Sabtu, 6 Mac 2010

Email persaraan saya kepada staff Bank Pembangunan

Assalamualaikum wbt….

Walaupun sudah dikira terlewat beberapa hari, saya tetap berusaha untuk membuat sedikit catatan penghargaan saya untuk semua rakan yang mengenali ataupun yang tidak mengenali saya. Kelewatan ini adalah disebabkan saya masih berada di wad menjalani rawatan walaupun pada tarikh akhir saya berkhidmat di Bank Pembangunan.

Tidak terduga oleh saya bahawa saya perlu membuat satu lagi pendirian yang cukup besar dalam hidup saya. Iaitulah bersara awal. Rakan-rakan yang mengenali saya tahu bahawa saya telah kehilangan ibubapa sejak usia yang begitu muda. Sejak itu saya telah membuat beberapa pendirian penting untuk halatuju hidup saya seterusnya. Ini adalah antara yang sukar bagi saya. Tetapi kehidupan perlu diteruskan. Doa dan sokongan rakan-rakan menjadi semangat kepada saya.

Kepada seluruh warga Bank Pembangunan saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terimakasih yang tidak terhingga, penghargaan tanpa batas sepanjang perkenalan kita selama ini. Kepada pihak pengurusan yang telah berusaha membantu, kepada rakan-rakan jabatan yang memberi dokongan, teman-teman yang mengenali mahupun tidak mengenali sangat saya bahkan saya memang mempunyai sebaris nama yang terus terpahat dalam hati dan sanubari saya disebabkan mereka tidak jemu-jemu memberikan sokongan dan bantuan.

Oleh kerana saya juga turut memberikan servis untuk SME Bank dan cawangannya sewaktu berkhidmat dulu maka saya berdoa semoga penghargaan dan ingatan saya ini dapat juga disampaikan kepada mereka.

Akhirnya saya ingin memohon kemaafan yang tidak terhingga kepada semua sekiranya sepanjang perkhidmatan dan perkenalan kita selama ini saya pernah mengguris atau mendatangkan ketidakpuasan hati. Adapun bagi pihak saya, kemaafan dan doa telah saya abadikan untuk anda semua.

Sekian, terimakasih atas kesempatan ini. Mudah-mudahan Allah menerima khidmat saya di Bank Pembangunan selama ini sebagai amal yang soleh.

Ikhlas daripada,
SAFUAN BIN IBRAHIM

Tiada ulasan: