

Esok sudah tentu merupakan hari yang begitu bersejarah bagi Suriya. Qira anak sulungnya memang seorang pelajar yang cemerlang akan melangkah ke menara gading. Bagi saya Qira antara pelajar yang luarbiasa cemerlangnya. Selepas pencapaian 5A dalam UPSR, Qira terus unggul bila berjaya meraih 9A dalam PMR. Pencapaian paling manisnya ialah 9A 1B dalam peperiksaan SPM yang baru lalu.

Saya turut tumpang gembira dan bangga dengan pencapaian Qira. Kalau mak dan ayah masih ada tentu kemeriahan hari ini sukar digambarkan. Memang kecemerlangan Qira adalah hadiah daripada Allah kepada Suriya. Liku-liku hidupnya yang kehilangan mak seusia 8 tahun adalah peristiwa cukup menyayat.

Selepas mak meninggal dunia, tak lama kemudian ayah yang menggantikan tempatnya bermanja berkahwin lagi dan berhijrah ke KL. Tinggallah Wan Jasin sebagai pengganti ayah dan mak.

Sukar untuk mencatatkan kisah dukanya. Setiap kali saya mencuri pandang wajahnya, pasti ada air mata yang bergenang mengingat ketabahan dan kerinduannya yang amat terhadap ayah dan mak. Itulah cara saya memandang Suriya.

Hari ini saya cukup yakin bagaimana Allah menghiburkannya dengan pencapaian anaknya itu. Allah telah gantikan kesedihan panjangnya. Sebenarnya bukan Qira sahaja yang cemerlang, tetapi kesemua anak-anaknya adalah pelajar pintar. Sofea anak keduanya juga berjaya menggapai 5A dalam UPSR, dan kini sedang bersiap untuk PMR pada tahun hadapan. Ana dan Syifa juga tidak kurang cemerlangnya di kelas masing-masing. Bagi saya memang menakjubkan.

Qira mengambil jurusan Asasi Sains sebagai langkah awal untuk bergerak dalam bidang perubatan. Mudah-mudahan Qira akan berjaya mencapai cita-citanya. Pak Long berharap Qira pandai membawa dan menyesuaikan diri. Pilihlah kawan-kawan yang baik.

Malam ini saya yakin Suriya juga tidak mampu melelapkan matanya kerana pagi esok Qira akan mula berada di luar jangkauan matanya. Selepas sejak dilahirkan, esok adalah hari dua beranak ini akan ‘berpisah’, tidak tinggal serumah lagi. Ibu mana yang tidak gundah. Saat ini akan terasa belum puasnya sang Ibu membesarkan anak, sukar untuk melepaskannya pergi.

Apapun saya ingin katakana kepada Suriya bahawa dia adalah seorang ibu yang hebat. Hanya ibu yang hebat sahaja dapat melahirkan anak-anak yang hebat!

Tiada ulasan: