Isnin, 11 Oktober 2010

Nak rekodkan jugak...

Apa yang nak direkodkan. Jamuan Kesyukuran Aidilfitri hari tu. Walaupun hari ni dah habis Syawal pun dan dah masuk Zulkaedah. Tapi saya nak rekodkan jugak pasal jamuan tu.

Jamuan tu di buat pada Sabtu 16hb Syawal 1431H atau 25hb September 2010M. Hari tersebut sebenarnya adalah hari saya jalani dialisis. Tapi hari itu dikira paling sesuai maka kami putuskan untuk buat jugak pada hari itu. Lagi pun kami nak mulakan pada pukul 3.00 petang. Saya pulak habis dialisis dan sampai ke rumah sekitar pukul 5.00 petang. Jadi tak banyak sangat selisihnya.

Tiba-tiba selepas semua persiapan dibuat ada seorang tetamu yang dikira VIP lah bagi kami iaitu Tuan Hj Mohamad Sabu dan keluarga menyatakan dapat untuk hadir tetapi agak awal iaitu sekitar pukul 12 tengahari kerana sebelah petang beliau akan ke terbang ke Johor kerana ada program di sana.

Inilah yang menyebabkan susunan kami agak 'kelam kabut' sikit terutamanya saya yang sudah tentu 'terlepas' kerana dialisis hanya tamat sekitar pukul 4 petang. Sahabat-sahabat yang sepatutnya mula datang pukul 3.00 petang , ramai yang nak mengambil kesempatan makan bersama Tn Hj Mohamad Sabu dengan datang lebih awal.

Sebenarnya Tn Hj Mohamad Sabu ini adalah saudara di sebelah ayah isteri saya. Mereka panggilnya Pak Ndak manakala anak-anak saya panggilnya Tok Ndak.

Mungkin disebabkan pada hari tersebut ramai yang adakan rumah terbuka, jadi jalan begitu sesak sehingga saya yang sepatutnya tiba di rumah sekitar pukul 5.00 petang hanya sampai pada pukul 6 petang. Jadi saya pun dikira turut terlepas jamuan Aidilfitri di rumah saya sendiri! Saya hanya sempat meraikan beberapa keluarga sahaja kerana kebanyakan mereka telah datang lebih awal.

Apapun tahniah untuk isteri saya. Beliau memang mempunyai seni memasak. Cepat, pantas dan sedap masakannya. Itu yang menyebabkan saya berani mengadakan jamuan hari raya setiap tahun. Bahkan rumah saya memang sentiasa bersedia menerima tetamu pada bila-bila masa sahaja.

Mencatat Hj Ibrahim...

Lama saya tidak menulis, malam ini entah kenapa terasa pulak nak mencatat sedikit mengenai seorang lagi sahabat saya yang di kira istimewa. Saya juga percaya sahabat saya yang seorang ini bukan sahaja istimewa kepada saya tetapi kepada ramai lagi sahabat-sahabatnya. Tengahari tadi saya sampai juga ke majlis walimatul urus Ustaz Hj Salehudin Nasir. Beliau adalah naqib usrah saya sewaktu aktif dengan Persatuan Kebajikan Kakitangan Islam Bank-Bank Kuala Lumpur (PERKIB). Walaupun pada awal pagi saya tidak pasti samada boleh atau tidak untuk menyempurnakan hajat hadir ke majlis perkahwinan anak ustaz tersebut kerana sakit di bahagian pinggang menyebabkan agak sukar untuk bergerak. Tetapi menjelang tengahari selepas menelan panadol sakit urat, kesakitan agak berkurangan jadi saya gagahi untuk hadir juga. Alhamdulillah.

Dalam perjalanan pulang saya dihubungi oleh Tuan Hj Ibrahim Idris, sahabat istimewa yang saya katakana tadi. Katanya dia baru sampai di rumah Ustaz Salehudin dan rasa agak kecewa kerana tak sempat untuk berjumpa saya di sana tadi. Saya menjemputnya ke rumah walaupun katanya tidak pasti samada sempat atau tidak untuk singgah. Bagaimanapun saya tahu sangat, yang dia pasti akan dating juga singgah ke rumah saya. Itulah antara keistimewaannya. Memang pun petang tadi dia dan keluarganya sampai juga ke rumah kami. Betul tak saya kata!

Hj Ibrahim seorang sahabat yang mampu membuat teguran jika ada kesalahan atau kesilapan yang kita atau sesiapa sahaja lakukan. Walaupun kadang-kadang tegurannya itu dilihat keras tetapi keikhlasan teguran itu tetap dapat dikesan di wajahnya. Saya bersyukur punyai sahabat sepertinya. Terlalu banyak yang saya belajar daripadanya. Waktu dia tinggal di Selayang kami selalu bersama ke mana-mana program samada usrah, ceramah, kursus, seminar dan macam-macam lagi. Tetapi bila dia mendapat peluang lebih baik di Melaka dan berhijrah ke sana, saya begitu terasa akan kehilangannya. Bahkan saya yakin sahabat-sahabat lain di Selayang pada waktu itu turut merasakannya.

Adalah sesuatu yang biasa kalau sedang kita bersamanya, tiba-tiba ada ‘couple’ yang sedang ‘pegang-pegang’ ke, ‘pandang-pandang’ ke, ‘gurau-gurau’ ke….dia akan terus ke situ dan tanya kamu ni dah kahwin ke? Kalau belum kahwin eloklah jangan buat macam ni, malu mak ayah, malu bangsa kita, malu agama kita. Pergi balik! Jadi mamat dan minah tu pun terdiam, tersengih-sengih takut, mintak maaf dan terus beredar. Hj Ibrahim lakukan itu bukan sebab menunjuk-nunjuk, tapi dia lakukan demi tanggungjawab. Seperti saya katakana tadi memang itu cara dia, kita nampak keikhlasan dia pasal dia terus istiqomah lakukan perkara itu walaupun sekarang sudah berpindah di Melaka. Dia pernah berhenti di satu simpang menasihatkan satu lagi ‘couple’ waktu saya tumpang keretanya masa kami datang kerana ziarah ke rumahnya di Melaka.

Pernah saya pulang daripada satu program ceramah. Sudah tengah malam, tiba-tiba ada sekatan jalanraya, polis tahanlah untuk semak lessen dan sebagainya. Sambil dia keluarkan lessen dia tanya polis tu, ni semua dah solat isyak ke belum? Tersipu-sipu jugaklah polis-polis tu. Sambil keluar lessen tu pulak dia kata, kami insyaallah pejuang-pejuang Islam ni semua ikut peraturan encik, mesti ada lessen punya!

Dulu masa dia bekerja di Maybank, dia uruskan ceramah ustaz-ustaz di surau Maybank. Menurut seorang sahabat di sana, kalau ada ustaz yang datang lambat ke, ceramah lari tajuk ke….lepas tu memang kena ‘sound direct’ dengan Hj Ibrahim ni lah jawabnya. Dia tak kira ustaz ke tak ustaz. Pernah dalam satu program qiamullail dia tegur sorang ustaz yang kira ‘besar’ jugak (tak payah sebut namalah). Kisahnya masa sembang-sembang di satu sudut ustaz tu tak perasan yang dia berlunjur kaki arah qiblat. Hj Ibrahim nampak, dia kata kat ustaz tu, ‘syeikh’ kaki enta tu hadap qiblat’. Ustaz tu terus betulkan kakinya. Selang beberapa tahun, dalam satu program yang lain ustaz tu ada jumpa dia semula dan dia kata ‘enta pernah tegur ana dulu pasal kaki hadap qiblat kan’. Dia ingat lagi tu!

Sebenarnya banyak sangat pengalaman-pengalaman hebat yang boleh dicatatkan mengenai Hj Ibrahim ini. Sekarang ni walaupun dia dikira telah begitu berjaya dalam hidupnya tetapi dia tetap masih seperti dulu, terus menjadi sahabat yang cukup istimewa.

Isnin, 23 Ogos 2010

Mengingati seorang rakan...

Tak semena-mena saya teringatkan seorang rakan yang saya kenali tak sampai 3 bulan. Selepas saya memulakan semula rawatan dialisis saya di hospital Selayang, saya menghadapi masalah untuk memandu ke sana. Ini adalah kerana masalah mengantuk yang amat bila saya memandu. Saya ada rekod terjatuh daripada motorsikal dalam perjalanan untuk ke tempat kerja kerana mengantuk.

Mungkin ubat yang saya makan terlalu banyak atau ada antaranya yang menyebabkan saya mudah mengantuk. Untuk selesaikan masalah ini isteri saya terpaksa menghantar saya ke hospital setiap kali rawatan dialisis. Ini sudah tentu menyukarkan beliau yang sudah begitu banyak komitmen lain di rumah.

Selepas beberapa minggu jalani rawatan saya mula berkenalan dengan beberapa pesakit. Antaranya abang Razif. Rupanya dia juga tinggal di Bukit Beruntung/Bukit Sentosa. Dia telah jalani rawatan lebih 10 tahun. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini beliau ke hospital dengan menaiki bas atau menumpang sesiapa yang kebetulan boleh di tumpanginya.

Jadi saya mempelawanya untuk menumpang sahaja saya. Jadi sejak hari itu isteri saya tidak perlu menghantar saya lagi ke hospital kerana saya sudah ada rakan yang boleh di ajak bersembang untuk mengelakkan mengantuk.

Tetapi abang Razif sebenarnya sudah tidak begitu stabil lagi kesihatannya. Lebih sebulan lalu dia memberitahu saya hasil pertemuannya dengan doktor. Katanya doktor sendiri memberitahu yang beliau sudah dikira habis ikhtiar untuk masalah kesihatannya.

Saya cukup terharu dengan ceritanya. Tetapi dia tetap bersemangat dan membawa cerita-cerita yang boleh memberikan motivasi kepada dirinya.

Sepanjang hampir 3 bulan saya bersamanya pergi dan balik rawatan dialisis, beliau rajin bersembang. Dia selalu minta saya bercerita pasal agama. Cerita nabi-nabi dan sejarah Islam. Kalau cerita tu tak habis sepanjang perjalanan pergi atau pulang, dia akan minta disambung lagi bila kami bertemu untuk ke hospital lagi.

Selain daripada itu dia rajin bercerita pasal kisah-kisah lampau beliau, anak-anak dan kegigihan isterinya.
Selepas beliau dipencenkan selepas sakit, beliau berniaga menjual nasi lemak dan kuih bersama isterinya di belakang Balai Polis Bukit Sentosa. Di situlah saya ambilnya setiap kali untuk ke hospital.

Beberapa minggu lalu dia dimasukkan ke ICU kerana masalah kesihatannya. Saya sempat melawatnya. Katanya dia dibenarkan pulang oleh doktor selepas seminggu terlantar. 2 atau 3 hari selepas itu isterinya memberitahu yang abang Razif di masukkan semula ke ICU. Kebetulan esoknya hari saya dialisis dan hari saya berjumpa doktor jadi saya bercadang untuk menjengahnya.

Sekitar pukul 10 pagi sewaktu saya masih menunggu giliran untuk bertemu doktor ditingkat 3 hospital, saya menerima panggilan daripada anak beliau yang memberitahu ayahnya sudah meninggal dunia. Tersentak saya. Saya terus ke tingkat 5 dimana wad ICU diletakkan. Ya, abang Razif telah tiada. Dia telah begitu lama menderita melawan penyakitnya. Hari itu Allah swt telah merehatkannya untuk selamanya.

Rakaman sembang-sembang saya dengannya sepanjang hampir 3 bulan lalu segera terpapar di skrin ingatan saya. Lawak dan tawanya masih segar dalam ingatan. Tetapi itulah dia yang dinamakan kematian. Suka mahupun tidak semua orang mesti laluinya. Abang Razif telah sampai gilirannya.

Semoga Allah swt menggantikan kesukaran beliau, kepayahan beliau, kesakitan beliau selama ini dengan pahala orang-orang yang beramal soleh. Al Fatihah.

Isnin, 19 Julai 2010

Harga barang naik: Itulah nasib bila pimpinan berjiwa bangsawan


Saya antara sebahagian besar umat yang cukup kesal dan kecewa dengan kenaikan harga minyak, gula dan beberapa barangan lain. Bahkan saya yakin harga banyak lagi perkhidmatan dan barangan yang akan menerima tempias kenaikan ini akibat 'kesan berantai'.

Oleh kerana saya selalu ke hospital kerana menjalani rawatan, saya mempunyai ramai kenalan dikalangan pesakit di hospital. Mereka hampir semuanya adalah yang berpendapatan rendah. Bukan sahaja berpendapatan rendah malah datang pula daripada tempat yang jauh.

Sembang-sembang mengenai belanja pengangkutan dan kadang-kadang bayaran ubatan tambahan yang perlu dibeli sendiri sering menjadi bahan cerita yang tergantung begitu sahaja. Tidak ada titik akhirnya. Bagaimana untuk bertemu noktah akhir cerita itu kerana noktahnya ialah duit.

Seorang abang yang kelihatan lemah kerana jalani rawatan CAPD, mengadu berbelanja tidak kurang RM60 untuk tambang teksi pergi balik untuk datang membuat rawatan. Kadang-kadang dalam sebulan beberapa kali terpaksa berulang alik ke hospital. Duit pencen yang di terima hanya sekitar RM1000. Anak-anak sekolah lagi belum dikira. Itu yang tinggal di sekitar KL.

Seorang lagi pakcik yang datang daripada Slim River. Menemani 2 anak yang jalani rawatan. Bukan sehari, sudah hampir seminggu. Dan bulan hadapan ada lagi temujanji.

Seorang lagi yang ingin saya rakam di sini ialah suami isteri orang asli daripada Kuang. Yang datang ke Hospital untuk rawatan dialisi isterinya 3 kali seminggu. Dari Kuang katanya naik komuter, kemudian mendapatkan teksi untuk sampai ke hospital. Pulang pun begitulah. Bayangkan berapa kos yang terpaksa di tanggung mereka.

Itulah yang saya katakan, bila kita sering berurusan dan mendampingi kumpulan ini barulah kita akan dapat rasakan keperitan hidup. Kumpulan yang berjiwa bangsawan, kepimpinan bangsawan tidak akan dapat merasai keperitan ini. Mereka mungkin boleh bertandang ke tempat-tempat orang susah di hospital atau di pendalaman sana, tetapi mereka juga membawa sekian ramai pegawai dan disambut dengan penghormatan dan pesta. Bagaimana mereka dapat merasai dengan sebenar-benarnya kesusahan umat.

Sebab itu tidak sukar bagi kumpulan ini untuk menaikkan harga barangan. Pendapatan mereka melebihi RM10,000 sebulan bahkan lebih. Apa yang dapat mereka rasai dengan kenaikan harga barangan itu.

Memang kita perlukan pimpinan baru yang benar-benar menyebelahi rakyat.

Lain padang lain belalang....


Saya tidak pasti adakah bidalan yang saya gunakan di atas tepat untuk cerita dan sembang saya kali ini. Dunia Facebook kian berkembang melanda generasi kini. Anak-anak saya semuanya termasuk yang masih di darjah 2 juga sudah ada FB.

Saya juga tidak ketinggalan. Ramai rakan-rakan lama yang dulunya dikira hampir mustahil untuk dikesan semula kini boleh bertegur sapa di alam siber melalui dunia FB. Bayangkan rakan-rakan lama waktu saya masih di darjah 1, kira-kira 36 tahun yang lalu ramai yang mula bertemu dan bersembang di FB. Memang hebat zaman yang kita hidup kini.

Selepas bersembang, bertegur sapa dan membaca perbualan mereka di FB ternyata dunia dan persepsi antara kita menjalani kehidupan ini memang cukup berbeda. Itulah rencah kehidupan mungkin.

Rakan-rakan yang pernah menjadi rakan paling rapat dahulu kini agak sukar untuk mendapatkan topik perbualan yang sejalan. Semuanya sudah ada jalan dan arah pandangan sendiri yang kadang-kadangnya agak jauh tersasar.

Bagaimanapun Allah swt sentiasa menganugerahkan ke atas umat ini supaya mereka segera kembali kepada titik dan noktah yang satu. Nampaknya titik pertemuan itu ialah isu Palestine. Itulah noktah pertemuan disebalik rencah dan perbedaan tadi.

Saya masih belum terjumpa lagi melainkan semuanya adalah pembela perjuangan pembebasan bumi yang penuh berkat itu. Memang isu Palestine selamanya menjadi titik dan noktah pertemuan kita semua. Pimpinan ummah perlu bergerak dari titik ini jika benar-benar mahukan sebuah kesatuan dan penyatuan.

Walaupun 'lain padang lain belalang' , lain orang lain pandangannya, tetapi Palestine menyatukan kita.

Selasa, 27 April 2010

Dilema orang kita...


PRK Hulu Selangor telah pun melabuhkan tirainya. Pelbagai andaian dan rumusan dibuat. Saya ingin menyorot satu daripada sudutnya. Ya....dilema orang kita, bangsa kita.

Keseluruhannya undi PR masih tidak memberangsangkan di kawasan yang didiami oleh orang Melayu. Orang Melayu dilihat paling tidak 'tertekan' dengan suasana rasuah, salah guna kuasa, jenayah dan pelbagai kebejatan yang dilakukan oleh BN walaupun mereka adalah mangsa teramai yang ditimpa musibah tersebut.

Dalam bab memilih pimpinan untuk solat, kenduri kendara, pernikahan, pengurusan masjid dan surau, orang Melayu kita tidak boleh menerima melainkan orang-orang yang terbaik dan alim dikalangan mereka. Itu hakikatnya.

Cakap-cakap dan pandangan orang yang berjubah dan berserban lebih didengari dalam suasana itu berbanding dengan cakap dan pandangan mereka yang lain. Tapi itu hanya terikat dalam suasana 'masjid dan surau' sahaja.

Bila diluar lingkungan itu, orang Melayu lebih percaya cakap dan pandangan mereka yang ada latar belakang rasuah, salah guna kuasa dan pelbagai keburukan lain lagi.

Sepatutnya orang Melayu kita yang terkenal dengan sifat baik dan lembut itu, sentiasa mendahulukan cakap dan pandangan orang yang terkenal baik dalam semua hal termasuk hal-hal politik dan kenegaraan. Tetapi itu tidak berlaku.


Inilah yang menyedihkan saya. Kata seorang rakan, kalaulah di masjid ada 2 orang yang terkenal, seorang itu Tok Guru Nik Aziz dan seorang lagi Datuk Najib Razak. Semua jamaah tak kira orang Umno, atas pagar apatah lagi orang Pas akan menolak Tok Guru Nik Aziz untuk mengetuai solat. Mereka tahu yang 'terbaik' dan paling dipercayai adalah Tok Guru.


Tetapi bagaimana dalam hal yang lain terutamanya bab kepimpinan negara mereka tak sanggup berketuakan orang baik dan alim seperti Tok Guru? Inilah yang saya katakan dilema orang kita...

Sabtu, 6 Mac 2010

Email persaraan saya kepada staff Bank Pembangunan

Assalamualaikum wbt….

Walaupun sudah dikira terlewat beberapa hari, saya tetap berusaha untuk membuat sedikit catatan penghargaan saya untuk semua rakan yang mengenali ataupun yang tidak mengenali saya. Kelewatan ini adalah disebabkan saya masih berada di wad menjalani rawatan walaupun pada tarikh akhir saya berkhidmat di Bank Pembangunan.

Tidak terduga oleh saya bahawa saya perlu membuat satu lagi pendirian yang cukup besar dalam hidup saya. Iaitulah bersara awal. Rakan-rakan yang mengenali saya tahu bahawa saya telah kehilangan ibubapa sejak usia yang begitu muda. Sejak itu saya telah membuat beberapa pendirian penting untuk halatuju hidup saya seterusnya. Ini adalah antara yang sukar bagi saya. Tetapi kehidupan perlu diteruskan. Doa dan sokongan rakan-rakan menjadi semangat kepada saya.

Kepada seluruh warga Bank Pembangunan saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terimakasih yang tidak terhingga, penghargaan tanpa batas sepanjang perkenalan kita selama ini. Kepada pihak pengurusan yang telah berusaha membantu, kepada rakan-rakan jabatan yang memberi dokongan, teman-teman yang mengenali mahupun tidak mengenali sangat saya bahkan saya memang mempunyai sebaris nama yang terus terpahat dalam hati dan sanubari saya disebabkan mereka tidak jemu-jemu memberikan sokongan dan bantuan.

Oleh kerana saya juga turut memberikan servis untuk SME Bank dan cawangannya sewaktu berkhidmat dulu maka saya berdoa semoga penghargaan dan ingatan saya ini dapat juga disampaikan kepada mereka.

Akhirnya saya ingin memohon kemaafan yang tidak terhingga kepada semua sekiranya sepanjang perkhidmatan dan perkenalan kita selama ini saya pernah mengguris atau mendatangkan ketidakpuasan hati. Adapun bagi pihak saya, kemaafan dan doa telah saya abadikan untuk anda semua.

Sekian, terimakasih atas kesempatan ini. Mudah-mudahan Allah menerima khidmat saya di Bank Pembangunan selama ini sebagai amal yang soleh.

Ikhlas daripada,
SAFUAN BIN IBRAHIM

Rabu, 3 Mac 2010

Beberapa wakil rakyat PKR berpaling tadah

Dalam minggu ini berita seorang demi seorang wakil rakyat PKR telah keluar parti dan mengisytiharkan diri mereka sebagai wakil rakyat Bebas selepas katanya hilang keyakinan terhadap pimpinan mereka.

Sebenarnya saya adalah salah seorang yang turut sedih dengan perkembangan ini. Saya hairan kenapa begitu mudah mereka boleh beralih angin. Mengapa orang yang sebegitu boleh duduk di peringkat wakil rakyat?

Kalaulah jiwa yang mudah goyah seperti itu bukankah hanya layak menjadi petugas biasa parti sahaja dulu? Ramai lagi petugas-petugas parti diperingkat bawah lebih kukuh pendirian dan daya juang patut berada di tempat mereka.

Tetapi biasalah orang yang ikhlas dalam perjuangan biasanya tidak menonjolkan diri. Mereka yang ada kepentingan selalu menonjolkan diri kononnya dialah pemimpin tetapi bila datang ujian dia hanyut bersama ujian itu.

Satu lagi saya juga hairan dengan seorang lagi wakil rakyat PKR yang sejak akhir-akhir ini selalu bercanggah dan berbeda pandangan dengan partinya. Walaupun dia belum lagi mengisytiharkan diri keluar dari parti, tetapi tindak tanduknya cukup mengguriskan petugas dan pimpinan parti.

Padahal semua orang tahu sangat bahawa dialah orang yang paling kagum dan menyanjung tinggi Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kalau dia berceramah, saya fikir tak ada lagi orang yang begitu memperlihatkan sanjungan begitu tinggi kepada DSAI.

Tapi sejak beberapa bulan kebelakangan ini nadanya sudah berlainan. Cukup menghairankan.

Hari ke-2 saya pencen

Ya...hari ini adalah hari ke-2 saya pencen. Muda lagi ke dah pencen. Sekarang saya berusia 43 tahun. Allah mentakdirkan saya mengidap sakit yang dikira kronik dan saya telah layak untuk di pencenkan awal (pencen ilat)

Sedih jugalah bila kena pencen awal ni tapi semuanya sudah suratan. Terpaksalah tempuhi juga. Inilah antara sebab saya dikira mempunyai ruang untuk menulis semula. Insyaallah.

Insyaallah nak menulis semula....

Selepas begitu lama saya membiarkan blog ini tidak di update, hari ini saya cuba memperbaharui azam untuk meneruskan catatan saya di sini. Selama ini pelbagai hambatan dan halangan yang menyebabkan saya sukar untuk update blog ini.

Tetapi sekarang saya fikir masa yang sesuai untuk saya kembali mencatat. Sebenarnya tidak ada apa yang menarik untuk saya catatkan cuma sebagai manusia biasa saya juga mempunyai pandangan dan aspirasi saya sendiri yang hendak saya kongsikan.

Mudah-mudahan semuanya akan memberikan manafaat.

Khamis, 15 Januari 2009

Bulan kian mengambang di KT


Lama saya tidak menulis apatah lagi mengulas perkembangan semasa. Bukan apa, masa begitu sempit dirasakan untuk mendapat ruang senggang. Bagaimanapun rutin menyelak dan singgah di blog-blog dan website utama teetap menjadi agenda utama saban hari.

Saya fikir perkembangan semasa yang ke-2 terhangat sekarang selepas isu Palestine (saya akan cuba ulasnya kemudian) ialah PRK Kuala Terengganu.

Sebagaimana biasa semua media utama yang diketuai oleh TV3 telah sawan menggila membedil parti-parti alternatif terutama Pas.

Saya terfikir apa akan jadi kepada BN jika demokrasi berjaya ditegakkan di negara ini. Dalam keadaan padang yang tidak sama rata pun Pas boleh meraih kemenangan dan undi yang boleh dibanggakan, bagaimana jika padang permainan diratakan.

Jawaban paling rasional ialah, bila demokrasi berjaya ditegakkan di negara ini, BN & Unmno akan terkubur.

Apapun dengan perkembangan terkini, kita semacam tidak perlu menunggu pemulihan demokrasi untuk membenam BN & Umno. Kesedaran rakyat terhadap hak-hak mereka sudah cukup menggegarkan.

Kemenangan meruntuhkan BN di 6 buah negeri termasuk 1 di WP dalam PRU ke-12 yang lalu bukan disebabkan oleh demokrasi yang pulih, tetapi gelombang kesedaran rakyat yang kian memuncak.

Sebab itu, saya yakin daripada perkembang terkini yang boleh diperolehi daripada sumber-sumber yang dekat dengan PRK Kuala Terengganu, ‘BULAN’ nampaknya kian mengambang!

Khamis, 13 November 2008

UPSR 4A 1B : Tahniah Amir!

Keputusan UPSR yang diumumkan pagi ini (Khamis 13/11/2008) cukup menggetarkan saya. Sejak malam tadi sebenarnya saya sukar untuk tidur kerana pelbagai perkara berkisar keputusan UPSR ini.

Amir Saiful Islam, anak ke-3 saya menggalas harapan kali ini selepas 2 orang kakaknya hanya mencapai keputusan 3A dan 2A sahaja sebelum ini.

Kepada Amir, saya menaruh sedikit harapan kerana ketekunan dan dedikasinya itu. Dia bukan seperti anak yang lain. Kalau dalam sesebuah keluarga itu ada anak yang dikira istimewa atau lain dari yang lain, maka dalam keluarga saya Amir lah orangnya.

Dia ada disiplin dirinya sendiri yang tidak pernah pun saya atau umi nya mengajar. Tiap pagi beliau adalah yang paling awal bangun bila jam loceng yang dikuncinya berbunyi pada pukul 5.40 pagi.

Kita akan mendengar dia mandi, mengaji quran dan solat. Selepas itu beliau akan mengejutkan adik beradik lain yang masih tidur selepas beliau lengkap berpakaian sekolah. Kalau hari itu beliau ‘terlajak’ walaupun pukul 6.00 pagi, hari tersebut dikira cuti kepadanya. Dia tidak mahu kesekolah tak kira ‘terlajak’ itu adalah kesilapannya atau kesilapan abah dan umi tidak mengejutkannya awal.

Sementara adik beradik lain dan uminya bersiap, dia akan mengemas kereta dan memanaskan injin kereta.

Bila petang selepas selesai dia berriadhah bersama kawan-kawan dia akan bersedia untuk solat dan menyediakan persiapan ‘dialisis’ untuk saya. Hampir semua tugas penyediaan dibuat oleh Amir. Sebab itu nama-nama ubat dan masa makan ubat saya dihafalnya dengan baik.
Selepas membantu saya dia akan menyediakan pakaian sekolahnya termasuk menyediakan persiapan pakaian kerja untuk saya esok. Selepas selesai men'seterika' semuanya barulah dia mulakan ulangkaji atau kerja sekolahnya.

Amir tidak akan buat sesuatu tu cincai-cincai....dia akan buat sungguh-sungguh dan ambil serius atas tanggungjawab yang dipikulkan kepadanya. Kalau ada perlawanan bola, dialah yang paling sibuk, kawan-kawan yang lain tak serius pun tapi dia jangan.

Satu lagi kalau pernah dengar dia membaca surah al-fatihah sebijik macam Sheikh Rahman Sudais! Dia pandai mengejek bacaan. Saya selalu berseloroh dengan uminya, bila Amir dah masuk asrama nanti kita tentu rindu dengan bacaan nya itu.

Banyak yang saya boleh tulis mengenai Amir ni. Bukan nak masuk bakul angkat sendiri tetapi Amir adalah anak saya yang boleh di’cerita’ kan. Dia ada ‘cerita’ dia yang tak ada pada anak saya yang lain.

Tahniah Amir! Abah bangga.

Khamis, 23 Oktober 2008

Menganjur majlis kahwin adik...

“Berilah peluang Bang Puan engkau buatkan majlis kahwin adik-adik dia pulak”, kata Makcik (ibu tiri) saya kepada kami sekeluarga. “Dulu Aur, Shahril & Din lama tinggal dengan Bang Puan, jadi eloklah Bang Puan dapat peluang buatkan majlis kahwin adiknya kali ni”, tambah Makcik lagi.

Saya terharu dengan penghormatan yang diberikan itu, walaupun saya tahu bukan mudah untuk menganjur majlis ‘sebesar’ itu. Majlis itu sebenarnya ialah untuk ‘menyambut’ pengantin. Din adik bongsu saya telah melangsungkan perkahwinan di sebelah keluarga perempuan sekitar bulan 5 yang lalu, manakala Aur, anak paling tua Makcik melangsungkannya pada hari raya ke-3 yang baru lalu.

Jadi majlis ini adalah untuk ‘menyambut’ mereka berdua. Shahril pulak telah lebih awal berkahwin. Majlis menyambutnya dulu di buat serentak di rumah Makcik di Ipoh sana.

Pada awalnya kami bersetuju untuk buat majlis doa selamat sahaja, tetapi bila jemputan dan pemakluman begitu cepat beredar majlis itu terpaksa di ‘besar’ kan sedikit. Majlis diangkat lagi menjadi majlis kenduri kahwin sebenar.

Saya sebetulnya cukup gembira dan tidak sabar menanti hari tersebut kerana itulah pertama kalinya saya menjadi tuanrumah kepada kehadiran saudara mara dan rakan taulan. Saya saban tahun menganjurkan ‘rumah terbuka Aidilfitri’, tetapi kali ini ‘rumah terbuka’ ini dijangka lebih bermakna. Ramai saudara mara dan rakan taulan yang berjanji untuk turut hadir ke majlis tersebut.

Kelompok yang hadir itu saya pecahkan kepada berikut:-
- Keluarga saya sebelah Melaka
- Keluarga saya sebelah Negeri Sembilan
- Keluarga isteri sebelah Kedah
- Keluarga Makcik sebelah Perak
- Kawan-kawan masa sekolah dulu
- Sahabat-sahabat Perkib
- Sahabat-sahabat Pas & Nisa Bukit Beruntung
- Penduduk Taman Kesumba
- Rakan pejabat saya
- Kawan-kawan adik-adik saya
- Sahabat-sahabat lama saya sewaktu saya tinggal di Selayang

Untuk membuat jemputan, saya telah menggunakan beberapa strategi. Iaitu:-
- Jemputan melalui kad-kad Hari Raya yang saya hantar
- Saya juga ‘print’ sendiri kad jemputan, mulanya hanya 20 keping tetapi tanpa disangka terpaksa buat salinan tambahan sehingga lebih 100 keping.
- Melalui SMS
- Jemputan melalui ziarah terus
- Melalui email
- Melalui blog saya ini.

Isteri saya pula adalah dikira paling sibuk. Dialah yang paling banyak berperanan kerana saya ni bukanlah sihat sangat. Isteri saya ini pun sebenarnya bukanlah sihat sangat juga, tetapi semangat dan komitmennya itu cukup mengkagumkan.

Apapun ‘jadualkerja’ majlis tersebut dijangka padat tetapi meriah kerana ianya dijayakan secara gotong royong antara masyarakat setempat, rakan taulan dan saudara mara.

Sesiapa yang singgah di sini, saya jemput juga untuk hadir ke majlis tersebut. Ahlan wa sahlan.....

Jumaat, 3 Oktober 2008

Aidilfitri ingatkan saya makna kasih sayang....

Ingatan bermula waktu saya di sekolah rendah lagi. Malam raya, kami sekeluarga akan pergi ke Kedai Dak Tan di Pekan Jasin untuk bergambar. Itu agenda yang terpahat indah dalam ingatan saya. Selepas mak meninggal dunia, waktu tu saya belajar di tahun 3 manakala adik saya Suriya di tahun 2, ayah tidak lagi meneruskan agenda bergambar di malam raya.

Bila mak dah tiada dan ayah pula sudah berhijrah ke KL selepas berkahwin lain, tinggallah saya dan Suriya di kampung dengan Wan Jasin (nenek saya). Hari raya tidak lagi dinantikan sangat. Yang dinantikan ialah kepulangan ayah ke kampung. Tiap kali pulang dari sekolah kami ter 'cangak-cangak' kot-kot ayah ada singgah atau pulang ke kampung. Masa tu talipon pun susah, handphone pulak belum terfikir akan wujudnya.

Kadang-kadang ada sekali dua ayah mengutus surat. Lebih menyedihkan lagi bila dapat berita ayah tidak lagi bekerja di KL tapi telah berhijrah pula ke Pahang bersama keluarga barunya.

Yang pasti Aidilfitri tidak lagi pernah menjanjikan keceriaan lagi selepas mak tiada. Mujurlah Wan Jasin ada. Beliaulah pengubat rindu dan tempat kami bermanja. Cerita kebaikan Wan Jasin ini selalu saya lontarkan dalam doa dan munajat. Bila saya rindukan dia, saya sisipkan kisahnya dalam doa dan munajat saya. Dialah ibu dan ayah.

Saya masih ingat pakaian yang ditempahkan untuk saya setiap kali datangnya Aidilfitri ialah 2 pasang pakaian baju Melayu. Selain songkok hitam dan capal. Memang Wan Jasin sangat mengutamakan kami dua beradik.

Ayah walaupun waktu itu jauh, namun saya hingga hari ini tetap yakin betapa beliau sangat kasih dan cintakan kami. Kerana sebahagian besar jiwa ayah ada dalam jiwa saya. Dari wajah ayah saya tahu yang beliau sangat sayangkan kami. Tetapi suasana dan keadaan memaksa beliau tidak punyai ruang bersama dengan kami.

Apapun Aidilfitri mengingatkan saya makna kasih sayang sebenar...

Rabu, 24 September 2008

Jemputan ke Majlis Meraikan Pengantin


Saya sekeluarga ingin menjemput sesiapa sahaja yang singgah di sini untuk bertamu ke rumah saya kerana meraikan dua orang adik saya yang telah melangsungkan pernikahan mereka baru-baru ini. Kira majlis menyambut lah kiranya ni. Adik saya itu ialah Sabarudin dan Shahrul.

Butiran majlis ialah:-

Tarikh: HARI AHAD 26hb Oktober 2008 (Hari Isnin cuti Deepavali)
Masa: 12.00 tgh - 4.00 petang
Alamat: No. 23, Jalan Kesumba 3A/7, Bukit Beruntung 3, 48300 Rawang, Selangor DE.

Untuk lebih mudah, kalau dah sampai ke Tol Bukit Beruntung, talipon saya. Kami akan hantar pasukan bantuan untuk menjemput.

Jumaat, 19 September 2008

Selamat menjalani Ramadhan Al Mubarak & Selamat Hari Raya Aidil Fitri

Ramadhan berkunjung lagi. Semua umat Islam menyambutnya dengan sejuta kebahagiaan mengharap rahmat dan keberkatannya.

Tahun ini juga merupakan Ramadhan yang dikira ujian yang cukup hebat kepada saya bila kali ini saya tidak lagi berkesempatan untuk berterawih di surau atau di masjid. Ini adalah kerana saya sudah mula menjalani rawatan dialisis pada setiap malam di rumah.

Selepas berbuka puasa dan solat maghrib saya akan bersiap memasang alat-alat tertentu untuk tujuan rawatan dialisis selama 10 jam sepanjang malam. Inilah kehidupan baru saya. Bagaimanapun alhamdulillah, walaupun tubuh saya disambung dengan 'cable' tertentu, tetapi saya masih boleh untuk melakukan solat seperti terawih. Jadi bermulalah era baru dalam hidup saya bila terawih saya hanya di rumah sahaja bermula tahun ini.

Apapun saya ingin mengucapkan 'Selamat Menjalani Ramadhan Al Mubarak & Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitir' ......maaf zahir & batin.

Selamat menjalani Ramadhan Al Mubarak &

Isnin, 19 Mei 2008

Ibu yang perlukan perhatian...

Perempuan 'orang Asli' itu kelihatannya menangis lagi bila menceritakan nasibnya yang sudah begitu lama tidak dijengok keluarga.

Dia yang menghuni katil 18 di wad ini akan mengulangi cerita dukanya kepada sesiapa sahaja yang singgah bertanyakan khabarnya.

'Saya peliharanya sejak besar ini, katanya kepada isteri saya pada satu hari yang lain sambil menunjukkan tapak tangannya. Dia merujukkan sikap anak-anaknya yang tidak datang menziarahinya.

Tiap kali dia bercerita, tiap kali itu jugalah airmatanya bercucuran menyembah bumi.
Sebab itulah isteri saya ada juga membelikan sedikit buah tangan untuknya sebagai penghibur hati. Terimakasih Cik, katanya sambil menitiskan airmata.

Bila dia melihat ramai ahli keluarga pesakit lain yang datang menziarahi keluarga masing-masing, dia seperti cukup tersentuh dan terharu.

Aduh! alangkah malang nasibnya. Kalau ada anak-anak diluar sana yang masih punyai ibu dan ayah terlantar terutamanya, bersegeralah berkhidmat untuk mereka. Mereka sangatperlukan kita berada di sisinya. Mereka ingin berbangga untuk itu!

Jangan biarkan tercicir maklumat...

Sudah lebih 3 minggu saya tidak membuat catatan di laman ini. Sebenarnya bukan sahaja tidak mencoret, menjengoknya pun saya tidak kesampaian.

Semenjak saya cuti sakit yang lama ini, terasa betapa perlunya saya melihat semula kemungkinan membaiki semula PC di rumah saya atau mengusahakan PC yang baru.

Saya fikir bila saya tidak dapat membuat capaian internet di rumah, bukan sahaja saya tidak boleh dan sukar untuk 'update' blog saya, malah yang lebih malang lagi segala info semasa saya turut terlambat beberapa hari dan minggu!

Di zaman ICT ini maklumat boleh diambil dan diperolehi dengan begitu pantas. Dan inilah yang saya alami sebelum saya sakit terlantar.

Selepas saya terpaksa keluar masuk wad, keadaan telah begitu banyak berubah terutama bila capaian ke internet saya menjadi sukar.

Hari ini saya dapat rasakan bagaimana ketinggalannya kita bila akses kepada internet terganggu.

Sebab itu saya fikir usaha perlu diperhebat supaya bahan-banah alternatif terutamanya di edar secara lebih sistematik.

Selepas kemenangan besar PR dalam PRU12 saya bimbang segala maklumat mengenai perubahan yang dibuat oleh 5 negeri kerajaan PR tidak mendapat liputan yang adil.

Media arus perdana nampaknya sentisas cuba mensabotaj apa juga usaha dan dasar yang cuba diperkenalkan oleh PR.

Di peringkat lebih bawah di harap ada usaha dibuat oleh pihak cawangan parti-parti PR untuk sekurang-kurangnya membuka satu gerai untuk menjual semua bahan-bahan alternatif seperti pita kaset, CD, akhbar alternatif, pelekat, T-Shirt dan seumpamanya.

Sebab selepas bebeberapa bulan dari tarikh PRU12 nampaknya suasana semakin sepi. Info PR masih sukar diperolehi.

Jangan sampai terlambat!

Penghargaan...

Saya sebenarnya ingin menyampaikan penghargaan tidak terhingga kepada isteri, anak-anak, mak tiri saya, mak mertua saya, adik beradik saya, saudara mara, rakan taulan, para doktor serta jururawat, jiran tetangga, bomoh serta pawang yang telah banyak membantu dan mendoakan saya sepanjang saya terlantar di Hospital Selayang lebih 3 minggu.

Mudah- mudahan semuanya di balas oleh Allah swt sebagai amal yang soleh.