Isnin, 19 Julai 2010

Lain padang lain belalang....


Saya tidak pasti adakah bidalan yang saya gunakan di atas tepat untuk cerita dan sembang saya kali ini. Dunia Facebook kian berkembang melanda generasi kini. Anak-anak saya semuanya termasuk yang masih di darjah 2 juga sudah ada FB.

Saya juga tidak ketinggalan. Ramai rakan-rakan lama yang dulunya dikira hampir mustahil untuk dikesan semula kini boleh bertegur sapa di alam siber melalui dunia FB. Bayangkan rakan-rakan lama waktu saya masih di darjah 1, kira-kira 36 tahun yang lalu ramai yang mula bertemu dan bersembang di FB. Memang hebat zaman yang kita hidup kini.

Selepas bersembang, bertegur sapa dan membaca perbualan mereka di FB ternyata dunia dan persepsi antara kita menjalani kehidupan ini memang cukup berbeda. Itulah rencah kehidupan mungkin.

Rakan-rakan yang pernah menjadi rakan paling rapat dahulu kini agak sukar untuk mendapatkan topik perbualan yang sejalan. Semuanya sudah ada jalan dan arah pandangan sendiri yang kadang-kadangnya agak jauh tersasar.

Bagaimanapun Allah swt sentiasa menganugerahkan ke atas umat ini supaya mereka segera kembali kepada titik dan noktah yang satu. Nampaknya titik pertemuan itu ialah isu Palestine. Itulah noktah pertemuan disebalik rencah dan perbedaan tadi.

Saya masih belum terjumpa lagi melainkan semuanya adalah pembela perjuangan pembebasan bumi yang penuh berkat itu. Memang isu Palestine selamanya menjadi titik dan noktah pertemuan kita semua. Pimpinan ummah perlu bergerak dari titik ini jika benar-benar mahukan sebuah kesatuan dan penyatuan.

Walaupun 'lain padang lain belalang' , lain orang lain pandangannya, tetapi Palestine menyatukan kita.

Tiada ulasan: